Thursday, September 6, 2007

SALAFI WAHABI vs IKHWANUL MUSLIMIN


SALAFI WAHABI vs IKHWANUL MUSLIMIN

Meneliti sebuah rakaman kuliah Ustaz Rasul Dahri baru-baru ini membuatkan saya berfikir panjang, memohon gerak daripada Kekasih dan akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan karangan ini. Hal ini tidaklah bermaksud saya terpesona ataupun ‘termakan’ dengan pembicaraan Ustaz Rasul Dahri itu tetapi untuk menyampaikan beberapa perkara penting kerana peluang ke arah itu terbuka kini. Tidak sangka pula yang ia akan lahir melalui tontonan ke atas cakap-cakap ustaz ini. Begitulah, jika bukan kerana Iblis menderhaka, manakan lahir para rasul dan nabi dalam bentuk jasad. Betul tidak?

Kebenaran terpaksa diwartakan atas rasa cinta kepada Allah dan bertanggungjawab ke atas amanah yang diamanahkan sejak sebelum diri ini yang asal dimasukkan ke dalam jasad yang baru tumbuh ini. Suka ataupun tidak kenalah dinyatakan juga sekadar kemampuan kita yang serba dhaif ini. Kita yakin, hanya Allah yang berkuasa memberi faham, bukan makhluk. Namun begitu, usaha dan ikhtiar tidak sesekali kita ketepikan.

Tiga empat tahun lepas buat pertama kalinya saya membaca dan menonton hasil tangan Ustaz Rasul Dahri berkaitan perbahasan tahlil arwah. Kebanyakan hujah-hujah bawaannya yang pada saya longgar untuk dijadikan pegangan membuatkan saya kurang ambil pusing akan dakwah dan dakyahnya selepas itu. Hujah-hujah yang ada kalanya berisi penyelewengan, penipuan, salah faham dan buruk sangka itu hanya akan berkesan ke atas orang-orang yang malas menggunakan fikiran sahaja ( Lihat BAHAYA ISRAILIYYAT, BAHAYA LAGI WAHHABILIYYAT bahagian ke-3 http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=172&mode=&order=0&thold=0 ). Saya tidak merasakan yang dakwah dan dakyahnya akan mendapat sambutan besar dan menggugat apa-apa yang penting di negara ini, jadi biarkanlah kelompok sempitnya terus wujud agar sekurang-kurangnya boleh juga kita jadikan contoh dalam pengajaran kita nanti. Selain itu, kelompok ini juga berguna untuk para peminat dan pendokong dakwah Tajdid Tua @ Wahabi mengukur siapakah yang benar-benar Salafi Wahabi dalam kalangan dua ataupun tiga kelompok Salafi Wahabi di Malaysia kini dan dua tiga kelompok Wahabi yang belum tiba secara borong dari luar negara (Lihat KERESAHAN BANG GURU http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=166&mode=&order=0&thold=0 ).

Rupa-rupanya Ustaz Rasul Dahri ada menulis tentang Ikhwanul Muslimin. Jadi dalam video itu dia mempromosikanlah hasil tulisannya, yang dengan kuasa Allah dan tanpa disedarinya yang dia juga sebenarnya sedang mempromosikan kelemahan dan kesilapannya kepada umum. Kelemahan dan kesilapan yang saya maksudkan hanyalah dalam HAL INI SAHAJA tanpa menafikan KEARIFANNYA dalam bidang-bidang lain. Begitulah kaedah memberi komen. Di samping itu, dia juga sebenarnya membuka pekung kecelaruan fahaman kaum Salafi Tua @ Wahabi khususnya di negara ini dengan lebih jelas. Beruntung sungguh kita umat Islam Nusantara- “berjalan dua langkah tetapi jaraknya mencapai sepuluh langkah” (Lihat SALAFI TULEN MENDAKWA DR. ASRI AHLUL BIDAAH http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=207&mode=&order=0&thold=0 ).

Mulanya kita sentuh sedikit tentang sejarah gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pemantapan pemahaman pembaca di bahagian isi-isi nanti sekalipun kita faham yang banyak pembaca sudah sedia maklum dengan sejarah Ikhwan meskipun mereka tidak ataupun belum berbaiah dengan Ikhwan (Lihat IKHWANUL MUSLIMIN & HASSAN AL BANNA http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=905&start=0&mforum=no2christ ).

Sebaik-baik sahaja jatuhnya kekhalifahan terakhir umat Islam, yang SALAH SATU daripada punca kejatuhannya ialah akibat hasil tangan PARA PENGIKUT dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang MEMBERONTAK KEPADA DAULAH ataupun MENYERANG WILAYAH DAULAH ISLAM, Allah bangunkan satu jemaah baru yang bersifat global zahir dan batinnya iaitu Ikhwanul Muslimin (Lihat KENALI WAHABI SEHINGGA KAMU BETUL-BETUL KENAL http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=716&mforum=no2christ ). Jemaah ini berusaha untuk bersederhana dalam segala hal dan menjauhi ketaksuban melulu. Ahli-ahlinya digerakkan atas MODAL TARBIAH dan PEMAHAMAN, bukan sekadar atas dasar semangat dan mengikut-ikut sahaja.

Ikhwan diasaskan di Mesir- bumi Nabi Musa yang juga bumi Firaun. Sebab itulah kita boleh temui sebaik-baik manusia dan juga sejahat-jahat manusia di sana. Ada Nabi Musa, adalah Firaun. Pengasas Ikhwan ialah Imam asy-Syahid Hasan al-Banna. Beliau bukanlah seorang ulama elit dalam mana-mana bidang tetapi mempunyai ilmu yang mencukupi untuk membicarakan semua bidang yang ada. Dan yang paling penting, beliau seorang genius dalam melahirkan dan melaksanakan saranan-saranan untuk mentajdid individu, mentajdid keluarga, masyarakat dan umat (Lihat ADAKAH IKHWANUL MUSLIMIN PENGGANAS? http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=120&mode=&order=0&thold=0 ).

Banyak ulama handal yang sezaman dengan Hasan al-Banna tetapi mereka hanya mampu membawa perubahan dan menjaga keaslian bidang mereka sahaja. Berlainan dengan Hasan al Banna, beliau nampak cara-cara memperbaiki agama dan umat dalam semua lapangan. Seorang lagi genius pembaik umat yang muncul ketika itu ialah Maulana Muhammad Ilyas- pengasas gerakan Tabligh, cuma skop yang dibawa oleh Maulana kecil sedikit daripada bawaan Ikhwanul Muslimin (Lihat IKHWAN & TABLIGH AKAN KE NERAKA? http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=1107&mforum=no2christ ). Perihal jemaah Tabligh insyaallah akan saya kisahkan dalam ruangan yang lain.

Secara UMUMNYA mereka ini bolehlah dianggap sebagai mujaddid kurun yang lalu berdasarkan perjuangan mereka yang di awal kurun, membawa sesuatu yang belum pernah difikirkan orang-orang sebelumnya, dakwah mereka bersifat sejagat merentasi batas-batas geografi, ajaran mereka merebak begitu laju bagaikan air meluncur ke serata arah dan beberapa pertimbangan lain yang biasanya digunakan dalam menentukan Mujaddid Kurun.

Namun, jika hendak dimuktamadkan seorang sahaja sebagai mujaddid kurun yang lalu, saya lebih cenderung kepada Hasan al-Banna. Hal ini memandangkan modul bawaan Imam asy-Syahid turut mempengaruhi individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan selain Ikhwan. Bagi jemaah Tabligh, modul bawaan Maulana Muhammad Ilyas digunakan oleh jemaah Tabligh sahaja dan tidak mendapat perhatian jemaah-jemaah selain Tabligh.

Banyaklah pihak yang mendakwa tokoh-tokoh mereka sebagai mujaddid untuk kurun itu dan ini, kita hormati pandangan mereka. Dalam dakwah Tajdid Segar, perbalahan untuk menentukan ‘tokoh akulah yang paling layak menjadi mujaddid’ bukanlah menjadi agenda (Lihat DAKWAH TAJDID SEBENAR http://protajdid.blogspot.com/2007/04/dakwah-tajdid-sebenar.html ). Jika tidak, perangai kita sama saja dengan kaum Salafi Tua @ Wahabi yang mana memperjuangkan perkara-perkara kurang bermanfaat menjadi KEUTAMAAN dakwah mereka.

Perjuangan mentajdid diri, keluarga, masyarakat dan umat jauh lebih penting daripada perjuangan menentukan mujaddid ataupun membahaskan semula perkara-perkara yang sudah ada keputusan (iaitu KHILAF sebagaimana bawaan kaum Salafi Tua). Jika ada keluangan masa untuk berehat setelah penat berjuang, ketika itu bolehlah diisi dengan membincangkan perkara-perkara kurang penting seperti menentukan mujaddid ataupun menilai keputusan khilaf ini. TAPI… pada zaman ini masih wujudkah RUANG UNTUK BERISTIREHAT daripada berjuang? Jika benar anda pejuang, anda akan mendapati bahwa RUANG tersebut hampir-hampir tidak ada. http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/08/14/berapa-nilai-masa-pada-anda/#comment-355 .

Salah seorang yang tidak kita nafikan mempunyai idea-idea pembaharuan dan penyegaran yang baik pada masa kini ialah Ustaz Ashaari Muhammad (pengasas Darul Arqam dan kini Rufaqa’). Walaupun ajarannya ialah satu tariqat sebagaimana tariqat-tariqat lain, tetapi kelebihannya ialah ‘minda’ Ustaz Ashaari ini membawa pembaikan dan penyegaran yang pesat dalam semua aspek kehidupan Muslim- tidaklah tertumpu kepada hal ehwal tariqat dan hakikat sahaja. Banyak perkara baru yang tidak terfikir untuk dibawa oleh kelompok-kelompok lain berjaya direalisasikan sama dan pada zaman Darul Arqam mahupun zaman Rufaqa’. Zawiyah yang agak hebat pernah muncul dalam sejarah ialah di Uzbekistan pada zaman Syeikh Bahauddin Naqsyabandi dan tentunya pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Constantinople).

Jemaah Tabligh sendiri asalnya dan hingga kini adalah sebuah aliran tariqat, tetapi pembaharuan bijak yang dibuat oleh Maulana Muhammad Ilyas menjadikannya sebegitu rupa hari ini hinggakan kadang-kadang ahli-ahlinya sendiri tidak tahu hal tersebut. Tariqat tidak diperturunkan kepada semua ahli sebagaimana umumnya tariqat-tariqat lain kecuali kepada yang berkelayakan sahaja. Hal ini membuatkan usaha mereka untuk memperbaiki masyarakat awam begitu pesat dan berkesan. Golongan bawahannya sangat aktif lagi berkesan ke serata dunia menyebarkan dakwah asas agama Islam.

Di kala kebanyakan jemaah tariqat lain masih mengekalkan modul dan amalan yang mereka perolehi daripada para pendahulu mereka ratusan tahun yang lalu, Maulana Muhammad Ilyas, Ustaz Ashaari Muhammad dan asy-Syahid Hasan al-Banna membuat pentajdidan.

Memuji apa yang baik daripada Ustaz Ashaari Muhammad tidaklah menjadikan saya seorang pengikut apatah lagi pentaksubnya. Hal ini boleh disaksikan dalam puisi saya…


PABILA KUAMBIL SESUATU

Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari
Itu bukan bermaksud temanmu ini ahli Rufaqa’
Jika kunyatakan kebaikan poligami
Bukan hujahnya aku pengikut al-Arqam

Pabila kulilit serban hitam di kepala
Itu bukan bererti aku pengikut Syiah
Kalau kaulihat aku menyokong Saidina Ali
Tidak bermakna temanmu ini pendokong Syiah Imamiah

Pabila mataku dihiasi celak
Apa buktinya aku seorang karkun?
Kaulihat jubahku seperti jubah Maulana Mustaqim
Jangan kauhukum aku ahli jemaat Tabligh

Pabila kusering mencontohi al-Banna
Tidak semestinya aku banyak menyetujui Qardhawi
Memang buku-buku Ikhwan rujukanku
Mana kalian tahu aku salah seorang saudara mereka?

Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz
Mestikah aku bertaqlid penuh Ustaz Hadi Awang?
Kelibat aku selalu ada di ceramah
Tidak semestinya PAS platform perjuangan utamaku

Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku
Tidak semestinya aku orang tariqat
Penampilanku yang biasa berjubah dan berserban
Jangan anggap kumenolak tali leher dan t-shirt

Pabila aku mengendalikan usrah
Bukan ABIM dan JIM saja yang berusrah
Ma’thurat menjadi aurad harianku
Adakah ISMA naunganku?

Pabila anak-anakku berpakaian tentera
Takkanlah aku terus menjadi al-Qaeda?
Ketika kumenulis kebaikan Taliban
Mestikah aku pendokong gerakan mereka?

Pabila kusokong Lasykar Jihad
Tidak kusokong wadah Wahhabi
Kalau kusokong beberapa fatwa Saudi
Ketahuilah temanmu ini bukan Salafi Lapok

Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin
Takkanlah itu menunjukkan aku pentaksub Syeikh Nazeem
Kaulihat hatiku berzikir khafi Allah Allah
Bukan maksudnya kudatang dari Naqsyabandiyyah

Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO
Janganlah anggap temanmu ini pengundi Barisan
Seandainya kusokong langkah-langkah baik pemerintah
Jauh sekali untuk aku berfaham sekular

Aku…
Mengambil apa yang baik dan relevan
Yang berkesan buat diriku dan umat Islam

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”

3 JUN 2007

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=176&mode=&order=0&thold=0


Apa yang tidak kena dengan ‘minda’ Abuya tetap kita saring dan jika berpeluang membuat teguran dan pembetulan. Secara peribadi, saya memandang masalah-masalah yang menjadi penghalang kepada dakwah Ustaz Ashaari berpunca daripada kelemahannya mengatasi FITNAH ALAM MALAKUT atau apa jua nama yang semaksud dengannya (pemahaman tentang fitnah alam tersebut sedikit-sebanyak boleh diteliti dalam buku ‘ Mengenal Diri dan Wali Allah’ oleh Ustaz Mustafa Muhammad al-Jiasi al-Ahmadi). Hasil daripada kelemahan inilah yang menjadikan dakwahnya tidak sampai ke mana walaupun dia mempunyai kelebihan berbanding kebanyakan ulama lain. Jika Ustaz Ashaari berjaya mengatasi fitnah alam malakut ini, tidak mustahil dia salah seorang calon mjaddid untuk kurun ini. Hal ini tidaklah saya berminat untuk memanjangkannya di sini ataupun di mana-mana. Jika pihak Ustaz Ashaari merasakan ada kebenaran, buatlah koreksi. Jika tidak, terpulang saja (Lihat ANDA ORANG ARQAM? http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=183&mode=&order=0&thold=0 ).

Dakwah Ikhwan yang unik ini membuatkan idea-idea Ikhwan bersifat global. Ulama-ulama Ikhwan juga dianggap ulama oleh kalangan bukan Ikhwan dan meniti juga di bibir masyarakat umum. Antaranya Imam asy-Syahid sendiri, asy-Syahid Syed Qutb (pengarang tafsir Fi Zilail Quran) , Syeikh Ramadhan al-Buti, Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Said Hawa, Dr. Yusuf Qardhawi, Syeikh Wahbah az-Zuhaili, asy-Syahid Abdullah Azzam (master-mind jihad Afghanistan menentang Soviet), asy-Syahid Syeikh Ahmad Yaaseen (pemuka HAMAS), Syeikh Mustafa Siba’ie, Syeikh Sayyid Sabiq (pengarang Fiqh Sunnah) dan banyak lagi. Buku-buku mereka tersebar ke seluruh dunia dan menjadi rujukan malah ada jemaah yang menjadikan silibus dalam tarbiah mereka (Lihat QARDHAWI TOLAK DAKWAH TAJDID LAPOK http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=122&mode=&order=0&thold=0 )

Lihat juga TIDAK BERMAZHAB BIDAAH TERBAHAYA oleh Ramadhan al-Buti http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=45&mode=&order=0&thold=0 )

Bukan dengan niat untuk merendahkan-rendahkan tetapi sebagai wadah pembuka fikiran, cuba kita lihat tokoh-tokoh jemaah lain. Adakah mereka dikenali dan idea-idea mereka diterima sebagaimana tokoh-tokoh Ikhwan dikenali dan dipakai? Saya sering menguji pengetahuan orang ramai tentang hal ini dalam sembang-sembang santai bersama mereka.

Individu yang bergerak dalam satu-satu jemaah biasanya kenal dengan tokoh-tokoh jemaahnya dan mereka juga biasanya sekurang-kurangnya pernah mendengar tentang tokoh-tokoh Ikhwan mutaakhir ini. Daripada pemerhatian saya, nama yang mungkin dikenali daripada Hizbut Tahrir hanyalah Syeikh Nabhani. Itupun sangat sukar untuk mencari INDIVIDU YANG BUKAN HIZBUT TAHRIR (umum/ dunia/ sejagat) yang kenal dengan Syeikh Nabhani (Lihat TEGUR SAPA HIZBUT TAHRIR) http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=134&mode=&order=0&thold=0 . Nama yang mungkin dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT daripada jemaah Tabligh hanyalah Maulana Muhammad Ilyas dan Maulana Muhammad Zakaria. Nama yang mungkin dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT daripada Jemaat Islami Pakistan mungkin Al-Maududi.

Nama yang mungkin dikenali UMUM /DUNIA/ SEJAGAT daripada Parti Islam Se-Malaysia, rasanya tidak ada. Tokoh-tokoh PAS dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT di Malaysia dan sekitarnya sahaja. Yang BUKAN UMUM di luar negara mungkin banyak yang kenal dengan pimpinan PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang. Namun begitu, adakah idea-idea PAS dimanfaatkan mereka sebagaimana mereka memanfaatkan idea-idea Ikhwan? Tidak juga (Lihat PAS YANG KUKENALI http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=181&mode=&order=0&thold=0 ). Nama yang mungkin dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT (mereka yang bukan daripada dunia tariqat) daripada dunia tariqat keseluruhannya mungkin Syeikh Nazeem. Kalau dipecah-pecahkan lagi dengan mengambil satu-satu tariqat, UMUM/ DUNIA lebihlah tidak kenal. Tapi kita tidak nafikan yang nama tokoh-tokoh dunia agama Islam ini harum mewangi dalam kalangan mereka sendiri dan juga masyarakat sekitar lokasi aktiviti mereka, cuma tidak di peringkat UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT. Bagi orang-orang keagamaan pula, nama-nama ini memanglah biasa mereka dengar.

Bagaimana dengan tokoh-tokoh Salafi Tua @ Wahabi? UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT tidaklah mengenali mereka malah idea-idea mereka juga tidak menjadi perhatian mana-mana jemaah utama dunia Islam (Lihat FATWA ULAMA WAHABI KE ATAS JEMAAH-JEMAAH ISLAM http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=906&mforum=no2christ ). Mereka dikenal dalam kelompok mereka sahaja dan dalam kalangan masyarakat sekitar yang terkena tempias aktiviti-aktiviti mereka. Apatah lagi kaum ini bukanlah sebuah jemaah mahupun gerakan Islam, hal ini membuatkan mereka tidak ada satu silibus tarbiah yang boleh diambil manfaat oleh selain kaum Salafi Tua. Jika mereka menyusup ke dalam mana-mana jemaah Islam pun, jarum-jarum halus dakwah dan dakyah mereka diselitkan melalui silibus sedia ada jemaah tersebut sahaja. Kerja mereka menjadi lebih mudah sekiranya sesuatu jemaah itu memang tiada silibus khusus untuk ahli-ahlinya. Kumpulan yang anda sertai selama ini ada silibus yang tersusun rapi?

Kalau ada, bagus. Teruskan. Kalau tidak ada, sebaiknya kita MENAMBAHKAN MASA untuk MEMBUAT PENILAIAN DAN PERUBAHAN terhadap gerak kerja jemaah dan keberkesanannya. Tiada silibus dakwah bermaksud sesuatu jemaah itu berjuang dengan bermodalkan semangat dan isu semasa, bukannya bermodalkan tarbiah dan pemahaman.

Banyak pihak khususnya di Nusantara ini berasa kagum dengan kejayaan mengejut Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dalam pilihanraya Indonesia. Tahukah kita siapa di belakang PKS, ataupun dalam kata yang lebih tepat… siapa PKS sebenarnya?

PKS ialah cabang Ikhwan di Indonesia. Puluhan tahun mereka mengusahakan tarbiah sebelum menjelmakan diri sebagai sebah parti politik. Mereka punyai ahli-ahli teras yang terdidik dengan manhaj Ikhwanul Muslimin. Untuk mendapat kejayaan seperti itu ataupun lebih lagi, mahu tidak mahu kita terpaksa memakai sebahagian besar daripada apa yang mereka usahakan. Banyak lagi parti-parti berhaluan ‘Islam’ yang lebih dahulu wujud berbanding PKS, mengapa PKS yang menjadi pilihan di Indonesia? Sama-sama kita fikirkan dan BUAT PERUBAHAN.

Dulunya Ikhwan mempunyai banyak premis, kilang-kilang, media cetak dan lain-lain sebagaimana yang ditunjukkan oleh Darul Arqam dan Rufaqa’, malah jauh lebih banyak dengan keanggotaan jutaan orang di seluruh dunia Arab (Darul Arqam lebih kurang 10,000 orang). Tentera sukarelawan Ikhwan berjaya mengalahkan tentera Israel dan hampir-hampir menguasai Baitul Maqdis. Di kala tentera Ikhwan sudah boleh melihat bumbung Al Aqsa, tiba-tiba perang diberhentikan dan mereka dipanggil pulang. Begitulah permainan politik pemerintah dengan kuasa Barat. Pulang sahaja, ribuan orang ditangkap, dibunuh dan diseksa dalam penjara. Semua premis Ikhwan ditutup, dirampas ataupun dimusnahkan. Atas sebab itu, Ikhwan terpaksa bergerak secara ‘bawah tanah’. Namun dari sehari ke sehari Ikhwan semain kuat dengan jutaan anak didik mereka di seluruh dunia hari ini.


Berbalik kita kepada Ustaz Rasul Dahri. Ustaz menulis sebuah buku yang menghentam Ikhwanul Muslimin ‘secara halusnya’ dengan hentaman ‘syirik wa kafir’ walaupun tidak dikatanya begitu. Samalah seperti kebiasaan kaum Wahabi yang lain, dikatanya setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat adalah ke neraka- ringkasnya BERDOSA. Kita bertanya, “Ikhwanul Muslimin zaman-berzaman meraikan Maulidurrasul yang jelas tidak pernah dibuat Nabi. Adakah semuanya termasuk Hasan al Banna, Said Hawa, Ramadhan al-Buti, Qardhawi, Fathi Yakan dan lain-lain berdosa kerana raikan Maulidurrasul?” Apa jawabnya? “Itu kami tak tahu, kami cuma menyatakan kaedah. Tuhan saja yang tahu.” Apa jenis jawapan ini?

Agama di sisi Allah hanyalah Islam, kita sedia maklum. Tiba-tiba datang seorang Hindu ataupun Shinto bertanya, “ Agama Hindu dan Shinto benar tidak di sisi Tuhan?” Apakah kita hendak menjawab, “Itu kami tak tahu, kami cuma menyatakan kaedah. Tuhan saja yang tahu.”

Begitulah keadaannya. Hendak mengatakan hanya agama Islam sajalah yang relevan di sisi Tuhan pada hari ini tidak berani. Akhirnya mereka sendiri terkena pula hembusan Islam Liberal.

Dalam kuliahnya itu Rasul Dahri mempertikaikan kata-kata Syeikh Said Hawa yang menggambarkan Ikhwan sebuah jemaah sufi. Asy-syeikh juga mengatakan Hasan al-Banna itulah khalifah sebenar. Pertikaian Ustaz Rasul Dahri ini bukanlah satu keganjilan kerana memang fitrahnya fahaman Salafi Tua @ Wahabi anti dunia kesufian., tasauf dan tariqat.

Hasan al-Banna sebelum mengasaskan Ikhwanul Muslimin pernah melibatkan diri dengan beberapa jemaah lain termasuklah sebuah jemaah sufi Tariqat Hasafiah. Antara peribadi yang disanjungnya ialah Syeikh Syed Uthman, Syeih Salbi ar-Rijal dan Syeikh Muhammad Abu Syousyah. Ketika aktif dengan al-Ikhwan al-Hasafiah ini Hasan al-Banna ditemukan Allah dengan Ahmad al Sakri yang kemudiannya menjadi salah satu tonggak Ikhwanul Muslimin. Sungguhpun beliau menyaksikan dan mengalami sendiri pelbagai karamah tuan-tuan gurunya dalam tariqat ini namun hal itu tidaklah menjadikan dirinya taksub dan bertaqlid sahaja.

Hasil daripada pengalamannya dengan jemaah-jemaah sufi diselaraskan dalam dakwah Ikhwanul Muslimin. Sebab itulah kita dapati beliau menyusun aurad yang ma’tsur iaitu al-Ma’thurat (jemaah-jemaah tariqat memang sinonim dengan aurad masing-masing), memasukkan ‘baiah’ (yang ditentang keras oleh kebanyakan kaum Salafi Tua @ Wahabi), mementingkan zikir bahkan ‘sentiasa dalam keadaan berzikir’ (yang menjadi mata pelajaran teras kumpulan-kumpulan tariqat pada peringkat tertentu), tidak menolak tawasul (kecuali tawasul yang salah) dan lain-lain (Lihat ZIKIR MENURUT HASAN AL-BANNA http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=44&mode=&order=0&thold=0 ).

Semasa menjadi ahli Tariqat Hasafiah, Hasan al Banna mengamalkan Wazifah ar-Ruzuqiyyah setiap pagi dan petang. Amalan ini memberikannya idea untuk mengasaskan bacaan-bacaan al-Ma’thurat yang disaringnya daripada sumber-sumber yang ada kesahan. Pernah satu ketika beliau menziarahi makam Syeikh Hasan al-Hasafi setiap hari, hal ini yang sangat tidak menyenangkan mereka yang berfahaman Wahabi hari ini. Beliau berbaiah dengan Tariqat Hasafiah melalui Syeikh Syed Muhammad Abdul Wahab al-Hasafi.

Sebahagian golongan sufi dan fiqh punyai perbalahan ratusan tahun, dan sebahagian mereka berjaya didamaikan melalui dakwah Ikhwan, malah akhirnya saling isi-mengisi pula. Begitulah cara Ikhwan.

Seperti tuan gurunya, Syeikh Said Hawa juga tidak akan sengaja meninggalkan apa-apa yang berkesan daripada dunia tasauf. Malahan beliau ada menghasilkan buku Syarah Hikam! Kitab Hikam susunan Syeikh Ibnu Ataillah merupakan salah satu kitab besar kaum sufi. Syeikh Ibnu Ataillah inilah yang telah berjaya melunakkankan sedikit apa yang tidak kena dengan dakwah Syeikh Ibnu Taimiyyah. Sebahagian daripada dialog antara mereka boleh diteliti dalam DIALOG IBN ATAILLAH- IBN TAIMIYYAH bahagian 1 hingga 4 di http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/topic4.html .

Kitab Hikam menjadi kebencian sebahagian besar kaum Salafi Tua. Namun begitu menurut Syeikh Said Hawa, Imam asy-Syahid Hasan al-Banna sendiri ada mengkuliahkan kitab ini kepada pemuka-pemuka Ikhwan. Kuliah peringkat tinggi memang dihadkan agar ilmu, iman dan amal para ahli seimbang dan tidak larut dalam hal ehwal kerohanian sahaja. Strategi ini sama saja dengan strategi yang digunakan oleh Maulana Muhammad Ilyas dalam jemaah Tabligh dan Ustaz Ashaari dalam Darul Arqam. Cuba cari karkun ( orang yang membuat usaha Tabligh) orang Malaysia yang diijazahkan Tariqat Chistiyyah oleh maulana-maulana Tabligh. Ada tak? Entahkan ada entahkan tidak. Mata pelajaran tariqat dan hakikat dikawal dengan baik, bukan asal jadi karkun sahaja terus belajar dan mengamal tariqat.

Ketidaksetujuan Ustaz Rasul Dahri makin bertambah kerana Syeikh Said Hawa mengatakan yang Ikhwan meyerahkan persoalan akidah mereka kepada dua orang iaitu Imam Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturudi. Apa yang ditimbulkan itu memang benar. Ikhwan tidak pernah menolak aliran Asyaariah dan Ikhwan juga tidak pernah menolak Tauhid Uluhiyah Tauhid Rububiyah (Lihat KULIAH ILMU TAUHID http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=199&mode=&order=0&thold=0 ) . Apa saja yang baik dan benar cara huraiannya pasti mendapat tempat dalam Ikhwan. Kedua-duanya menjadi pegangan Ikhwan sejak zaman al-Banna. Tapi kita sedia maklum, kaum Salafi Tua hampir keseluruhannya membidaahkan aliran Asyaariah dan Sifat 20. Maksudnya- Ikhwanul Muslimin bidaah ke neraka.

Syeikh Yusuf Qardhawi seorang tokoh Ikhwan yang rasanya tidak perlulah diehwalkan lagi. Majoriti umat Islam pernah mendengar namanya paling kurang pun.Beliau menghuraikan saranan-saranan dakwah Imam asy-Syahid dalam bukunya ‘Madrasah Hasan al-Banna’. Tentunya beliau layak menulis tentangnya memandangkan beliau sendiri salah seorang ‘lulusan madrasah tersebut’. Buku ini menjadi salah satu daripada modul dalam sukatan pelajaran tarbiah Ikhwan.

Beliau pernah dicalonkan sebagai Mursyidul Am Ikhwan tetapi selalu saja menolak atas dasar rendah hati, meraikan teman-teman dan mahu memaksimakan usaha terhadap tanggungjawab sedia ada. Maklumlah, namanya besar di peringkat sejagat. Banyak tanggungjawab, dikhuatiri tidak terbuat. Satu ingatan, jangan ditawar jawatan kepada kaum Salafi Tua. Umumnya, tidak cukup tapak tangan, tapak perumahan mereka tadahkan. Sudah diberi jawatan berstatus ulama, dia mahu jawatan ketua ulama pula.

Ustaz Rasul Dahri menunjukkan sebuah majalah yang di dalamnya ada kata-kata Qardhawi berbunyi “Jadikanlah orang salafi ini sufi”. Cukup tidak berkenannya Ustaz Rasul Dahri akan kalimah-kalimah ini. Baginya yang betul ialah “Jadikanlah orang sufi ini salafi”. Mengapalah sempit benar pemahaman Tuan Ustaz? Ikhwan itu sufi tetapi tidak menyendiri. Ikhwan itu salafi tetapi tidak Wahabi.

Dikatakan pula Syeikh Qardhawi terpengaruh dengan fahaman Muktazilah. Kononnya Qardhawi beriktikad Tuhan itu Akal. Kata Rasul Dahri tidak ada nama Tuhan itu ‘Akal’ dan apa hukum mengatakan Allah itu Akal? Boleh jadi SYIRIK dan KUFUR tetapi dilapik semula mengikut kaedah dakyah Wahabi yang diperjelaskan sebelum ini dengan katanya ‘tapi jangan kata Qardhawi kafir, syirik dan lain-lain’. Hukum diletak tetapi pengumumannya dilapik. “Jangan kafirkan tokoh-tokoh Ikhwan, kita serah kepada Allah. Tapi tulisan tokoh-tokoh Ikhwan banyak yang merosakkan akidah.”

Fikir… kalau benar Qardhawi Muktazilah, masih betulkah akidahnya? Fikir…

Untuk lebih memenangi hati pendengar, Rasul Dahri membawa sebuah cerita. Kononnya ada seorang pemiat tulisan-tulisan Qardhawi yang akhirnya menjadi seorang pendakwah Syiah. Kalau begitu, sesiapa yang mengaku bermanhaj Salaf di negara ini janganlah lagi membaca karya-karya tokoh-tokoh Ikhwan termasuklah Qardhawi, takut nanti berfahaman Syiah akhirnya.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) marah kepadanya, kata Ustaz Rasul Dahri. Kita yakin, ISMA dan PAS pun tidak senang dengan tulisannya. Kalau benar begitu, memang patut pun. Apa nak dihairankan kerana kaum Salafi Tua yang bermuarakan minda Mufti Perlis dan al-Ahkam.net ( ada pendokong Rasul Dahri melabelkan mereka sebagai Salafi Murtad/ Wahabi Murtad) pun bukan main marah kepadanya. Sesama Wahabi sudah begitu, apatah lagi dengan yang lain-lain. Fahami isi puisi di bawah:

AKU DITIPU SALAFI TANAHAIRKU

Dulu aku salafi
Aku salafi melalui forum salafi terbesar di negara ini
Kononnya mereka kembali kepada sumber yang asal
Tapi…
Aku tertipu!

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Kitab dan Sunnah
Tapi azan mereka berlagu, berdondang sayang
Adakah azan zaman Nabi berlagu?
Mereka bangga dengan azan Masjidil Haram
Yang masyhur itu
Yang Wahhabi itu
Betulkah Saidina Bilal dulu mendendangkan azan berlagu?
Kalau betul azan untuk dilagukan,
Tentu Nabi dan sahabat sudah buat dulu
Tapi malangnya tidak!

Mereka dakwa jemaah Tabligh sesat
Tapi sekurang-kurangnya
Azan jemaah Tabligh sama dengan azan zaman Nabi,
Tidak berlagu
Tak macam azan bilal Masjidil Haram
Yang mereka banggakan itu
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal!

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Kitab dan Sunnah
Akupun kembalilah
Macam yang mereka dakwakan itu
Aku ditipu lagi!

Zaman Nabi mana ada jemaah-jemaah!
Semua orang satu jemaah.
Tak ada Tabligh, tak ada Hizbut Tahrir
Tak ada PAS, tak ada Ikhwan
Tak ada ABIM, tak ada JIM
Tapi…
Mereka haruskan jemaah-jemaah itu!
Bahkan mereka puja Qaradhawi,
Mereka kagum al-Banna
Itukan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin?

Memang penipu!
Sumber asal mengatakan umat Islam satu jemaah
Hanya satu golongan saja yang selamat daripada 73 golongan
Iaitu golongan salafi
Begitulah juga kata Albani
Begitulah juga kat Ben Baaz
Siapa buat pelbagai golongan, semuanya tidak selamat
Bagaimana mereka di forum itu mengaku salafi,
Tapi membenarkan umat Islam berpecah-belah
Membentuk pelbagai golongan
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Zaman Nabi dan sahabat
Zaman itu tidak ada mazhab
Siapa yang buat mazhab
Bererti dia melakukan bid’ah
Sebab Nabi tak pernah buat, sahabat pun tidak

Tapi…
Tipu lagi.
Mereka ajar kitab asy-Syafie, mereka puja dia
Bukankah sumber asal menunjukkan dia berbuat bid’ah?
Dia buat mazhab, Nabi tak buat
Sanggup mereka sanjung seorang tokoh ahli bid’ah!
Hukum orang tu bida’ah, orang ni bid’ah
Alih-alih mereka puja tokoh bid’ah
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal

Mereka dakwa hanya salafi satu golongan yang terselamat
Dariapad 73 golongan.
Tertipulah aku lagi…

Aku kaji situasi di dunia Arab.
Rupanya ada banyak kumpulan yang mengaku Salafi
Sesama mereka saling sesat-menyesat pula
Macam mana forum itu mendakwa
Hanya Salafi mereka yang terselamat?
Salafi lain pun nak selamat juga
Tapi saling menuduh sesat
Dan saling mengaku
Puak aku paling selamat
Puak akulah satu golongan yang terselamat itu
Lucunya

Ulama-ulama Salafi Saudi yang aku sanjung
Menghukum halal tentera Amerika bertapak di Saudi
Tiba-tiba orang forum kata tak boleh!
Padahal ulama-ulama itu tokoh Salafi utama dunia
Mereka lebih faham Salafi daripada orang-orang di forum
Tokoh-tokoh itu dah kaji
Dah kembali kepada sumber yang asal
Dan jawapannya boleh letak musuh Islam dalam negara
Untuk serang negara Islam lain si Iraq

Bila aku ikut fatwa ini
Mereka kata aku salah
Jadilah aku serba salah.

Sebenarnnya, mereka sendiri tidak kembali kepada sumber yang asal.
Pengakuan di mulut saja.
Aku lebih percaya Albani, Ben Baaz, Fauzan dan lain-lain.
Takkanlah mereka di forum lebih faham Salafi
Daripada ulama-ulama ini!
Betul tak?

Ini Salafi perasan.
Mereka bukan Salafi.
Mereka Salafi syok sendiri, buatan sini.
Cakap mereka di luar negara tidak siapa memandang
Tapi cakap ulama Saudi seluruh dunia pandang

Masuk saja laman Salafi Indon
Mereka mengutuk habis Salafi buatan sini
Kerana Salafi buatan sini
Menyokong ahlul bid’ah
Seperti al Banna, Tilmisani, Qardhawi, Syed Qutb
Salafi sini sokong Ikhwan
Itukan bid’ah yang nyata?

Jelas
Salafi forum itu hanya perasan sendiri
Jemaah Salafi sendiri tidak mengaku mereka satu kumpulan
Tapi penyokong ahli bid’ah
Maksudnya Salafi sini sama saja dengan pembuat bid’ah

Kawan-kawanku sedarlah
Carilah Salafi sebenar
Bukan Salafi forum
Kembalilah kepada sumber yang asal
Bukan taqlid buta kepada mufti

Sumber:
http://alhakim.noonhost.com/hangat-di-pasaran-internet-vt173.htm

Dalam penerangannya, Ustaz Rasul Dahri seboleh-bolehnya cuba menggambarkan betapa rapatnya kaitan Ikhwanul Muslimin dengan Syiah. Patutlah tidak bersetuju benar para pendokong Rasul Dahri dengan laman-laman web berfahaman Wahabi di negara ini yang mempromosikan Syeikh Qardhawi. Apatah lagi terpapar pula wajah Tok Kenali, seorang ulama sufi tariqat sebagai penghias muka depan. Di sini kita boleh faham betapa bercelarunya fahaman Wahabi ini baik pada Wahabi Tulen mahupun Wahabi ‘Murtad’ (Lihat MENGAPA KITA TIDAK PERLU FAHAMAN WAHABI http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=537&mforum=no2christ )

Menurut Ustaz Rasul Dahri lagi, banyaknya orang Malaysia yang terpengaruh dengan fahaman Syiah adalah kerana minat mereka terhadap Qardhawi. Qardhawi cuba menyatukan Sunnah dengan Syiah. Begitu juga dengan Ikhwanul Muslimin. Timilsani- salah seorang Mursyidul Am Ikhwan menghidupkan amalan ziarah kubur, yang biasanya dikaitkan dengan sufi dan Syiah. “Yang banyak bawa masuk Syiah ialah Ikhwanul Muslimin”, katanya. Akidah Ikhwan menyimpang dari Islam kerana akidah Ikhwan banyak merangkum jalan-jalan sesat yang lain. Jadi kepada anda para pendokong Mufti Perlis dan al-Ahkam.net, rakan Salafi Tua anda yang sama-sama mendakwa ‘manhaj kami yang paling sunnah dan paling salaf ‘ ataupun ‘manhaj kami saja yang sunnah dan salaf’ sedang mempertikaikan akidah anda. Bagaimana boleh dikatakan manhaj Salafi Wahabi saja satu-satunya yang terselamat daripada tujuh puluh dua golongan dalam keadaan anda sendiri berpecah kepada enam ataupun tujuh fikrah yang berlainan dan ada antaranya yang saling sesat-menyesatkan?

(Lihat JUMHUR ULAMA MENOLAK FAHAMAN WAHABI

http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=478&mforum=no2christ )

Rasul Dahri mendakwa dialah orang pertama yang tidak menyokong Hizbullah. Apakah dengan menyokong perjuangan Hizbullah menentang Zionis bermakna kita berfaham Syiah dan memenangkan Syiah ke atas Ahli Sunnah wal Jamaah? Kita sedia maklum, zaman-berzaman cara kaum Wahabi mempromosikan dakwah mereka ialah dengan menjadikan Syiah sebagai musuh utama. Dengan menjadikan Syiah sebagai mangsa, perhatian orang ramai akan tertarik kepada mereka. Kemudian barulah mereka tanam fahaman Wahabi secara beransur-ansur. Digambarkannya seolah-olah esok pagi Syiah akan menguasai dunia, maka orang-orang yang kurang cerdik pun berpusu-pusu mengalihkan perhatian kepada mereka (Salafi Wahabi) dengan anggapan merekalah calon terbaik mengekang Syiah, bersatu menentang Syiah mestilah di bawah panji-panji Salafi Wahabi.

Kita lihat di negara kita ini, forum-forum dan laman web berfahaman Salafi Tua mencanangkan betapa hebatnya gerakan Syiah. Padahal dakwah sekular dan liberal jauh lebih mengancam. Dalam usaha menarik perhatian para penyokong Parti Islam Se-Malaysia, direka cerita betapa berkembang biaknya fahaman Syiah dalam PAS. Nasib baiklah rakyat negara ini banyak yang bijak berfikir, mereka tahu musuh yang mana yang berada pada ‘ranking’ pertama dan seterusnya mengikut urutan. Mereka tahu, kaum berfahaman Wahabi mengembar-gemburkan isu Syiah tidak lain dengan agenda untuk menarik sokongan kepada dakwah Tajdid Tua sahaja, bukannya seratus-peratus ikhlas ( Lihat VIRUS ENAM BERADIK/ ENAM VIRUS DALAMAN http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=202&mode=&order=0&thold=0 )

Ustaz Rasul Dahri yang kita sayangi menceritakan pengalamannya bersama ABIM. Dia mengaku telah membaca ratusan buku Ikhwanul Muslimin. Hebat! Persoalan kita, adakah dia membaca buku-buku Ikhwan dalam keadaan dia seorang Ikhwan ataupun orang di luar Ikhwan? Dia meneliti buku-buku Qardhawi dalam keadaan dia menerima tarbiah Ikhwan ataupun tidak? Dia berbaiah kepada Ikhwan atau tidak?

Hal ini menjadi penyakit kepada kebanyakan kaum berfahaman Wahabi. Sering berlaku salah faham apabila mereka membaca buku-buku Ikhwan. Yang lebih mengharukan apabila mereka bertanya kembali, “Betulkah Syed Qutb Ikhwan?” “Ramadhan al-Buti memang Ikhwan ke?” ‘Eh, Qardhawi Ikhwan rupanya…” ‘Fathi Yakan pun Ikhwan juga?” Mengapa jadi begini?

Salah satu punca utamanya ialah hasil kerja tangan tokoh-tokoh berfahaman Wahabi juga. Mereka cuba mendiamkan hubungan para ulama ini dengan Ikhwan. Sebahagiannya melaga-lagakan idea-idea antara ulama Ikhwan. Hal ini kerana mereka faham, jika dihebohkan nanti umum akan menolak fahaman Salafi Tua memandangkan dakwah Ikhwan jauh berbeza dengan dakwah Wahabi.

Kita tidak nafikan kefahaman mutlak datang daripada Allah. Kalau Tuhan hendak beri, tanpa membaca buku-buku Ikhwan pun seseorang itu boleh faham dakwah Ikhwan. Tapi, berapa kerat yang mendapat anugerah sebegitu? Umumnya, belajar silat melalui buku dengan belajar silat secara berguru berbeza kesan dan pemahamannya. Sedih kita melihat banyaknya generasi muda tanah air yang tersalah faham dengan Ikhwanul Muslimin dan Dr. Yusuf Qardhawi kerana mereka berguru tentang Ikhwan dan Qardhawi melalui orang-orang yang berfahaman Wahabi.

Selama ini pun ada ustaz-ustaz Wahabi yang mengajar kitab-kitab fiqh mazhab Syafie dalam keadaan mereka sendiri tiada ilmu yang mencukupi tentang kaedah-kaedah mazhab Syafie. Mengajar fiqh Syafie menggunakan kaedah Wahabi ataupun kaedah sendiri memanglah menghasilkan pemahaman yang berbeza dengan apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh tuan kitab. Kemudian dimanipulasikan dengan kata-kata, “Tengok, jauh beza tak apa yang diajar oleh Imam Syafie dengan amalan mereka yang mengaku bermazhab Syafie hari ini?” Anda sebenarnya dipermainkan dan menjadi mangsa ratahan mereka.

Tanyakan siapa guru mereka dalam hal ehwal mazhab Syafie. Guru mazhab Syafie mana yang mengijazahkan ilmu KAEDAH-KAEDAH MAZHAB SYAFIE kepada mereka? Yang paling utama dalam mana-mana mazhab pun adalah kaedah-kaedah mazhab tersebut, jadi tunjukkan sanad ilmu tersebut. Ijazah sangat penting (walaupun tidak mesti) untuk membuktikan yang mereka berguru kepada pihak yang berautoriti dan disahkan keilmuan mereka dalam hal itu oleh pihak yang berautoriti juga. Jika ada yang mengajar kitab-kitab mazhab Syafie dan mengatakan guru mereka dalam hal ehwal kaedah mazhab Syafie ialah Syeikh Albani contohnya, lama-kelamaan mereka akan berdusta atas nama kitab dan ulama kerana pemahaman dan huarian mereka pasti jauh berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh tuan kitab. Hendak mengajar tae kwondo tetapi selama hari ini belajar gusti, bolehkah? Apakah yang diajarnya itu nanti tae kwondo yang asli ataupun gusti yang dinamakannya ‘tae kwondo’? Fikir… gunakah akal yang Tuhan beri… jangan bertaqlid buta kepada ustaz ataupun kawan.

Tambah Ustaz Rasul, dia menjadi wakil ABIM pada tahun 1974. Antara perjuangannya ialah ‘jangan pakai seluar pendek’. Hari ini mungkin perjuangannya yang ini sudah berubah kerana sumber-sumber asal yang dikaji oleh sebahagian kaum berfahaman Wahabi menunjukkan paha bukan aurat (Lihat KEMBARA DI NEGERI TERBIDAAH http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=116&mode=&order=0&thold=0 ) .

ABIM bukanlah cabang Ikhwan di rantau ini tetapi idea-idea Ikhwan memang menjadi keutamaan ABIM. Usrah ABIM menggunakan buku-buku Ikhwan. Kitab tafsir ABIM ialah kitab tafisr Ikhwan iaitu Fi Zilalil Quran susunan Syed Qutb. Tidak ada buku-buku Ben Baaz ataupun Ibnu Taimiyyah. Begitu menurut Rasul Dahri menceritakan pengalaman usrahnya semasa bersama ABIM.

Daripada pengakuan seorang Wahabi sendiri ini, diharapkan anda yang mengaku Salafi (Wahabi) di luar sana mendapat gambaran perbezaan fahaman Ikhwan dengan Salafi Wahabi, perbezaan fahaman Al-Buti dengan Ben Baaz, perbezaan fahaman PKS (Indonesia) dengan al-Ahkam.net, perbezaan fahaman Qardhawi dengan Asri dan seterusnya. Jangan disamakan. Jangan terkeliru ataupun dikelirukan lagi. Cukuplah selama hari ini anda dikelirukan mereka.

Katanya, tidak ada Ikhwanul Muslimin di Malaysia dan tidak ada yang kata “Saya Ikhwanul Muslimin”. Ustaz, sebenarnya tuan sedang ditertawakan orang melalui kenyataan ini. Tidak ada yang mengatakan “Saya Ikhwanul Muslimin” mungkin benar kerana tidak ada seorang Ikhwan pun yang mudah-mudah akan membuat kenyataan sebegitu. Sefaham saya, kerahsiaan Ikhwan sangat dijaga. Tapi mengatakan tidak ada Ikhwan di sini, menjadikan tuan seorang yang ketinggalan zaman tetapi cuba berlagak tahu. Jika tidak tahu, lebih baik berdiam diri. Sekurang-kurangnya orang tidak tahu yang kita ‘tidak tahu’. Apabila kita bersuara saja, maka orang ‘confirm’ yang kita tidak tahu.

Al-Ma’thurat menjadi amalan harian seseorang Ikhwan setiap pagi dan petang. Bagi Ustaz Rasul, al-Ma’thurat susunan Imam asy-Syahid ini penuh syirik. Sekolah-sekolah JIM dikatakan mengamalkan kesyirikan ini. Saya sendiri mengamalkannya di samping 10 Bacaan Asas Darus Syifa susunan Ustaz Haron Din (yang ini pun begitu keras dibidaahkan oleh sebahagian Wahabi aliran Dr. Asri). Rupa-rupanya sudah puluhan tahun Syeikh Said Hawa, Syeikh Qardhawi, Syeikh al-Buti dan lain-lain berbuat syirik!

Yang lebih menarik ialah bahagian Ustaz Rasul Dahri menegur kesyirikan al-Ma’thurat kepada individu pengamalnya lalu dijawab, “Tak apalah, bahagian yang syirik itu akan kami betulkan.” lebih kurang. Sedaplah dia menghentam , “Air hujan banyak, buat apa hendak dibersihkan air kencing?” Maksudnya, banyak lagi doa-doa yang sahih, hendak betulkan apa yang syirik dalam Ma’thurat tu nak buat apa?

Jika benar penjawab itu menerima tarbiah yang benar dan faham dengan method Ikhwan, pasti tidak begitu jawapannya. Jelas lagi bersuluh tiada kesyirikan dalam al-Ma’thurat.Yang menjawab begitu ialah mereka yang pernah menerima tarbiah Ikhwan tetapi kemudiannya terpengaruh dengan fahaman Wahabi. Contoh terhampir ialah sebahagian golongan muda dalam JIM yang terpengaruh dengan fahaman Maszlee Malik.

Sedih rasanya melihatkan golongan muda yang baru mengenal dakwah ini dikekang pemikiran mereka dengan fahaman Wahabi. Kebanyakannya penuntut. Masuk usrah ataupun sertai program saja terus diperkenalkan dengan al-Ahkam.net sebagai sumber rujukan. Diulang-ulang nama Dr. Asri, Maszlee Malik, Hafiz Firdaus dan lain-lain seolah-olah mereka ulama besar lagi penting di tanah air kita. Hendak menyelamatkan fahaman golongan muda ini bukannya mudah kerana fitrah manusia biasanya cenderung kepada apa yang pertama mereka dapati. Hendak lari daripada bertaqlid dengan para ulama, akhirnya tertaqlid buta dengan kawan dan pimpinan- lagi parah. ‘Air paip yang lebih terjamin selamat ada, yang pergi cari air paya untuk diminum tu buat apa?’ : )

Ikhwanul Muslimin sendiri tidak terlepas daripada fitnah kaum Salafi Tua @ Wahabi. Sebab itulah kini Ikhwan Mesir begitu berhati-hati mentarbiah bakal daie masa depan. Silibus yang tersusun rapi disiapkan untuk bakal-bakal Ikhwan yang datang dari luar Mesir. Dari rantau Nusantara khususnya ada jangkamasa tertentu yang mesti dihabiskan di Mesir dengan tarbiah dan dakwah Ikhwan. Pelajaran di universiti sudah tamat, namun pembelajaran dengan Ikhwan belum lagi. Mesti lumat betul-betul barulah dilepaskan pulang ke tanah air. Sesiapa yang pulang awal akan dikenakan bayaran (namun tidak ada paksaan untuk membayar) dan bayaran ini akan dimasukkan ke dalam tabung Ikhwan.

Hal ini untuk memastikan agar apa yang berlaku contohnya kepada anak didik IRC tidak berulang (sebuah blog menulis kononnya IRC diubuhkan untuk mengimbangi dakwah jemaah Tabligh, hal ini tidaklah menghampiri kebenaran). Orang tempatan yang menerima tarbiah IRC dua tiga tahun di luar negara kemudiannya pulang membawa manhaj Ikhwan. Malangnya tarbiah yang singkat ini menyebabkan ada antara anak didiknya yang lama-kelamaan menyimpang daripada manhaj sebenar Ikhwan. Sebab itulah ada antara mereka kini yang terpengaruh dengan fahaman Salafi Tua @ Wahabi. Situasi ini berlaku di seluruh dunia. Akhirnya Ikhwan Mesir terpaksa mengambil tindakan yang sewajarnya.

Hari ini, kita lihat para Ikhwani yang pulang dari Timur Tengah terutamanya Mesir tidak menggabungkan diri terus dengan bekas-bekas anak didik IRC. Rata-rata mereka menerima tarbiah dan menamatkan sukatan yang lebih daripada sekadar dua tiga tahun. Fahaman mereka akan manhaj Ikhwanul Muslimin jelas dan mustahil dapat bersekutu dengan manhaj yang sudah bercampur-baur dengan fahaman Wahabi. Kita tidak nyatakan semua anak didik IRC begitu, tetapi segelintir. Jenis inilah yang menjawab “Tak apa, kami akan bersihkan apa yang syirik dalam al-Ma’thurat” sedangkan jawapan Ikhwani, “Kami akan terus mengamalkan al-Ma’thurat kerana memang jelas tidak ada apa-apa yang syirik di dalamnya”.


PENUTUP

Selagi tidak ditulis PENUTUP, celoteh penulis akan menjadi semakin panjang. Banyak lagi yang hendak diperkatakan kerana penulis insyaallah mampu menghuraikan hal-hal berkaitan hingga menjadi sebuah buku. Kesimpulannya, fahaman dan pegangan Ikhwanul Muslimin tidak sama dengan fahaman dan pegangan Salafi Wahabi. ‘Tidak ada bidaah hasanah’ pegangan Qardhawi tidak pernah sama dengan ‘tidak ada bidaah hasanah’ pegangan Wahabi walaupun bunyi dan susun atur hurufnya saling tak tumpah. Anda terutamanya golongan terpelajar, jauhkan diri anda daripada bertaqlid dengan rakan-rakan, ustaz-ustaz dan kuliah-kuliah yang berfahaman Wahabi. Anda sebenarnya berpindah daripada bertaqlid dengan ulama kepada bertaqlid dengan entah siapa-siapa. Seimbangkan input- baca sepuluh buku yang menyokong Dr. Asri ataupun Rasul Dahri, bacalah pula 10 buku yang berkontra dengan fahaman Salafi Tua mereka. Jadilah orang yang adil kepada otaknya sendiri. Islam pernah mencapai kegemilangannya di dunia ini tanpa kehadiran fahaman Wahabi, sebaliknya atas kemeriahan kaum sufi.

‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD’

Bersama Dakwah Tajdid Segar!