Saturday, July 28, 2007

ADAB-ADAB BERDISKUSI

ADAB-ADAB BERDISKUSI

“Dan berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman.
(Az Zaariyat; 55)

Banyaknya orang yang berdiskusi di internet mahupun di alam nyata, macam-macam gaya dalam pelbagai bidang. Nama pun diskusi, maka adalah gelombangnya. Sekejap turun sekejap naik. Sekejap sejuk sekejap berhaba. Sekejap tepat sekejap terkeluar. Sekejap serius sekejap santai. Perkataan ‘diskusi’ itu diubahsuai daripada perkataan Bahasa Inggeris yang maksudnya ‘bincang’. Secara umumnya nukilan kali ini adalah tentang diskusi dan khususnya diskusi dalam bentuk tulisan yang melibatkan hal ehwal agama.

Setiap perbuatan baik ada adab-adabnya. Islam sendiri menganjurkan begitu. Bahkan di kalangan kumpulan pencuri pun ada adab-adab yang dipersetujui bersama, walaupun ia tidaklah kita sebut ‘adab’. Amat menghairankan apabila orang-orang yang bukan penjenayah dan bukan ahli maksiat tetapi tidak beradab ataupun sangat kurang adab dalam berbicara. Biasanya kita dapat melihat sikap tidak beradab yang dimaksudkan ini dalam diskusi di forum-forum dan blog-blog.


Antara adab-adab yang penting:

GUNA ULASAN SENDIRI

Banyak orang yang menghantar artikel ‘copy n paste’ sebagai hujah dan sandarannya, tetapi apabila diminta pertanggungjawaban, mereka tidak mampu mempertahankan artikel yang mereka bawa itu. Kelemahan dan kesalahan dalam artikel tersebut dijaja merata-rata kerana mereka tidak tahu apa kelemahan dan kesalahannya. Hal ini disebabkan mereka menyokong artikel itu atas dasar taksub melulu. Apabila diminta pertanggungjawaban, mereka mendiamkan (melarikan) diri ataupun mula bermain taktik kotor dan tidak beradab.

Saranan penyelesaian- Paling baik, hantar tulisan dan ulasan sendiri. Ini dapat menunjukkan pemahaman kita yang tulen, tiada ketaksuban melulu dan rasa bertanggungjawab.
Hendak ‘copy n paste’? Masih tidak salah asalkan sudah faham keseluruhan tulisan tersebut, sebaiknya sudah dikaji sewajarnya. Kemudian, sanggup pula bertanggungjawab ke atas apa yang kita ‘copy n paste’. Lebih baik lagi sekiranya sedari awal tulisan ‘copy n paste’ itu disertakan sekali ulasan kita. Jika tidak, orang lain tidak tahu apa yang kita faham daripada ‘copy n paste’ kita itu. Sebenarnya, banyak yang bersemangat untuk perjuangkan sesuatu ataupun pertahankan sesuatu tetapi atas dasar semangat sahaja, sedangkan ilmu dan pemahaman tidak setara mana.

"Cukup besar dustanya orang yang memberitakan segala apa yang didengarnya ( tanpa usul periksa yang sewajarnya).”
(Muslim)


MENGIKUT TERTIB

Yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Bereskan satu-satu permasalahan mengikut urutan/ kronologi, jangan melompat-lompat. Soalan yang keluar dahulu, kita jawab dahulu. Soalan yang keluar kemudian, kita jawab kemudian. Sindrom melompat-lompat ini menjadikan perbincangan kacau. Arah tuju dan tema perbincangan pun biasanya akan lari.
Contoh: Ada sepuluh persoalan. Ada ahli perbincangan yang buat-buat tidak nampak persoalan-persoalan tertentu tetapi terus mengheret pembicaraan kepada persoalan yang dirasakan hujahnya kuat. Persoalan pertama hinga kelima belum selesai, terus diajaknya selesaikan persoalan ke enam dan ke sembilan.
Mengapa mereka tidak mengikut tertib? Ada banyak faktor. Antaranya mereka tidak berani bertanggungjawab, takut kelemahan dan kesalahan terkeluar, ego tinggi, memang kurang ilmu tetapi ingin tunjuk pandai dan sebagainya.

Saranan penyelesaian- Selesaikan perbicaraan mengikut urutan. Usahakan untuk menjawab semua yang perlu kita jawab. Jika sedar diri banyak kekurangan pengetahuan dalam hal yang dibincangkan, jangan cuba membawa hujah atau menyatakan pendirian. Cukup sekadar menjadi pemerhati. Tidak salah menulis sesuatu asalkan kena dengan caranya. Jika ternyata kita tersalah, kita akui saja. Taraf diri kita akan dinaikkan oleh Allah di mata umum.

“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.”
(Al Israa’ : 36)


BERTUKAR-TUKAR FIKIRAN, BUKAN BERTUKAR-TUKAR DAKWAAN

A memberi hujah, B membalas hujah. B memberi fakta, A membawa fakta. A kemuka pandangan, B kemuka pandangan. B membawa sandaran, A menghidangkan sandaran. C cerita pemerhatian, D terangkan penelitian.
Cukup cantik dan aman sentosa jika begini cara berdiskusi. Yang jadi masalah ialah apabila A memberi fakta, B membalas tuduhan kosong tanpa fakta. C membawa hujah, D mendakwa itu ini tanpa memberi sandaran kukuh. Lebih teruk lagi kali kedua-dua belah pihak saling berbalas dakwaan tanpa membawa sandaran kukuh atas dakwaannya.

Saranan penyelesaian- Jangan layan teman diskusi yang bersikap begini. Dicadangkan kita beri saja link ke artikel ini agar teman kita itu dapat koreksi diri dan membuat perubahan positif. Sekiranya dia masih mengganggu, buat tak nampak saja tulisan-tulisannya, ataupun boleh juga jawab dengan memberikan link ke artikel ini berulang kali. Lama-kelamaan dia akan perasan juga yang dirinya berdiskusi berseorangan (monolog dalaman yang dilahirkan dalam bentuk bertulis tanpa dipedulikan sesiapa).


BUAT KEPUTUSAN WALAUPUN KECIL

Perbincangan sudah lama tetapi belum ada sebarang keputusan walaupun yang kecil. Apabila kita gagal mendapatkan keputusan, diskusi itu lebih menjurus kepada majlis perbalahan- saling berbalas hujah tanpa ada apa-apa perubahan. Berdiskusilah sehingga ke akhir hayat pun, umumnya tidak akan mendapat hasil apa-apa.
Biasanya, pihak yang sudah goyah hujah-hujahnya sangat takut untuk membuat apa-apa keputusan walaupun kecil kerana hal itu bakal menjatuhan kredibilitinya.
Contoh:
A berdiskusi dengan seseorang, katakan B. A membawa hujah-hujah mempertikaikan ajaran seorang tokoh iaitu Syeikh C. B pula mengutarakan hujah-hujahnya untuk mempertahankan ajaran Syeikh C. Diskusi berjalan dengan aman dan pertukaran aliran hujah dan fakta begitu aktif.
Satu ketika, A berjaya mengesan kesalahan Syeikh C dalam hal tertentu dan kesalahan itu memang jelas. B pun sedar memang Syeikh C salah dalam hal itu. Maka A minta satu keputusan dibuat dalam hal tersebut sahaja (bukan keseluruhan perbincangan) iaitu Syeikh C salah. Malangnya B tidak sanggup untuk membuat keputusan Syeikh C salah dalam hal itu kerana dianggapnya keputusan itu akan menjatuhkan kredibiliti dirinya dan Syeikh C yang disanjungnya.
Sikap B ini bersalahan dengan etika muzakarah, dan tentunya tidak selaras dengan nilai-nilai Islam.

Saranan penyelesaian- A dan B mestilah berusaha membuat keputusan-keputusan kecil sepanjang diskusi mereka. Hal ini kerana gabungan keputusan-keputusan kecil inilah nanti yang akan membentuk keputusan besar. Jika kita melihat perbincangan itu memang tidak akan menjurus kepada pembinaan apa-apa keputusan melainkan medan berbalas tembakan saja, elok kita hentikan saja. Tinggalkan pekerjaan sia-sia.

“Janganlah seorangpun daripada kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian.”
(Hadith riwayat Imam Turmizi)


GUNA KEUPAYAAN SENDIRI

Sebagai contoh, sering kita jumpa seorang yang pro akan sesuatu (kita namakan A) bertukar-tukar fikiran dengan seorang yang kontra akan hal tersebut (kita namakan B). Lama-kelamaan kawan-kawan yang kontra tadi semakin ramai. Mereka turut berdiskusi. Akhirnya diskusi ini jadi lintang-pukang seolah-olah sekawan anjing sedang membuli seekor kucing. B yang sudah goyang hujah-hujahnya berasa selamat kerana apa yang dia lemah ataupun salah mendapat ‘back-up’ daripada rakan-rakan yang sefaham dengannya.
Dari satu sudut nampaknya hujah-hujah A semakin lemah dan hujah-hujah B (dan kawan-kawan) semakin kukuh. Namun pada hakikatnya, fahaman B selama ini adalah lemah. Dia tidak mampu mempertahankan pegangannya secara bersendirian menunjukkan pengetahuannya tentang apa yang dipercayainya selama ini bukanlah atas dasar pemahaman yang mantap, tetapi lebih kepada ikut-ikutan.
Manakala A, pemahaman dan kajiannya adalah lebih baik. Cuma hujah-hujah A seorang tentu saja tidak sehebat paduan hujah-hujah B dan empat lima orang rakannya.

Saranan penyelesaian- Jika kita berada dalam situasi A, kita mestilah bijak mengawal keadaan. Beri tumpuan kepada B dan minta dia berhujah dengan pemahamannya selama ini, bukan dengan pemahaman yang baru diperolehinya hasil sumbang saran rakan-rakannya. Apabila urusan dengan B sudah selesai, baru berpindah kepada C. Selesai dengan C, baru berpindah kepada D. Jika tidak, kita akan dibuli dan dipermain-mainkan.
Seandainya kita berada dalam situasi B pula, kita bersikap jujurlah dengan ilmu. Gunakan keupayaan sendiri. Mengapa bergantung kepada hujah orang lain kalau benarlah kita sudah mengkaji pegangan kita itu selama ini. Jadilah ‘anak jantan’.

“Setiap diri terikat dengan apa yang dikerjakannya.”
(Al-Mudaththir: 38)


JANGAN GUNA TAKTIK KOTOR

Apabila hujah salah seorang pendiskusi mula longgar dan benteng-benteng sandarannya mulai runtuh, pendiskusi yang bersifat mazmumah biasanya akan melaksanakan taktik kotor. Hal ini dilakukan supaya dia terselamat daripada mengakui kelemahan dan kesalahan diri sendiri.
Antara taktik yang biasa dipraktikkan ialah dengan menjawab secara keseluruhan (sengaja meninggalkan bahagian-bahagian diskusi yang hujahnya lemah ataupun salah), tidak menjawab soalan-soalan tetapi memberikan pula soalan-soalan ( soalan pendiskusi lain baginya tidak mesti dijawab tetapi soalannya mesti dijawab), mengubah topik (agar dapat menutup kelemahan dan kesalahannya, memberikan dakwaan demi dakwaan dan bukan hujah sandaran, memberikan kata-kata menyakitkan hati lalu berlepas tangan (ini teknik murahan), terus membuat kesimpulan sendiri tanpa bertanggungjawab ke atas apa yang pernah diperkatakannya dan macam-macam lagi.

Saranan penyelesaian- Tulis “Pendiskusi bernama sekian-sekian sedang mempraktikkan taktik kotor . Layanan hanya akan diberikan setelah dia mengubah sikapnya sahaja. Sekian, terima kasih”. Dan berikan link ke artikel ini sebgaai sokongan.

“Sesungguhnya yang paling dibenci oleh Allah, ialah orang yang pandai mencari-cari alasan untuk menindas kebenaran dan membela kesalahan.”
(Muslim)


Semoga dengan serba-sedikit panduan yang disertakan di atas, kita mengharapkan diskusi-diskusi hal ehwal agama di internet menjadi tempat percambahan ilmu, iman dan amal. Pembasmian para pendiskusi yang kurang ataupun tidak beradab mustahil dapat dilakukan, namun sekurang-kurangnya kita mengusahakan pengurangan.

Wallahualam.


‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

Alexanderwathern
28 JULAI 2007

1 maklumbalas:

nur_ariff said...

http://i17.photobucket.com/albums/b91/muhdnur/buku/Muhammad.jpg

Untuk tatapan tuan