Saturday, July 28, 2007

ADAB-ADAB BERDISKUSI

ADAB-ADAB BERDISKUSI

“Dan berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman.
(Az Zaariyat; 55)

Banyaknya orang yang berdiskusi di internet mahupun di alam nyata, macam-macam gaya dalam pelbagai bidang. Nama pun diskusi, maka adalah gelombangnya. Sekejap turun sekejap naik. Sekejap sejuk sekejap berhaba. Sekejap tepat sekejap terkeluar. Sekejap serius sekejap santai. Perkataan ‘diskusi’ itu diubahsuai daripada perkataan Bahasa Inggeris yang maksudnya ‘bincang’. Secara umumnya nukilan kali ini adalah tentang diskusi dan khususnya diskusi dalam bentuk tulisan yang melibatkan hal ehwal agama.

Setiap perbuatan baik ada adab-adabnya. Islam sendiri menganjurkan begitu. Bahkan di kalangan kumpulan pencuri pun ada adab-adab yang dipersetujui bersama, walaupun ia tidaklah kita sebut ‘adab’. Amat menghairankan apabila orang-orang yang bukan penjenayah dan bukan ahli maksiat tetapi tidak beradab ataupun sangat kurang adab dalam berbicara. Biasanya kita dapat melihat sikap tidak beradab yang dimaksudkan ini dalam diskusi di forum-forum dan blog-blog.


Antara adab-adab yang penting:

GUNA ULASAN SENDIRI

Banyak orang yang menghantar artikel ‘copy n paste’ sebagai hujah dan sandarannya, tetapi apabila diminta pertanggungjawaban, mereka tidak mampu mempertahankan artikel yang mereka bawa itu. Kelemahan dan kesalahan dalam artikel tersebut dijaja merata-rata kerana mereka tidak tahu apa kelemahan dan kesalahannya. Hal ini disebabkan mereka menyokong artikel itu atas dasar taksub melulu. Apabila diminta pertanggungjawaban, mereka mendiamkan (melarikan) diri ataupun mula bermain taktik kotor dan tidak beradab.

Saranan penyelesaian- Paling baik, hantar tulisan dan ulasan sendiri. Ini dapat menunjukkan pemahaman kita yang tulen, tiada ketaksuban melulu dan rasa bertanggungjawab.
Hendak ‘copy n paste’? Masih tidak salah asalkan sudah faham keseluruhan tulisan tersebut, sebaiknya sudah dikaji sewajarnya. Kemudian, sanggup pula bertanggungjawab ke atas apa yang kita ‘copy n paste’. Lebih baik lagi sekiranya sedari awal tulisan ‘copy n paste’ itu disertakan sekali ulasan kita. Jika tidak, orang lain tidak tahu apa yang kita faham daripada ‘copy n paste’ kita itu. Sebenarnya, banyak yang bersemangat untuk perjuangkan sesuatu ataupun pertahankan sesuatu tetapi atas dasar semangat sahaja, sedangkan ilmu dan pemahaman tidak setara mana.

"Cukup besar dustanya orang yang memberitakan segala apa yang didengarnya ( tanpa usul periksa yang sewajarnya).”
(Muslim)


MENGIKUT TERTIB

Yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Bereskan satu-satu permasalahan mengikut urutan/ kronologi, jangan melompat-lompat. Soalan yang keluar dahulu, kita jawab dahulu. Soalan yang keluar kemudian, kita jawab kemudian. Sindrom melompat-lompat ini menjadikan perbincangan kacau. Arah tuju dan tema perbincangan pun biasanya akan lari.
Contoh: Ada sepuluh persoalan. Ada ahli perbincangan yang buat-buat tidak nampak persoalan-persoalan tertentu tetapi terus mengheret pembicaraan kepada persoalan yang dirasakan hujahnya kuat. Persoalan pertama hinga kelima belum selesai, terus diajaknya selesaikan persoalan ke enam dan ke sembilan.
Mengapa mereka tidak mengikut tertib? Ada banyak faktor. Antaranya mereka tidak berani bertanggungjawab, takut kelemahan dan kesalahan terkeluar, ego tinggi, memang kurang ilmu tetapi ingin tunjuk pandai dan sebagainya.

Saranan penyelesaian- Selesaikan perbicaraan mengikut urutan. Usahakan untuk menjawab semua yang perlu kita jawab. Jika sedar diri banyak kekurangan pengetahuan dalam hal yang dibincangkan, jangan cuba membawa hujah atau menyatakan pendirian. Cukup sekadar menjadi pemerhati. Tidak salah menulis sesuatu asalkan kena dengan caranya. Jika ternyata kita tersalah, kita akui saja. Taraf diri kita akan dinaikkan oleh Allah di mata umum.

“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.”
(Al Israa’ : 36)


BERTUKAR-TUKAR FIKIRAN, BUKAN BERTUKAR-TUKAR DAKWAAN

A memberi hujah, B membalas hujah. B memberi fakta, A membawa fakta. A kemuka pandangan, B kemuka pandangan. B membawa sandaran, A menghidangkan sandaran. C cerita pemerhatian, D terangkan penelitian.
Cukup cantik dan aman sentosa jika begini cara berdiskusi. Yang jadi masalah ialah apabila A memberi fakta, B membalas tuduhan kosong tanpa fakta. C membawa hujah, D mendakwa itu ini tanpa memberi sandaran kukuh. Lebih teruk lagi kali kedua-dua belah pihak saling berbalas dakwaan tanpa membawa sandaran kukuh atas dakwaannya.

Saranan penyelesaian- Jangan layan teman diskusi yang bersikap begini. Dicadangkan kita beri saja link ke artikel ini agar teman kita itu dapat koreksi diri dan membuat perubahan positif. Sekiranya dia masih mengganggu, buat tak nampak saja tulisan-tulisannya, ataupun boleh juga jawab dengan memberikan link ke artikel ini berulang kali. Lama-kelamaan dia akan perasan juga yang dirinya berdiskusi berseorangan (monolog dalaman yang dilahirkan dalam bentuk bertulis tanpa dipedulikan sesiapa).


BUAT KEPUTUSAN WALAUPUN KECIL

Perbincangan sudah lama tetapi belum ada sebarang keputusan walaupun yang kecil. Apabila kita gagal mendapatkan keputusan, diskusi itu lebih menjurus kepada majlis perbalahan- saling berbalas hujah tanpa ada apa-apa perubahan. Berdiskusilah sehingga ke akhir hayat pun, umumnya tidak akan mendapat hasil apa-apa.
Biasanya, pihak yang sudah goyah hujah-hujahnya sangat takut untuk membuat apa-apa keputusan walaupun kecil kerana hal itu bakal menjatuhan kredibilitinya.
Contoh:
A berdiskusi dengan seseorang, katakan B. A membawa hujah-hujah mempertikaikan ajaran seorang tokoh iaitu Syeikh C. B pula mengutarakan hujah-hujahnya untuk mempertahankan ajaran Syeikh C. Diskusi berjalan dengan aman dan pertukaran aliran hujah dan fakta begitu aktif.
Satu ketika, A berjaya mengesan kesalahan Syeikh C dalam hal tertentu dan kesalahan itu memang jelas. B pun sedar memang Syeikh C salah dalam hal itu. Maka A minta satu keputusan dibuat dalam hal tersebut sahaja (bukan keseluruhan perbincangan) iaitu Syeikh C salah. Malangnya B tidak sanggup untuk membuat keputusan Syeikh C salah dalam hal itu kerana dianggapnya keputusan itu akan menjatuhkan kredibiliti dirinya dan Syeikh C yang disanjungnya.
Sikap B ini bersalahan dengan etika muzakarah, dan tentunya tidak selaras dengan nilai-nilai Islam.

Saranan penyelesaian- A dan B mestilah berusaha membuat keputusan-keputusan kecil sepanjang diskusi mereka. Hal ini kerana gabungan keputusan-keputusan kecil inilah nanti yang akan membentuk keputusan besar. Jika kita melihat perbincangan itu memang tidak akan menjurus kepada pembinaan apa-apa keputusan melainkan medan berbalas tembakan saja, elok kita hentikan saja. Tinggalkan pekerjaan sia-sia.

“Janganlah seorangpun daripada kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian.”
(Hadith riwayat Imam Turmizi)


GUNA KEUPAYAAN SENDIRI

Sebagai contoh, sering kita jumpa seorang yang pro akan sesuatu (kita namakan A) bertukar-tukar fikiran dengan seorang yang kontra akan hal tersebut (kita namakan B). Lama-kelamaan kawan-kawan yang kontra tadi semakin ramai. Mereka turut berdiskusi. Akhirnya diskusi ini jadi lintang-pukang seolah-olah sekawan anjing sedang membuli seekor kucing. B yang sudah goyang hujah-hujahnya berasa selamat kerana apa yang dia lemah ataupun salah mendapat ‘back-up’ daripada rakan-rakan yang sefaham dengannya.
Dari satu sudut nampaknya hujah-hujah A semakin lemah dan hujah-hujah B (dan kawan-kawan) semakin kukuh. Namun pada hakikatnya, fahaman B selama ini adalah lemah. Dia tidak mampu mempertahankan pegangannya secara bersendirian menunjukkan pengetahuannya tentang apa yang dipercayainya selama ini bukanlah atas dasar pemahaman yang mantap, tetapi lebih kepada ikut-ikutan.
Manakala A, pemahaman dan kajiannya adalah lebih baik. Cuma hujah-hujah A seorang tentu saja tidak sehebat paduan hujah-hujah B dan empat lima orang rakannya.

Saranan penyelesaian- Jika kita berada dalam situasi A, kita mestilah bijak mengawal keadaan. Beri tumpuan kepada B dan minta dia berhujah dengan pemahamannya selama ini, bukan dengan pemahaman yang baru diperolehinya hasil sumbang saran rakan-rakannya. Apabila urusan dengan B sudah selesai, baru berpindah kepada C. Selesai dengan C, baru berpindah kepada D. Jika tidak, kita akan dibuli dan dipermain-mainkan.
Seandainya kita berada dalam situasi B pula, kita bersikap jujurlah dengan ilmu. Gunakan keupayaan sendiri. Mengapa bergantung kepada hujah orang lain kalau benarlah kita sudah mengkaji pegangan kita itu selama ini. Jadilah ‘anak jantan’.

“Setiap diri terikat dengan apa yang dikerjakannya.”
(Al-Mudaththir: 38)


JANGAN GUNA TAKTIK KOTOR

Apabila hujah salah seorang pendiskusi mula longgar dan benteng-benteng sandarannya mulai runtuh, pendiskusi yang bersifat mazmumah biasanya akan melaksanakan taktik kotor. Hal ini dilakukan supaya dia terselamat daripada mengakui kelemahan dan kesalahan diri sendiri.
Antara taktik yang biasa dipraktikkan ialah dengan menjawab secara keseluruhan (sengaja meninggalkan bahagian-bahagian diskusi yang hujahnya lemah ataupun salah), tidak menjawab soalan-soalan tetapi memberikan pula soalan-soalan ( soalan pendiskusi lain baginya tidak mesti dijawab tetapi soalannya mesti dijawab), mengubah topik (agar dapat menutup kelemahan dan kesalahannya, memberikan dakwaan demi dakwaan dan bukan hujah sandaran, memberikan kata-kata menyakitkan hati lalu berlepas tangan (ini teknik murahan), terus membuat kesimpulan sendiri tanpa bertanggungjawab ke atas apa yang pernah diperkatakannya dan macam-macam lagi.

Saranan penyelesaian- Tulis “Pendiskusi bernama sekian-sekian sedang mempraktikkan taktik kotor . Layanan hanya akan diberikan setelah dia mengubah sikapnya sahaja. Sekian, terima kasih”. Dan berikan link ke artikel ini sebgaai sokongan.

“Sesungguhnya yang paling dibenci oleh Allah, ialah orang yang pandai mencari-cari alasan untuk menindas kebenaran dan membela kesalahan.”
(Muslim)


Semoga dengan serba-sedikit panduan yang disertakan di atas, kita mengharapkan diskusi-diskusi hal ehwal agama di internet menjadi tempat percambahan ilmu, iman dan amal. Pembasmian para pendiskusi yang kurang ataupun tidak beradab mustahil dapat dilakukan, namun sekurang-kurangnya kita mengusahakan pengurangan.

Wallahualam.


‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

Alexanderwathern
28 JULAI 2007

Wednesday, June 13, 2007

MAKAN KATAK BUKANLAH TEMANYA

MAKAN KATAK BUKANLAH TEMANYA

Seorang yang budiman (nama penanya saya tukar kepada KAWAN sahaja)memberi komen berikut:


KAWAN
(minta penjelasan drp tulisan anta)
Semalam sempat tengok tang binatang halal dan haram. Pada asasnya jumpa 4 je yg jelas haram. Tak berani pulak nak kata katak haram. Boleh sdr jelaskan dak.

Penjelasan drpd para ilmuan didahului dgn ribuan terima kasih.


ALEX
Maaf lewat menanggap, saya tidak perasan ada mesej peribadi.

Tulisan saya yang mana ni tuan? Nanti tolong maklumkan.
(Adakah tulisan saya ‘KEMBARA DI NEGERI TERBIDAAH” di http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=116&mode=&order=0&thold=0 ?)

Kita masih dalam adab-adab beratikel sebagaimana yang pernah saya jelaskan di forum. SEBAIKNYA (bukan semestinya) apabila membaca sesuatu artikel dan hendak menulis tentangnya, kita tanggap dahulu sekurang-kurangnya secara keseluruhan. Jika tidak kita akan dipandang seperti seorang yang hanya mencari-cari kelemahan dan kesalahan penulis sahaja, bukannya seorang yang MEMIKIRKAN artikel tersebut.
Begitu saranan saya.

Jadi tuan ada melihat tentang “binatang halal dan haram” pada “SEMALAM”. OK.
Pada “SEMALAM” itu secara ikhlasnya, tuan lihat di mana? Sekiranya di internet, sudilah kiranya memberikan alamat sumber tersebut.
Tapi… saya mahu yang “SEMALAM” itu sahaja, yang tuan cari kemudian daripada Itu tidaklah saya perlukan.

Jadi yang tuan jumpa “SEMALAM” itu asasnya jumpa 4 je yg jelas haram”. Daripada perkataan “JELAS” itu menunjukkan tuan juga menjumpai YANG TIDAK HARAM dan YANG TIDAK JELAS haramnya.
Diharap tuan senaraikan serba-sedikit apa binatang yang TIDAK JELAS halal haramnya yang tuan jumpa “SEMALAM” itu.

Kemudian tuan kata tidak berani untuk mengatakan katak haram.
Daripada kenyataan ini timbul persoalan:
Apakah dengan BERANI MENGATAKAN HARAM MAKAN KATAK itu membawa apa-apa kerosakan pegangan agama? Hal ini kerana banyak juga para ulama terdahulu yang mengharamkannya. (Akan kita sentuh di bawah nanti)

Memang saya pernah terbaca fatwa Astora Jabat (yang kini “tempatnya” sebagai “alat” pihak tertentu mula digantikan dengan Dr. Asri) mengatakan:
“Hukum makan katak adalah HARUS KERANA ALLAH TIDAK PERNAH MENYEBUT DALAM AL QURAN bahawa haiwan itu haram dimakan.”

Bagi Astora, asal Quran tidak sebut saja maka bolehlah.
(Utusan Malaysia, 10 Jul 2005)

Baiklah. Saya bukanlah seorang ulama ataupun alim bidang fiqh. Lagipun fiqh bukanlah pengkhususan saya. Sungguhpun begitu, sefaham saya empat mazhab yang muktabar berpendapat:

MAZHAB SYAFIE
Umumnya berpendapat katak tidak boleh dimakan.

MAZHAB HANAFI
Umumnya berpendapat katak tidak harus dimakan

MAZHAB HANBALI
Umumnya berpendapat katak haram dimakan

MAZHAB MALIKI
Umumnya berpendapat katak HARUS dimakan

YANG TIDAK BERMAZHAB
Saya tidak/ belum tahu pendapat mereka

Kesimpulan kecilnya, saya melihat banyak ulama yang TIDAK MENGHARUSKAN memakan katak. Oleh kerana saya tidak mahir bidang fiqh dan dalam hal ini, saya rasa tidaklah menjadi kesalahan kalau ada umat Islam yang lebih senang mengikut pendapat mereka.

Kebetulan ada pula riwayat-riwayat yang melarang saja-saja membunuh katak seperti:

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar dan Abdur Rahman bin Abdul Wahhab, mereka berdua telah berkata: telah memberitahu kepada kami Abu Aamir al-Aqdi telah memberitahu kepada kami Ibrahim bin al-Faqhl daripada Said bin al-Maqburi daripada Abu Hurairah katanya bahwa Rasulullah melarang daripada membunuh surah (sejenis burung), katak, semut dan belatuk.
( Ibnu Majah)

Telah memberitahu kepada kami Ubaidullah bin Abdul Majid telah memberitahu kepada kami Ibn Abu Zib dari Said bin Khali dal-Qarizi dari Said bin al-Musaiyyib dari Abdul Rahman bin Uthman bahwa Rasulullah telah melarang membunuh katak.
(an-Nasa’i)

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad pernah seorang hendak menjadikan katak sebagai ubat tetapi ditegah oleh Rasulullah. Hadis ini disahihkan oleh Imam al-Hakim.

Sesetengah pihak mengatakan hadis-hadis ini dhaif, tetapi gabungan ketiga-tiganya menguatkan KETIDAKHARUSAN memakan katak. Maka dari segi MAKNANYA ia lebih MENGHAMPIRI hasan bukan dhaif.

Hadis-hadis yang menegah ADA walaupun dhaif tetapi hadis-hadis yang menyuruh ataupun mengharuskan makan katak- yang dhaif pun tidak ada. Mengapa kita lebih memilih yang “TIDAK ADA LANGSUNG” berbanding yang “ADA JUGA”?

Sefaham saya juga, tidak kurang para ulama yang tidak mengharuskan makan binatang dua alam (amfibia) kecuali yang tidak berdarah. Ketam tidak berdarah, boleh saja dimakan sungguhpun dua alam. Katak berdarah, dan binatang berdarah kena sembelih dulu sedangkan katak tidak ada leher, seperti babi yang tidak ada leher sungguhpun ia berdarah.

Pengharaman amfibia banyak disebut dalam kitab-kitab Mazhab Syafie dan diberitahu kepada saya ia ditekankan dalam kitab Nihayatul Muhtaj karangan Syeikh ar-Ramli. Wallahualam.

Jadi sebahagian ulama berasa cukup warak dengan mengatakan harus makan katak. Sementara para ulama yang lebih berhati-hati (dan begitulah sepatutnya sikap kita) dan mahu lebih warak tidak mengharuskannya.

Samalah dalam isu Nabi Muhammad mencium isterinya tapi tidak membatalkan wuduk.
Para ulama yang berhati-hati mengatakan tidak batal wuduk, tetapi para ulama yang lebih berhati-hati mengatakan batal.

Hal ini kerana maklumat-maklumat yang ada kurang mencukupi. Misalnya:
1. Rasulullah cium di bahagian mana?
2. Berlapik ke tidak?
3. Adakah khusus untuk baginda sahaja?
4. Apa bukti kukuh mengatakan tidak berlapik?
5. Apa bukti kukuh mengatakan ciuman jatuh pada kulit?
6. Dan lain-lain

Jadi, selagi tidak ada bukti kukuh, “mahkamah” para ulama ini tidak berani untuk mengatakan boleh. Sikap mereka menunjukkan lebih berhati-hati.

Dalam isu makan katak ini juga, kita boleh pilih untuk bersikap WARAK ataupun untuk bersikap LEBIH WARAK.

Saya berasa sedikit hairan kerana dalam banyak-banyak isu besar umat Islam, mengapa isu KHILAF dan ISU MAKAN KATAK yang menjadi keutamaan tuan terhadap saya…? Mengapa bukan isu perpaduan antara jemaah-jemaah Islam contohnya? Ada baiknya tuan baca kembali tulisan saya bertajuk DAWKAH TAJDID SEBENAR http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=121&mode=&order=0&thold=0 terutamanya perenggan:

@@@MULA PETIKAN
TAJDID LAPOK
Menghabiskan sebahagian besar masa, tenaga dan harta untuk membincangkan isu-isu khilaf. Seolah-olah itu sajalah perjuangan utama mereka dan itulah agama Islam. Tajdid Lapok ini direstui penuh musuh-musuh Islam. Mereka mahu umat Islam terutamanya golongan ulama sentiasa dalam keadaan bertelingkah. Kalau para ulama sudah berbalah, apa lagi orang awam.

TAJDID SEGAR
Mengutamakan isu-isu utama. Isu khilaf tidak ditinggalkan tetapi bukan menjadi agenda utama. Jika ada keluangan masa dalam memperjuangkan isu-isu utama, barulah dibuka isu-isu khilaf. Ini kerana telah terbukti bahawa isu-isu khilaf telah dibincangkan abad-berabad dan keputusannya, masih juga khilaf. Masa berabad-abad itu berlalu begitu sahaja tetapi keputusannya tetap sama. Ini membazir masa namanya. Kerja membazir ini sangat disukai Iblis dan syaitan. Jadi Tajdid Segar meletakkan perkara-perkara khilaf ke samping. Musuh-musuh Islam memang sakit hati dengan Tajdid Segar ini kerana umat Islam tidak ada masa untuk berbalah tetapi ada banyak masa untuk berhadapan dengan mereka.
@@@TAMAT PETIKAN

Tuan juga dijemput membaca tulisan saya bertajuk PENJELASAN UNTUK ENCIK IBRAHIM 2 di http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=160&mode=&order=0&thold=0 untuk melihat bagaimana seorang yang terpengaruh dengan fahaman Salafi Wahhabi memandang isu botox dan klon lebih utama daripada perpaduan umat dan pengislahan diri individu Islam.

Akhir kata, isu katak bukanlah agenda besar dalam perjuangan saya. Untuk memahami agenda utama saya tuan bolehlah membaca “HIMPUNAN SARANAN TAJDID SEGAR” di http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=180&mode=&order=0&thold=0

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”

11 JUN 2007



KAWAN
Assalamualaikum,
Terimakasih diatas penjelasan saudara.Pertama tama saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak melawati blog sdr. Dan kesimpulannya disinilah kesilapan pandangan saya.

Sebenarnya saya hanya kesempatan melawat tgnukite, sesekali harakah daily, dan blog Nasruddin tantawi, saiful islam dan tulisan sahabat saya jefrri harris.

Sebenarnya jika tuan perasan, saya mengenali tulisan sdr melalui Trgnu kite dan jika tuan perasan lagi tuan terus menghantar darihal bab bab khilaf termasuk cerpen makan goreng katak. (sila rujuk kembali hantaran tuan kpd trgnukite)

Dek kerana masa dan lazimnya iklan je bagus, saya mengambil jalan ringkas tidak mengjengah laman blog sdr. Disini kesilapan saya menilai sdr kerana posting sdr byk menghantar perbahasan yg khilaf di Trgnu kite.

Memang saya tak berminat lansung bincang tang katak tuh, tapi itu yg saya terbaca dari tulisan tuan.

Saya kurang pasti tang kitab yg saya rujuk, cuma selalunya saya merujuk pd Fikih sunnah (sayiq sabiq) Koleksi hadis Hukum (TM Hasbi) dan Halal Haram dlm Islam (Yusof Qardhawi)

Seingat saya garis dasar yg ditulis dlm kitab itu, 4 jenis tu:-
1. Babi dan ulamak mengaitkan sekali dgn anjing
2. Binatang memakan benda kotor termasuk benda najis
3. Binatang buas
4. Binatang yg disembelih bukan kerana Allah

Mungkin, sekadar mungkin.... ada eloknya sdr post kpd trgnukite mengikut keutamaan (mungkin masalah besar umat yg penyelesaian tanpa khilaf ) dahulu baru diikuti dgn posting yg telah dihantar, barulah tidak ramai yg tersalah anggap kpd sdr kecuali yg telah mengenali sdr.

Mungkin saya juga tidak akan membalas byk persolan drpd sdr yg baru baru ini kerana saya rasa tak byk mana perbezaan pandanga antara kita dan kita punya byk tugas lain yg lebih aula. Terutama org macam saya nih, yg terperangkap dgn mereka.(US) Saya keja dgn kilang mereka dan mungkin tidak keterlaluan saya katakan antara agenda mereka utk umat menjadi islam menjadi lemah ialah dgn menyibukkan mereka dgn perbagai assignment agar mereka terlalai/tak sempat masa akan tugas sebagi jundullah. Nampaknya mereka sanggup bayar gaji lebih sikit asal saja kita lalai/tak kesempatan (bijak mereka kan?)

So saya sgt bersetuju dgn kenyataan tuan menyatukan umat, cuma rasul tidak menunggu utk semua (100 %) jadi picisan yg tak mau... bye bye.
Itu sebab kekadang saya tidak mau membuang masa bertekak dgn yg minat berbahas tang khilaf. Ini saya lihat, apabila Rasul meninggalkan Mekah, akhirnya ramai drpd penduduk Mekah itu menerima islam apabila pembukaan kota Mekah dan juga sebelumnya. (mungkin ini dipanggil reverse saikologi kot )

So mungkin step kedua, spt yg sdr sebut itu (1. penyatuan umat ) ialah membebaskan umat dan bakal pelapis dari kekangan (spt yg saya hadapi kini...makan gaji dgn mereka dan terikat dgn mereka...assignment dan sebagainya spt saya ulas diatas)
.........So ini yg patut kita buat,penyediaan ilmu dan aset utk anak anak agar satu hari nanti ia lebih bebas dan berkualiti. Bukankah sirah para sahabat dulu tidak makan gaji berterusan macam kebanyakkan kita sekarang ini. Cuma perubahan ini tidak boleh mendadak, Ia perlu proses dan masa,So far syukur, ramai pemimpin kita yg telah bekerja sendiri dan sayugia juga kekita yg ramai ini membantu membeli produk atau menghulur sedikit .(saling dappat manafaat...kita dpt ilmu dan mereka dapat sara hidup) Bagi saya itu sikap yg perlu ada dlm minda kita umat slam semua. Jika tuan rasa masih ramai yg kurang faham tang ini, Kefahaman ini juga perlu diwar warkan.

Jumpa dilain masa ,maaf jika terkasar bahasa.

wassalam
KAWAN

Tue Jun 12, 2007 9:52 am



ALEX
Wlksm.

Terima kasih kembali kerana kita masing-masing dapat manfaat melalui dialog ini, ada pertukaran maklumat.

Rupanya tuan tidak melawat blog saya lagi. Tidak mengapa, semua orang pernah tersilap termasuklah saya.

Laman-laman yang tuan lawat nampaknya bagus-bagus. Nampak kecenderungan tuan kepada permasalahan politik. Jika ada kelapangan, jemputlah berziarah ke blog saya yang dhaif itu di http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/ . Saya juga persilakan tuan ke http://protajdid.blogspot.com/ .

Urutan “posting” saya di TKO boleh tuan lihat di sini http://www.tranungkite.net/modules.php?name=Forums&file=search&search_author=alexanderwathern .
Mengikut urutan, antara “posting” awal saya ialah tentang agama Kristian.
Jadi cara kita berbeza dalam menerima maklumat. Contohnya saya, sebaik sahaja menerima tanggapan daripada tuan, saya cuba kenali PANDANGAN KESELURUHAN tuan terlebih dahulu dengan dengan mencari maklumat tentang KAWAN baik dalam TKO ataupun di luar. Tapi tak banyak maklumat. Kalau tuan ada blog lagi bagus. Saya suka membuat penilaian awal dengan mencari gambaran keseluruhan seseorang. Itu cara saya, lain orang lain caranya.

Begitu juga dalam hal memilih ulama untuk dijadikan “ulama” kepada kita. Saya tidak seperti kebanyakan orang yang menilai ulama mereka dari sisi “betulnya” saja, sisi “silapnya” dibuat pejam mata. Mereka tidak mahu buat pertimbangan adil. Akibatnya, pandangan ulama itu yang silap akhirnya meresap ke dalam minda kita secara tidak disedari.

Dengan cara ini, sungguhpun Qardhawi adalah ulama pilihan saya, tetapi umumnya saya tahu apa yang layak diambil dan apa yang tidak daripada Qardhawi. Begitu juga kepada Syed Qutb, Albani, Imam al-Ghazali, Ustaz Ashaari Muhammad, Ustaz Hadi Awang, an-Nabhani, Syeikh Nazeem dan lain-lain.

Kesimpulannya, pemikiran saya ada kemiripan dengan pemikiran Huzaifah Ibn Yaman. Di samping menyambut yang hak, saya juga akan meneliti yang batil daripada seseorang agar saya terselamat daripada kebatilannya.

Dalam isu makan katak, saya telah maklumkan rujukan saya dan tuan juga telah maklumkan rujukan tuan. Kita juga sefaham bahawa isu ini tidaklah lebih penting daripada isu penyatuan umat.

Cerpen saya bertajuk KEMBARA DI NEGERI TERBIDAAH itu sepatutnya dilihat dari sudut idea utamanya. Apakah idea utamanya? Ia meminta kita berfikir (dan bertindak) tentang bahaya yang bakal timbul jika fahaman Salafi Wahhabi menguasai minda masyarakat. Apakah kesan buruk daripada kelonggaran melampau ijtihad dan talfiq? Itulah yang cuba dilontarkan.
]
Cadangan tuan agar saya buat “posting” ikut urutan ada baiknya. Cuma sefaham saya, jika dibuat begitu maka banyak tulisan saya akan memenuhi TKO dan akhirnya nampak seolah-olah saya hendak menjadikan forum ini blog saya pula. Walau bagaimanapun, terima kasih atas cadangan tersebut.

Pasal persoalan-persoalan saya itu, tidaklah menjadi kewajiban tuan menjawabnya. Itu terpulang kepada tuan. Lagipun rasanya kita boleh menjadi gandingan yang baik juga dalam mendakwahkan agama Allah ini. Setakat ini saya berasa senang berurusan dengan tuan, tambahan pula nampaknya tuan seorang yang agak tenang dan beremosi stabil.

Kerjaya tuan mencabar, ada baiknya juga kerana kita ada “orang” dalam dunia mereka. Tuan mampu untuk bawakan “selok-belok strategi musuh” kepada umat, teruskan.

Yah, tuan ada idea dalam hal yang tuan perkatakan. Ada baiknya tuan kongsikan bersama kami semua. Saya sarankan tuan buka satu blog.

Akhirnya , saya juga mohon berbanyak maaf jika ada tersalah silap.

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”

12 JUN 2007

Tuesday, April 24, 2007

MEREKA SANGGUP KETEPIKAN AL-KITAB DAN AS-SUNNAH

MEREKA SANGGUP KETEPIKAN AL-KITAB DAN AS-SUNNAH
(Evolusi Wahabi Untuk Mengelak Kepupusan)

PERTAMA
Asalnya Salafi Lapok/ Palsu mahu mengorek kubur dan mengubah jasad Rasulullah, Abu Bakar dan Umar ke luar daripada masjid. Pihak Syiah juga umumnya bercita-cita begini mahu mengorek keluar mayat khalifah pertama dan kedua itu keraan mereak menganggapnya dua berhala Quraisy.
Oleh kerana kaum Salafi Lapok takut akan kemarahan umat Islam sedunia, hasrat itu dibatalkan. Bukankah sepatutnya kita takut akan Allah? Kalau benarlah fahaman Tajdid Lapok mereka itu, semestinyalah ubah sahaja jasad-jasad itu. Kan itu tuntutan al-Kitab dan Sunnah?
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menjaga kepentingan politik.

KEDUA
Asalnya azan mereka tidak berlagu kerana kononnya mengikut sunnah, seperti laungan Bilal. Tapi kemudianya berubah. Kini para muazzin Salafi Lapok bukan main sedap lenggok azan mereka.
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menambah bilangan penyokong.

KETIGA
Asalnya mazhab-mazhab semuanya berdosa dan sesat (atas kata kunci bid’ah). Oleh kerana fahaman mereka tidak mendapat tempat, mereka berubah haluan dengan mengajar pula kitab-kitab mazhab seperti kitab-kitab Mazhab Syafie, tapi dengan huraian Tajdid Lapok. Dengan taktik ini maka pengikut mereka bertambah ramai. Maklumlah, yang mendengar kupasan kitab itu kebanyakannya jahil dan kurang kefahaman agama. Maka bertambahlah pengikut mereka.
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menambah bilangan penyokong.

KEEMPAT
Asalnya menghukum sesat dan berdosa (atas kata kunci bid’ah) ke atas semua jemaah-jemaah Islam. Katanya hanya 1 golongan selamat daripada 73 golongan. Populariti punya pasal, perlahan-lahan dikendurkan hukum bid’ah itu. Kemudian kaitkan beberapa orang tokoh jemaah-jemaah itu dengan fahaman mereka. Maka pengikut mereka pun bertambah ramai.
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menambah bilangan penyokong.

KELIMA
Mula-mula menghukum sesat dan berdosa (atas kata kunci bid’ah) kepada sambutan Maulidur-Rasul. Mereka membelakangkan al-Kitab dan as-Sunnah lagi apabila mengetahui yang Hasan al-Banna dan tokoh-tokoh Ikhwan memang menyambut Maulidurrasul. Laman-laman web Ikhwan seluruh dunia terpapar “banner” ucapan Maulidurrasul. Malah Maulidurrasul menjadi salah satu daripada hari kebesaran orang-orang Islam diambil peluang oleh Ikhwan untuk berdakwah. Dr. Qardhawi sendiri tidak membidaahkan Maulidur-Rasul walaupun baginya tiada bidaah hasanah. Nyatalah fahaman “tiada bidaah hasanah” bagi Qardhawi dan tokoh-tokoh Ikhwan sebenarnya tidak sama langsung dengan “tiada bidaah hasanah” kumpulan Salafi Lapok ini. Cuma mereka yang terperasan lalu menjaja nama Qardhawi ke sana sini.
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menambah bilangan penyokong.

KEENAM
Mereka menentang kekhalifahan Islam. Mereka menyerang wilayah Turki Uthmaniyah. Mereka sebenarnya membantu Barat menjatuhkan kehalifahan Islam. Mereka menyerang kota Makkah. Mereka membunuh dan mengusir keturunan Rasulullah di Makkah. Mereka tidak pernah menyerang Yahudi. Tidak pernah menyerang Kristian. Tidak pernah menyerang musuh-musuh Islam. Sejarah berulang, mereka membantu lagi Barat menyerang sebuah negara umat Islam iaitu Iraq. Dihukumnya kafir pemerintah Iraq. Mereka kecam habis-habisan tokoh Syiah yang membantu kaum Tartar menjatuhkan kekhalifahan Islam di Baghdad. Tapi mereka sendiri yang membantu Barat menjatuhkan kekhalifahan Islam di Turki bagaimana? Mereka sendiri membantu tentera kufar menjatuhkan dan membunuh Saddam Hussein (sebenarnya umat Islam) di Iraq apa hukumnya? Mereka yang menyokong pembunuhan Mujahiddin (melalui Taliban) di Afghanistan selepas era Soviet apa hukumnya?
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menguatkan pengaruh dan kedudukan di muka bumi.

KETUJUH
Mereka hentam Sayyid Qutb bersama tafsir Fi Zilalil Qurannya. Ada yang menghukum kafir, wahdatul wujud (yang mereka tidak pernah faham apa maksudnya), sesat, bidaah dan sebagainya. Alih-alih Sayyid Qutb rupanya antara tokoh lagenda Ikhwan. Kitab tafsirnya menjadi teks rujukan utama Ikhwan malah dipuji sebagai paling relevan untuk kurun yang lalu oleh Buya Hamka (Muhammadiyyah, Indonesia). Maka mengendurlah pula dakwaan mereak terhadap Sayydi Qutb… nak jaga penyokong rupanya.
Mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menjaga jumlah penyokong.

KELAPAN
Mulanya mereka kata majlis kenduri arwah dan tahlil berdosa dan akan ke neraka. Sesiapa yang melibatkan diri dalam hal-hal kemungkaran maka dosanya sama seperti yang melakukannya, tidak berkurang walaupun sedikit.- itu hadis Nabi.
Samalah seperti kita yang tidak minum arak dan bergaul bebas dengan wanita-wanita bukan mahram, tapi kita duduk-duduk dalam majlis kawan-kawan kita yang sedang minum arak dan berpegang-pegang dengan wanita bukan mahram. Apa hukumnya?
Yang peliknya akhir-akhir ini sudah ada “trend” baru! Kalau ada jemputan tahlil arwah, sebahagian daripada mereka akan pergi! Mereka duduk sekali! Cuma tidak berzikir dan membaca apa-apa. Waktu orang makan mereka ada yang makan dan ada yang tidak makan. Kononnya dengan cara itu mereka tidak melakukan bidaah dan tidak berdosa.
Lucunya.
Lepas ini bolehlah kita duduk-duduk dalam majlis kawan-kawan kita yang menunggang arak asalkan kita tidak minum arak. Nak raikan kawan-kawan kononnya agar tak timbul masam muka.
Apa yang pasti, mereka sanggup mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah demi menjaga hati masyarakat.

Banyak lagi evolusi dan mutasi yang berlaku ataupun dilakuakn oleh penganut fahaman Tajdid Lapok ini. Mereka sendiri tahu tajdid yang mereka laung-laungkan adalah lapok, maka begitu banyak fahaman asal mereak kini sudah diubahsuai. Kalau tidak diubahsuai, tidak mustahil akan pupuslah perjuangan Salafi Lapok. Tapi tanpa mereka sedari dalam berevolusi dan bermutasi ini mereka sebenarnya sudahpun mengetepikan al-Kitab dan as-Sunnah- dulu kata tak boleh, kini sudah boleh.

Tinggalkan dakwah Tajdid Lapok yang tidak ada ketetapan pendirian ini, marilah bersama dakwah Tajdid Segar yang masih seperti itu juga sejak zaman Rasulullah SAW. Buatlah perubahan sekarang.

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Alexanderwathern
24 APRIL 2004

Sunday, April 22, 2007

PERSOALAN-PERSOALAN TENTANG TAJDID SEGAR

PERSOALAN-PERSOALAN TENTANG TAJDID SEGAR

Apakah Tajdid Segar?

Tajdid Segar adalah dakwah pembaharuan dalam agama. Ia adalah tajdid sebenar atau tajdid tulen sebagaimana yang dimulakan oleh Nabi Muhammad SAW dan para salafussoleh pada zaman mereka dahulu. Sepatutnya ia disebut tajdid sahaja, tetapi untuk membezakan tajdid sebenar dengan Tajdid Hambar yang dibawa oleh golongan Salafi Lapok, kita namakan ia sebagai Tajdid Segar.

Bolehkah agama dibaharukan?
Tajdid Segar membawa pembaharuan dalam agama, bukan pembaharuan agama. Tambahan pula, yang dimaksudkan dengan pembaharuan ini pada hakikatnya adalah pengulangan semula tajdid asal sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW setelah ia dirosakkan oleh golongan Salafi Lapok yang membawa Tajdid Hambar atau Tajdid Lapok.

Apa yang dibaharukan?

Pembaharuan yang dimaksudkan berlaku dalam banyak perkara terutamanya dari segi teknik dan taktik berdakwah.

Pada zaman Nabi mana ada Tajdid Segar.
Apa yang dibawa oleh Nabi itulah Tajdid Segar, cuma pada zaman itu ia belum diistilahkan sebagaimana namanya hari ini. Samalah seperti istilah mustalah hadis, tasauf, sufi, mantik, balaghah dan lain-lain.

Mengapa baru sekarang Tajdid Segar dihebohkan?
Kerana inilah masa kemunculannya yang paling sesuai.

Apa beza Tajdid Segar dengan tajdid yang dibawa oleh golongan Salafi-Wahabi?
Banyak. Untuk memahaminya eloklah kita baca artikel bertajuk DAKWAH TAJDID SEBENAR di http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=121&mode=&order=0&thold=0
sebagai permulaan.

Apakah Tajdid Segar ini satu jemaah?
Bergantung kepada maksud “jemaah’ yang masing-masing maklumi. Tapi secara umumnya Tajdid Segar bukanlah satu jemaah tertentu. Ia lebih berupa satu gelombang yang melanda semua jemaah Islam yang ada. Inilah gelombang tajdid sebenar, yang akan menyatukan seluruh jemaah Islam yang benar.

Bolehkah dakwah Tajdid Segar ini pergi jauh sedangkan para pencetusnya bukanlah para ulama, cuma golongan muda yang berbekalkan semangat saja?
Barisan pencetus Ikhwanul Muslimin pada awalnya terdiri daripada tujuh orang anak muda saja dan mereka bukan ulama. Mereka hanya berbekalkan serba-sedikit pengetahuan agama dan semangat. Akhirnya Ikhwanul Muslimin mempunyai jutaan pendokong di seluruh dunia dan antara ahli-ahlinya adalah Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Ramadhan al-Buti, Syeikh Yusuf Qardhawi, Syed Qutb, Syeikh Mustafa Siba’ie, Syeikh Said Hawa, Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Abdul Majeed al-Zindani dan banyak lagi para ulama muktabar.

Apakah usaha-usaha Tajdid Segar dalam masa terdekat ini?
1. Menyebarkan fikrah Tajdid Segar kepada seluruh umat Islam
2. Mengekang dakwah Tajdid Hambar oleh golongan Salafi Lapok
3. Meneutralkan seberapa ramai Salafi Lapok
4. Menyebarkan idea-idea perapatan ukhwah dan halatuju antara jemaah-jemaah Islam
5. Tajdid diri sendiri terlebih dahulu (ini yang terpenting)

Bersambung…

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Abu Zulfiqar “Alexanderwathern”
20 APRIL 2007

Untuk kefahaman maksima, ada baiknya para pembaca meneliti artikel-artikel sebelum ini seperti:

Artikel Pertama
DAKWAH TAJDID SEBENAR
">

Artikel Kedua
QARDHAWI TOLAK DAKWAH TAJDID LAPOK OLEH SALAFI LAPOK
">

Artikel Ketiga
PELUMBA TAJDID
">

PELUMBA TAJDID

PELUMBA TAJDID

* Artikel ini menggunakan bahasa kiasan yang tinggi, calang-calang pembaca tidak mampu memahami isinya. Oleh itu, tuan puan bacalah dengan berhati-hati dan cuba gambarkan suasananya. Untuk membantu mereka yang tidak berjiwa sastera dan seni, saya masukkan sedikit penerangan dalam kurungan. Tapi, hilanglah sikit nilai sasteranya. Begitulah kalau orang sastera berkarya.

Berkerut dahi Bang Guru mendengar soalan salah seorang pendengar kuliah tajdidnya. Kemudian Bang Guru meneruskan lagaknya seperti seorang yang berwibawa sambil tertawa dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
“He he he he… maaacam-macam la orang Melayu ni. Belum habis dengan bid’ah, timbul pulak Tajdid Segar. Ini pun satu lagi bid’ah orang Melayu.”
“Adoooiii… mana pulak datang Tajdid Segar ni? Kalau tajdid tu, tajdid je la… macam yang saya kuliahkan… macam yang tuan-tuan perjuangkan selama hari ini. Apa pulak nak Tajdid-tajdid Segar ke, Tajdid Bugar ke, Tajdid Hambar ke…. Ini semua mengarut. Inilah dia fitnah akhir zaman.”
Bang Guru menghirup air kosong yang disediakan untuknya lalu menyambung, “Zaman sahabat ada ke pembahagian tajdid? Tapi ini bukan benda yang mengejutkan, sebab bid’ah pun mereka buat macam-macam pembahagian. Biarlaaah… setiap bidaah sesat dan setiap yang sesat akan ke neraka.”
“Ha ha ha..” para peminat Bang Guru tertawa seronok mendengar hamba-hamba Allah yang sebangsa dan seagama dengan mereka, termasuklah bapa-bapa dan datuk nenek mereka dahulu akan masuk neraka.

Begitulah antara aksi-aksi yang bakal muncul tidak lama lagi. Biasalah, para pejuang Tajdid Segar sememangnya melatih diri mereka untuk berpandangan jauh ke depan tanpa meninggalkan perkara-perkara berguna dari masa lalu. Seimbang begitu. Biasanya mereka sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku. Ini berbeza dengan mereka yang mengaku Salafi tetapi memperjuangkan Tajdid Lapok atau Tajdid Hambar, fokus mereka lebih banyak melihat ke belakang daripada ke depan. Mereka mahu umat Islam terus mundur ke belakang dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan perbalahan masa silam dan membawanya ke masa akan datang.

Ibarat orang memandu kereta, pandangan banyak ke hadapan, sesekali melihat ke belakang melalui cermin sisi. Dalam pada itu, pedal (Al Quran) dan stereng (as-Sunnah) masih bersentuhan dengan diri. Begitulah pemandu kereta Tajdid Segar.
Tapi bagi golongan Salafi Lapok atau Salafi Hambar, sambil memandu mata lebih banyak melihat ke belakang melalui cermin. Akhirnya pedal tersilap tekan dan stereng terubah haluan lalu terlibat dengan kemalangan. Dalam pelumbaan, asyik tewas dengan lawan-lawannya (musuh-musuh Islam).
Lawan-lawannya dalam kereta-kereta lain (musuh-musuh Islam) memang seronok berlumba dengan pemandu kereta Tajdid Lapok atau Tajdid Hambar sebab mereka tahu… pemandu jenis ini akan lebih banyak melihat ke belakang daripada melihat ke depan. Tapi kalau dengan pemandu kereta Tajdid Segar, mereka cukup gerun.

Sungguhpun para pemandu Tajdid Segar dan Tajdid Lapok berada dalam satu pasukan (macam McLaren Honda) iaitu pasukan McSalam (agama Islam), tapi para pemandu Tajdid Hambar sangat susah mahu mewujudkan semangat berpasukan dan semangat kekitaan. Mereka asyik pertikaikan sesama ahli pasukan McSalam terutamanya kepada para pemandu Tajdid Segar- siapa lebih hebat, siapa lebih betul, siapa paling tulen (paling salaf) dan pelbagai lagi isu-isu yang membuahkan perbalahan. Bahkan sesama pemandu Tajdid Hambar pun wujud lima enam klik yang saling sesat-menyesat antara satu sama lain.
Yang hairannya, dua pasukan yang saling bermusuhan sampai berbunuh-bunuhan iaitu pasukan McChrist (Kristian) dan McJew (Yahudi) boleh pula bekerjasama dalam mengalahkan kereta-kereta pasukan McSalam.
Sebab itulah, dalam mana-mana litar pelumbaan pun baik di Suzuka, Jepun (ekonomi), Sepang (budaya), di Eropah (teknologi) dan lain-lain sentiasa saja dimenangi oleh pelumba-pelumba pasukan McChrist ataupun McJew. Pelumba-pelumba McSalam… sejak ujian masa lagi sudah menempah petak-petak terakhir.

Namun para pemandu Tajdid Segar tetap berusaha mewujudkan perpaduan dan sedia bertolak-ansur sesama sendiri walaupun berbeza pembawaan. Ini kerana mereka datang dari tempat-tempat yang berlainan. Ada yang dari Desa Naqsyabandiah, ada yang dari Kampung Tabligh, ada dari Bandaraya Ikhwanul Muslimin, dari Taman Hizbut-Tahrir, dari Bandar Hamas, Rumah Murah Ahmadiah, Pos ABIM, Tebok JIM, Sungai ISMA, Changkat Parti Islam, Kuala Qadiriah, Batu 16 Syaziliah dan lain-lain.
Untuk mewujudkan perpaduan, mereka menumpukan usaha dalam hal-hal yang disepakati. Hal-hal yang dikhilafkan mereka berusaha menghindarkannya, tapi jika ada lebihan masa dan keadaannya sesuai, mereka tetap bertukar-tukar fikiran dalam suasana damai.

Sebelum ini, para pelumba kereta Tajdid Segar belum benar-benar bersatu. Merekan menentang cara para pemandu Tajdid Hambar secara sendiri-sendiri. Sebenarnya mereka telahpun memperjuangkan idea-idea Tajdid Segar, cuma belum dicetuskan secara global. Kini, dengan adanya inisiatif golongan muda dalam pasukan Tajdid Segar, idea-idea Tajdid Segar sudah berdiri sebagai satu ilmu dan bersifat global.
Fenomena ini amat menggemparkan pasukan-pasukan yang anti-McSalam terutamanya McChrist dan McJew. Belum pernah mereka melihat pasukan McSalam yang bersatu sebagaimana yang dibuat oleh para pemandu kereta Tajdid Segar. Di mata mereka sudah terbayang kekalahan. Zaman kegemilangan pasukan McSalam ketika diterajui oleh pemandu lagenda Muhammad bin Abdullah dulu dirasakan akan berulang kembali.

Tapi… rupa-rupanya barisan pemandu Tajdid Hambar lebih ketakutan! Sebahagian pemandu mereka sudah berpaling tadah menyertai barisan Tajdid Segar. Sebahagian lagi masih bersama Tajdid Hambar namun sudah tidak melaksanakan kesemua idea-idea Tajdid Hambar. Yang benar-benar perjuangkan idea-idea Tajdid Hambar kini hanyalah golongan mereka yang baru menceburkan diri dalam sukan lumba kereta (dunia agama) yang kebanyakannya berusia belasan tahun dan dua puluhan, masih berhingus dan menyokong tanpa ilmu lumba kereta yang memadai. Mereka taqlid buta kepada syarahan-syarahan dan artikel-artikel tokoh-tokoh pelumba Tajdid Hambar. Satu lagi golongan yang masih banyak dalam barisan pelumba Tajdid Hambar ialah mereka yang sudah ada nama, ataupun sudah ada pangkat ataupun yang ada kepentingan maruah dan periuk nasi saja lagi. Nampaknya, era pasukan Tajdid Hambar sudah sampai ke penghujung, senasib dengan era pasukan McChrist dan McJew.

Kepada para pelumba baru ataupun pelumba lama yang ingin aktif kembali, kami menawarkan tempat untuk anda dalam kumpulan Tajdid Segar di bawah naungan pasukan McSalam. Idea-idea kejayaan berada di tangan kami dengan izin Allah. Bahkan sejak dahulu kami masih menjadi “pelumba pertama” untuk pasukan McSalam, maka jentera kami adalah yang terbaik daripada jurutera dan mekanik pasukan McSalam.

Anda, wahai pelumba pada jalan Allah… pasukan manakah yang anda pilih? Tajdid Segar atau Tajdid Hambar?

Jawapan: ……………………………………..

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Alexanderwathern

19 APRIL 2007