Friday, March 30, 2007

Tazkirah Global Untuk Remaja: SIFAT-SIFAT SEORANG MUSLIM

Tazkirah Global Untuk Remaja
SIFAT-SIFAT SEORANG MUSLIM


Dalam pertemuan yang lalu kita telah membuat ‘check-list’ adakah aqidah kita selama ini benar-benar aqidah seorang Islam, dan kita telahpun lulus kesemua ciri-cirinya. Kali ini kita akan menilai adakah akhlak kita selama ini akhlak seorang Muslim. Antara ciri-cirinya adalah:


1. WARAK- Saya mestilah seorang yang warak iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang haram, berusaha untuk tinggalkan perkara-perkara yang makruh dan menjauhi perkara-perkara syubhat (perkara-perkara kesamaran iaitu yang kita kurang jelas adakah perkara itu halal ataupun haram. Ada orang kata boleh dan ada orang kata tak boleh)

2. MENUNDUKKAN PANDANGAN- Saya mestilah berusaha untuk tidak melihat perkara-perkara yang haram dan juga perkara-perkara yang mempengaruhi saya untuk mencintai keduniaan

3. PELIHARA LIDAH- Saya mestilah memelihara lidah saya daripada mengumpat orang, menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan, melawak berlebih-lebihan, bercakap kasar (kalau pada wanita akan lebih ketara), mencaci, menghina, tertawa kuat, rajin nak komen orang lain dan seumpamanya.

Pesan Nabi saw:
“Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka cakap yang kotor-kotor dan keji.”
(Turmizi)

Satu cara mudah untuk menjauhi perkara-perkara ini adalah dengan mengelakkan daripada berkawan baik dengan orang-orang sebegitu. Pilihlah teman yang baik-baik.
Golongan yang rajin komen orang lain ini agak bahaya. (* Dia suka mempertikaikan tindakan orang lain untuk menunjukkan pemikirannya adalah lebih baik dan perlu diberi perhatian.)
Ini tidak bermaksud kita tidak boleh bergurau, tetapi biarlah gurauan kita itu berpada-pada/ tidak melampaui batas dan kena pada tempatnya. Nabi Muhammad sendiri bergurau.

Contoh: Seorang wanita beritahu Nabi tentang hal suaminya begini dan begini. Kemudian kata Nabi (* dalam bahasa pasar orang Melayu): “Ooo… suami kamu yang mata dia ada putih-putih tu kan?” Wanita itu terkejut lalu berkata: “Eh, mana ada. Mata suami saya biasa je macam mata orang lain.” Jawab Nabi: “Betul le tu. Kan ke mata setiap manusia mesti ada bahagian yang putih.” Mereka pun tersenyum

Contoh 2: Nabi Muhammad danm Saidina Ali makan beberapa biji buah kurma. Apabila habis, Nabi Muhammad meletakkan biji-biji bahagiannya di tempat biji-biji yang dimakan oleh Saidina Ali. Kemudian kata Nabi (* dalam bahasa pasar kita): “Ish ish ish Ali! Engkau makan sebegitu punya banyak kurma. Tengok, berapa banyak biji yang ada kat depan engkau.” Saidina Ali yang bijak membalas gurauan Rasulullah dengan berkata: “Tapi, engkau lagi dahsyat ya Rasulullah. Tengok, dengan biji-biji sekali engkau makan (kerana di depan Rasulullah dah tak ada biji kurma lagi).”

Contoh 3: Rasulullah hendak menaikkan seorang wanita ke atas unta sebagai kenderaan (*kalau tak silap Saidatina Aisyah). Kata Nabi (dalam bahasa pasar kita): “Aku nak naikkan engkau ke atas anak unta.” Jawab wanita itu: “Mana boleh naik anak unta. Tentulah saya kena naik unta dewasa.” Balas Nabi: “Betul le tu. Kan ke unta dewasa tu pun anak kepada seekor unta jugak dulu.”

4. MALU- Saya mestilah seorang yang pemalu dan malu saya itu biarlah kena dengan tempatnya. Janganlah malu kita itu menjadi penghalang daripada kita berdakwah, daripada beramar makruf nahi mungkar. Nabi Muhammad sendiri sangat pemalu. Dikatakan baginda lebih pemalu daripada anak dara di sebalik tirai tetapi dia tidak malu untuk berdakwah. Hari ini sifat malu telah banyak hilang daripada manusia terutamanya para wanita.

5. BERSOPAN & SABAR- Saya mestilah seorang yang sopan, lemah-lembut dan sabar. Ini kerana jalan dakwah ini penuh dengan ranjau-ranjau seperti tidak disukai orang, susah, hina, tindasan, fitnah dan sebagainya tetapi kita beringatlah… bahawa itulah jalan yang telah ditempuh oleh para rasul, para nabi, para aulia (para wali Allah) dan para solehin. Kalau kita hendak sentiasa hidup senang, maka jadilah kita seperti Firaun yang kaya raya, makan sedap, tak pernah sakit dan sebagainya. (*Jalan mana yang kita nak pilih?)

Maksud firman Tuhan:
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
(Surah Az-Zumar: 10).

Namun begitu sabar kita biarlah bertempat. Janganlah sampai kita dipijak kepala tetapi masih lagi bersabar. Sebagaimana kata Imam Syafie: “Sesiapa yang orang membuatnya marah tetapi dia masih tak marah, maka orang itu seperti kaldai.” Maksudnya marah kita biarlah sesuai dengan tempat. Jangan pula kita tidak sabar, hinggakan hal-hal yang kecil pun nak marah.

Bersabar dan bersopan ini biasanya orang boleh buat ketika senang saja. Ketika dalam kepayahan, hilang semua itu dan timbul pula sifat tak sabar dan kasar. Kalau kita nak uji seseorang itu betul-betul sabar dan bersopan atau tidak, maka lihat keadaannya ketika dalam kepayahan seperti mendaki gunung, buat kerja berat, dalam kesusahan dan seumpamanya. Semasa senang dan selesa, bolehlah dia menunjukkan sikap sabar dan sopannya, tetapi ketika susah, bolehkah dia mengekalkan sifat-sifat itu?

6. BENAR & JUJUR- Saya mestilah sentiasa benar dan bersikap jujur. Sekali orang tak percaya dengan kita, maka susahlah kita hendak mendapatkan kepercayaan orang di lain kali. Sebab itu berwaspadalah dengan fitnah, kerana fitnah orang boleh menmyebabkan orang lain hilang kepercayaan kepada kita.

Pesan Nabi:
“Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga.”
(Bukhari & Muslim)

Contoh: Kisah seorang gembala yang bergurau kononnya ada harimau-serigala datang nak makan ternakannya. Maka orang kampung tergesa-gesa datang hendak mengusir harimau itu. Rupa-rupanya si gembala menipu dengan tujuan hendak mengenakan orang kampung. Balasannya, pada masa yang lain memang benar ada harimau datang. Si gembala menjerit minta bantuan orang kampung tetapi mereka tak datang lagi kerana anggap si gembala menipu seperti dahulu.
Lihatlah kejujuran Nabi Muhammad hinggakan digelar Al-Amin iaitu seorang yang sangat terpercaya kerana tidak pernah berdusta. Apabila baginda promosikan dakwahnya, maka orang-orang Quraisy sukar untuk menolak kerana mereka yakin Nabi Muhammad tak pernah menipu. Dalam keadaan begitupun masih banyak orang Mekah yang tak mahu beriman dengan baginda. Bayangkan kalau kita yang bukan Al Amin ini, tentulah lagi sukar untuk dipercayai orang. Seandainya Nabi Muhammad bukan Al Amin, maka tentulah dakwahnya tidak akan berjaya.

7. TAWADUK- Saya mestilah bersikap tawaduk iaitu merendah diri. Rendah diri saya itu mestilah sesuai dengan tempatnya hinggakan saya boleh bergaul dengan orang atasan dan boleh juga bergaul baik dengan orang bawahan. Apabila berbicara dengan orang kampung, janganlah kita gunakan laras bahasa orang atasan seperti bercakap dengan professor. Ini tak lain tujuannya nak menunjukkan yang kita ini hebat. Jangan bersikap begitu. Elakkan diri daripada bersikap bangga diri, tinggi diri dan takbur. Lihat contoh Iblis. Asalnya dia ratusan atau ribuan tahun beribadah kepada Tuhan (kita berapa tahun beribadah kepada Tuhan) hinggakan doanya lebih makbul daripada doa para malaikat. Tetapi kerana sikapnya yang meninggi diri iaitu tidak mahu sujud kepada Nabi Adam (kerana menganggap dirinya yang dicipta daripada api jauh lebih mulia berbanding Adam yang dicipta daripada tanah) maka dia diusir daripada syurga, dilaknat selama-lamanya dan akan kekal dalam neraka. Hanya sebab itu sahaja. Maka kita berwaspada agar tidak terkena penyakit ini.

Pesan Nabi:
“Tak akan masuk syurga orang yang ada sebesar atom sifat takbur dalam dirinya.”
(Muslim)

8. JAUHKAN SIFAT BURUK SANGKA, MENGUMPAT & MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN.
Contoh: Kalau ada kawan kita tak tepati janji, kita bersangka baik dulu. Boleh jadi dia ada masalah yang tak boleh dielakkan. Jangan suka mengorek rahsia keburukan orang lain untuk dibuat bahan sedapkan cerita.

9. PEMURAH- Saya mestilah tidak kedekut untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta dan wang saya untuk agama. Kita tak akan mampu mengikut jejak para sahabat dari segi pengorbanan, tapi janganlah kita tak berkorban langsung. Segala pengorbanan kita akan dibayar oleh Tuhan dengan mata wang, tetapi mata wang ini belum laku di dunia. Ia hanya akan laku apabila kita tiba di akhirat kelak.

Contoh: Kisah Saidina Umar cuba nak lawan Saidina Abu Bakar dari segi korban harta. Pernah satu ketika umat Islam perlukan harta untuk peperangan. Maka Saidina Umar bawa separuh daripada hartanya untuk didermakan. Dia beranggapan dapat mengalahkan Saidina Abu Bakar, tetapi Abu Bakar rupanya mengeluarkan seluruh hartanya. Begitulah pengorbanan para sahabat.

10. KUDWAH HASANAH (Jadi contoh/ model yang baik)- Saya mestilah berusaha untuk menjadikan diri saya ikutan yang baik kepada orang lain. Saya mestilah menjaga pertuturan saya, akhlak saya, makan minum saya, cara saya berpakaian, kerja saya dan sebagainya sama ada dalam keadaan senang ataupun ketika kesusahan. (*Orang menilai daripada penampilan kita. Kalau penampilan kita baik, maka orang lebih mudah menerima dakwah kita). Kalau orang lihat kita pun orang dah tak berminat, bagaimana hendak berdakwah. (*Jadikan diri kita seorang yang menarik, tapi dalam batas-batas Islam dengan tujuan kerana dakwah)
Satu cara mudah untuk menilai diri kita ialah dengan membayangkan ada seorang ulama berdiri di sebelah kanan kita dan ada pula seorang artis Hollywood di sebelah kiri kita. Nilai diri sendiri, kita lebih menyerupai siapa? Yang di sebelah kanan atau di sebelah kiri?

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Alexanderwathern 2005

(*Pengisian ini telah disampaikan oleh Alexanderwathern secara lisan pada 24 JUN 2005. Kemudiannya barulah dipindahkan ke dalam bentuk tulisan. Maka tentulah ia tidak sebaik artikel terancang)

Tazkirah Global Untuk Remaja: KEPADA PEMUDA-PEMUDI

Tazkirah Global Untuk Remaja: KEPADA PEMUDA-PEMUDI

Assalamualaikum WBT.
“Ilahi anta maqsudi wa ridhaka mathlubi. A’tini mahabbataka wa maqhrifataka.” Tuhanku, Engkaulah yang aku maksudkan dan keredhaanmulah yang aku cari. Berikanlah aku kasih sayang-Mu dan makrifah kepada-Mu.

Kadang-kadang kami bersembang sesama kami, alangkah seronoknya kalau kita hidup macam orang lain. Bangun pagi pergi solat Subuh, kemudian baca Quran, pergi kerja, balik kerja makan, berehat, solat Asar, petangnya berziarah atau riadah, waktu Maghrib dan Isya’ ke surau atau masjid, jadi tok imam, kemudian menonton televisyen bersama keluarga dan tidur. Alangkah bahagia dan selesanya hidup begini. Semua orang mengimpikan hidup yang semudah ini.
Tapi mengapa kita memilih jalan yang kita lalui ini? Jalan yang penuh dengan aktiviti-aktiviti dakwah, program sana sini, qiam bersama-sama, berfikir dan merancang aktiviti untuk remaja… dan lain-lain?
Sebenarnya, apabila kita telah merasai kemanisan melakukan ini semua… maka kita akan terus melakukannya. Kamu sendiri akan jadi begini suatu hari nanti insyaallah.

Baru-baru ini iaitu pada minggu yang lalu saya ada menerima satu mesej daripada seorang kenalan bernama Suhaimi. Mesejnya ringkas tetapi padat.

*Kita… lbh gmbira mymbut 1 JAN drpd 1 MUHARAM
Lbh igt 14 FEB dpd 12 RABIULAWAL
LBH khsyuk mdgr LAGU dpd AZAN
Lbh thu nama ARTIS dpd NABI2
Lbh suka memuji MANUSIA dpd TUHAN
Lbh cintakan DUNIA dpd AKHIRAT
Tp bila dtnya arh tuju
Kita pst mnjwb kita lbh suka menuju syurga dpd neraka?
Salam Maulidurrasul

Apa ada pada 1 Januari? Sambutan tahun baru Masehi. Apa ada pada 1 Muharam? Tahun baru Hijrah iaitu tahun baru Islam. Rata-rata kita lebih mengingati dan menyambut tahun baru Masehi. Apakah tahun Masehi? Ada pendapat mengatakan dibuat oleh orang-orang Kristian kononnya sempena kelahiran Nabi Isa atau Jesus Christ. Apakah tahun Hijrah? Ia dibuat sempena penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah.

Tapi yang peliknya Nabi Isa dipercayai lahir pada 25 Disember, bukannya 1 Januari. Itulah keyakinan rata-rata umat Kristian walaupun ada sebilangan kecil daripada mereka yang percaya Nabi Isa lahir selepas 25 Disember ataupun dalam bulan Januari. Benarkah Nabi Isa lahir pada bulan Disember atau Januari?

Sebagaimana yang kita tahu bahawa pada bulan Disember dan Januari, tempat kelahiran Nabi Isa dilitupi salji. Biasa kita lihat Hari krismas disambut dalam musim salji. Tetapi kalau kita baca Bible, semasa kelahiran Nabi Isa itu ditulis para penggembala sedang menggembala binatang-binatang ternak mereka di padang. Mustahil dalam musim sejuk bersalji para penggembala membawa ternakan mereka ke padang! Ini menunjukkan Nabi Isa tidak lahir dalam bulan Disember atau Januari- tidak lahir dalam musim sejuk.

Sebenarnya sambutan 25 Disember dan 1 Januari itu adalah berasal daripada perayaan Rom kuno yang kebanyakannya para penyembah berhala. Januari itu sendiri berasal daripada nama Dewa Janus- salah satu dewa orang-orang Rom. Apabila agama Kristian masuk di kalangan orang-orang Rom, mereka mengubahsuai upacara-upacara keagamaan mereka sebelum itu lalu dimasukkan ke dalam agama Kristian.
Jadi sudah sewajarnyalah kita umat Islam tidak menyambut 1 Januari tetapi sambutlah 1 Muharam.

Apa ada pada 14 Februari? Ya, Hari Valentine. Apa ada pada 12 Rabiul Awal? Maulidurrasul. Kononnya Hari Valentine adalah hari untuk mengingati kekasih. Padahal ia adalah hari perayaan sebahagian umat Kristian pada zaman dahulu. Ada banyak versi tentang asal-usul Hari Valentine, yang mana satu benar pun tidaklah kita tahu. Antaranya seperti kisah seorang paderi bernama St. Valentino yang bercinta hebat dengan seorang gadis. Cintanya tidak direstui pemerintah memandangkan dia seorang paderi Katholik, paderi Katolhik tidak dibenarkan berkahwin. Ini menyebabkan dia dipenjara. Ada juga cerita kononnya ia dirayakan sempena mengingati hari kemenangan tentera Kristian ke atas umat Islam di Sepanyol yang dianjurkan oleh paderi bernama St. Valentino. Mungkin kamu tak tahu bahawa Sepanyol dulu adalah sebuah negeri Islam. Dan macam-macam lagilah cerita tentang hari tersebut. Namun kesimpulannya, ia berkait rapat dengan agama Kristian dan tak ada kena-mengena dengan kita umat Islam. Maka tak perlulah kita menyambutnya.

Rabiul Awal pula merupakan sambutan ulangtahun kelahiran Nabi, walaupun ada pendapat yang mengatakan baginda lahir pada 9 Rabiul Awal dan juga tarikh-tarikh lain. Namun yang pentingnya kita mengenang kelahiran baginda dalam bulan Rabiul Awal, tak kiralah hari yang mana agar kita dapat mengambil manafaat-manafaatnya terutamanya untuk kerja-kerja dakwah.

Pelajar yang dikasihi sekelian,
Kita lakukan semua yang di atas (sebagaimana dalam mesej), tetapi apabila orang tanya mana satu yang kita kejar lebih, dengan mudah kita menjawab “akhirat”. Betulkah kita kejar akhirat? Cukupkah kita mengejar akhirat? Mana satu yang lebih mudah dikejar… kejar dunia atau kejar akhirat? Untuk tahu mana yang lebih mudah antara kejar dunia dengan kejar akhirat, insyaallah akan saya muatkan dalam pengisian yang akan datang.
Terima kasih kepada Suhaimi atas mesejnya.

Pelajar yang dikasihi,
Saya ada terjumpa sebuah puisi yang amat sesuai untuk kita dalam buku teks sastera tingkatan 3. Selepas ini akan dihuraikan isi kandungannya. Di sini tidaklah saya hendak melagukannya kerana akan mengambil masa yang lama.

SYAIR TENAGA PEMUDA
Gustama Negara

Tenaga pemuda kalau diasuh,
Pimpin dan didik kotor dibasuh,
Tidaklah ia menjadi lusuh,
Amat berguna menentang musuh.

Tenaga pemuda memang terbilang,
Tenaga yang sedang gilang-gemilang,
Beban yang berat dapat dijulang,
Benda yang jauh dapat dijelang.

Tenaga pemuda tenaga bererti,
Tenaga yang berani menempah mati,
Tidak mengerti erti nanti,
Hanya penuh kemahuan mesti.

Tenaga pemuda mestilah sayang,
Jangan dibiarkan lemah dan goyang,
Di waktu muda tenaga kencang,
Berani sampai berputih tulang.

Tenaga pemuda kalau dijaga,
Kelak akhirnya sangat berharga,
Tenaga yang menjadi harapan bangsa,
Gagah berani mempertahankan negara.

Puisi Melayu Klasik, 1996 Oscar Book International.

Walaupun puisi ini menyebutkan “pemuda” namun sebenarnya ia turut ditujukan kepada pemudi, ringkasnya untuk semua remaja. Seringkali ditemui perkataan “lelaki” dalam ayat-ayat Al Quran atau hadith, namun seringkali juga kata-kata itu ditujukan juga kepada perempuan walaupun disebutkan lelaki sahaja.
Kita pernah mendengar kata-kata perangsang berbunyi “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Ada juga budak-budak melawakkannya sebagai “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang gol”.
Dalam syair ini dikatakan bahawa seandainya remaja ini diasuh, dididik, dipimpin, yang kotor dibasuh…ia tidak akan lusuh malah boleh digunakan untuk menentang musuh. Namun biasanya remaja tidak suka dengan asuhan mengikut acuan agama. Ini kerana mereka merasakan agama sebagai penyekat kebebasan mereka. Padahal agama adalah benteng, penyelamat. Ia menyelamatkan kita daripada bertuhankan hawa nafsu dan syaitan kepada bertuhankan Allah secara mutlak.
Beberapa hari lepas tersiar dalam akhbar kisah anak-anak yang dididik mengikut lunas-lunas agama:.

IPOH 13 April - Nuramirah Azhari, 10, yang telah menghafaz al-Quran sejak berusia lima tahun mempunyai 10 anak murid yang belajar menghafaz ayat-ayat suci dengannya sejak setahun lepas. Naib johan pertandingan menghafaz al-Quran peringkat negeri Perak serta sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran memberitahu, anak-anak muridnya berusia antara enam dan 12 tahun.
``Saya mengajar dengan berhati-hati bagi memastikan hafalan mereka betul dan tidak melakukan banyak kesilapan.
``Kesilapan yang paling kerap anak murid saya lakukan ialah dari segi tajwid,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengku Husin, Gugusan Manjoi di sini hari ini.
Anak kedua dari lima adik-beradik ini memberitahu, dia mempunyai jadual waktu yang ketat setiap hari dan diwajibkan melakukan ulang kaji menghafaz al-Quran sebanyak lima kali iaitu tujuh hingga lapan jam sehari bagi memastikan ingatannya sentiasa kukuh kerana tahfiz memerlukan banyak latihan. Nuramirah memberitahu, dia meluangkan masa mengajar anak-anak muridnya antara pukul 7.30 malam dan 9 malam setiap hari sambil dipantau oleh ibunya yang turut sama mengajar murid-murid lain.
Jadual waktu Nuramirah disediakan oleh bapanya seorang pelukis pelan, Azhari Abu Hassan, 39, dan ibunya Nurzahidah Hashim, 37, untuk dia praktikkan bersama abang dan adik-adiknya iaitu bangun seawal pukul 5 pagi dan tidur pada pukul 12 malam. Nuramirah bersama abangnya Muhammad Adam, 12, dan adiknya Nurnabilah , 8, tujuh tidak pernah mengikuti pendidikan formal sebaliknya diajar membaca, menulis dan mengira sendiri di rumah oleh ibu bapanya.
``Walaupun tidak pernah ke sekolah tetapi kami tahu membaca, menulis dan mengira. Saya diajar matematik, sains, bahasa Arab, tauhid dan akhlak di rumah.
``Saya sudah boleh membaca semasa berumur enam tahun lagi,'' katanya yang mampu menamatkan tahfiz dalam tempoh dua tahun.
Menurut Nuramirah, dia tidak mempunyai pantang tertentu dalam pemakanannya kerana amat menggemari masakan ibunya terutamanya yang pedas serta ulam-ulaman bersama sambal belacan. Katanya, jika setiap anak muridnya mampu menguasai hafalan satu muka surat setiap hari mereka juga akan mampu mengikut jejak langkahnya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun.
``Saya amat berharap dapat mewakili Perak pada pertandingan tahfiz peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 22 April depan tetapi itu semua bergantung kepada keadaan kerana dalam pertandingan peringkat negeri saya menduduki tempat kedua selepas tewas hanya satu mata kepada johan,'' katanya.
Sementara itu bapa Nuramirah , Azhari memberitahu, beliau dan isteri memilih memberikan pendidikan sendiri kepada anak-anak selepas mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat daripada anak-anak murid tahfiznya yang turut terdiri daripada kalangan guru sekolah menengah dan rendah.
Katanya, beliau akan memastikan anak-anaknya tidak ketinggalan dalam mengikuti pendidikan formal dengan menjadikan buku-buku sekolah sebagai panduan supaya sukatan mata pelajaran yang diajar sama dengan yang diajar di sekolah.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

Lihatlah Nuramirah yang baru berusia 10 tahun telah mempunyai pelajar-pelajar sendiri. Dia mula menghafaz Al Quran sejak berusia 5 tahun. Dalam masa 2 tahun sahaja dia berjaya menghafaz 30 juzuk Al Quran. Dia dan adik-beradiknya mendapat pendidikan di rumah sahaja di bawah didikan ibu dan bapanya.
Beruntungnya orang yang hendak mati di dadanya berisi 30 juzuk Al Quran. Bagaimana dengan kita? Persoalan ini akan timbul sewaktu kita sedang sakaratul maut… malaikat Izrail datang.

Pelajar yang dikasihi sekelian,
Begitu pentingnya barisan pemuda hinggakan bekas Presiden Indonesia pernah mengungkapkan: “Berikan saya 10 orang pemuda, saya akan menggegarkan dunia”. Lihat, dia tidak minta orang-orang dewasa tetapi pemuda. Ini kerana dia tahu kuasa yang ada pada pemuda sekiranya digilap dengan cara yang betul.

Semasa remaja, tenaga kita berada di puncak kecergasan dan kekuatan. Kalau demam selesema atau sakit kepala tak perlu ambil ubat, boleh buat tak kisah dan akhirnya akan pulih dengan sendiri dalam masa yang singkat. Tapi kini kalau tak sihat sikit pun kena cepat ambil ubat. Ini kerana badan semakin lemah, sel-sel yang mati lebih banyak daripada sel-sel yang baru hidup. Hendak pulih dengan sendiri daripada sesuatu penyakit akan ambil masa yang lama. Lebih-lebih lagi dengan komitmen yang semakin bertambah. Lagi lambat kita pulih maka lebih lamalah tersangkutnya urusan dakwah, urusan keluarga, urusan kerja dan lain-lain.

Ketika itu hujan tak takut, panas tak hairan walaupun kulit saya jenis yang cepat dimakan panas. Selepas SPM dan STPM bekerja sebagai buruh binaan, kulit memang hitam. Tapi sekarang kalau kena hujan panas sikit mulalah badan rasa tak sihat. Begitulah bezanya usia muda dengan usia tua.
Saya sendiri suatu ketika dahulu tanpa berfikir cukup panjang pernah bercita-cita untuk berjihad di Kashmir. Saya sudah merangka-rangka cara untuk ke sana dan apa perbekalan yang hendak dibuat namun dengan kuasa Tuhan akhirnya dibatalkan. Begitulah adat orang muda, semuanya nak cepat dan mesti nak dapat.
Jadi, gunakanlah masa muda ini dengan sebaiknya sebab antara perkara yang akan ditanya di akhirat kelak ialah ke mana kita habiskan masa muda kita. (Buatlah persiapan untuk itu).

Ikutilah cntoh-contoh atau idola remaja. Siapakah remaja yang sepatutnya menjadi idola kita? Bukankah kita ada Saidina Ali- sepupu dan menantu Rasulullah? Bukankah kita ada Fatimah-anak Rasulullah dan isteri Saidina Ali? Bukankah kita ada Aisyah isteri Rasulullah? Banyak lagi yang lain-lain. Contohilah mereka.
Pelajar sekalian,
Pentingnya golongan pemuda ini hinggakan Imam asy-Syahid Hassan al-Banna menulis risalah bertajuk “Wahai Pemuda”. Salah satu isi penting dalam risalahnya itu berbunyi:
“…angkatan pemuda, sejak dahulu hinggalah sekarang tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat”

Syeikh Fathi Yakan pula menulis sebuah buku bertajuk “Generasi Pemuda dan Perubahan”. Antara persoalan menarik dalam karyanya itu ialah:
1. Kenapa mesti pemuda?
2. Kenapa fokusnya selalu kepada pemuda?
3. Kenapa pergantungan sentiasa kepada pemuda?
Insyaallah kita akan berjumpa dengan bahan-bahan ini suatu hari nanti (dan membincangkannya).


PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
Dipetik dan disesuaikan daripada dua tazkirah pada 16 APRIL 2006
alexanderwathern
*Tazkirah ini disampaikan secara lisan, kemudiannya baru dipindahkan dalam bentuk tulisan. Gaya penyampaiannya diubahsuai sedikit untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Tazkirah Global Untuk Remaja : CINTA DUNIA vs CINTA AKHIRAT

Tazkirah Global Untuk Remaja : CINTA DUNIA vs CINTA AKHIRAT

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah swt atas nikmat Islam dan iman. Bukan semua orang dapat nikmat Islam dan iman. Kita juga sepatutnya sangat bersyukur kerana lahir-lahir saja kita mendapat dua nikmat kecerahan. Kecerahan yang pertama ialah kecerahan alam. Keluar saja daripada rahim ibu, tubuh badan kita kita terus disentuh oleh cahaya. Semua manusia yang dilahirkan dapat nikmat kecerahan jenis ini. Kecerahan yang kedua pula ialah… lahir-lahir saja kita terus beragama Islam. Tidak semua manusia dapat nikmat kecerahan jenis ini. Maka sewajibnyalah kita bersyukur.

Kaum wanita sangat penting dalam usaha dakwah. Kaum wanita merupakan tulang belakang kepada lelaki. Kepentingan kaum wanita jelas dibicarakan dalam buku “Fiqh Dakwah Dalam Al Quran” oleh Muhammad Haniff Hassan (2003), antara lain katanya:
“Umat ini tidak akan dapat dibangunkan sepenuhnya dan jentera dakwah tidak akan berkuasa penuh jika 50% daripada asetnya (iaitu kaum wanita) tidak dimanfaatkan, atau diabaikan. Pemanfaatan mereka haruslah dilihat melebihi daripada pekerja pengurusan rumah. Sirah Rasulullah saw sendiri penuh dengan kisah kaum muslimah yang terlibat di medan perang, guru kepada sahabat, ibu kepada para syuhada, peniaga yang berjaya dan lain-lain.”
Jadi, kita sangat gembira dengan komitmen remaja wanita dalam aktiviti seperti ini.

Pelajar yang dikasihi sekelian,
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah swt atas nikmat Islam dan iman. Bukan semua orang dapat nikmat Islam dan iman. Kita juga sepatutnya sangat bersyukur kerana lahir-lahir saja kita mendapat dua nikmat kecerahan. Kecerahan yang pertama ialah kecerahan alam. Keluar saja daripada rahim ibu, tubuh badan kita kita terus disentuh oleh cahaya. Semua manusia yang dilahirkan dapat nikmat kecerahan jenis ini. Kecerahan yang kedua pula ialah… lahir-lahir saja kita terus beragama Islam. Tidak semua manusia dapat nikmat kecerahan jenis ini. Maka sewajibnyalah kita bersyukur.

Bayangkanlah kalau kita dilahirkan dalam agama-agama lain selain Islam, tak tahulah apa nasib kita. Dapatkah kita nikmat Islam dan iman? Belum tentu.
Katakanlah kalau kita lahir dalam agama Hindu, alangkah malangnya. Agama Hindu terkenal dengan sistem kastanya- yang membahagikan manusia dalam kelas-kelas tertentu, taraf-taraf tententu. Ada empat kelas manusia dalam agama Hindu iaitu:
1. Golongan Brahma/ Brahmin iaitu para pendeta
2. Golongan Ksatria iaitu raja-raja dan para bangsawan
3. Golongan Wesi iaitu para pedagang dan petani
4. Golongan Sudra/ Syudra iaitu para pekerja/ buruh
Ada juga yang memberi satu lagi golongan manusia yang tidak ada kelas, setanding dengan binatang ataupun tumbuhan saja (mungkin juga lebih hina) dikenali sebagai golongan paria.

Kononnya golongan Brahma berasal daripada mulut Tuhan (sebab itulah mereka mulia), golongan Ksatria berasal daripada tangan Tuhan, golongan Wesi daripada paha Tuhan manakala golongan Sudra daripada kaki Tuhan (sebab itulah mereka hina).
Jika kita lahir dalam golongan Sudra, maka kita dan keturunan kita selamanya kena menjadi buruh, kuli, tukang sapu dan seumpamanya- tidak boleh diubah kelasnya walau pandai dan sehebat mana sekalipun.
Golongan Brahma boleh mengambil harta puak Sudra semahu mereka, dan perbuatan itu tidak berdosa. Sekiranya golongan Brahma didapati melakukan sesuatu kesalahan yang boleh dihukum bunuh, dia tidak akan dibunuh sebaliknya cukup dengan rambutnya dicukur. Tapi kalau puak Sudra melintas di depan Brahma dan menimbulkan ketidaksenangan puak Brahma, dia mungkin akan dihukum dengan pelbagai hukuman kejam.
Sebab itulah apabila Islam datang, golongan kelas bawahan mudah menganut agama Islam kerana mereka tertarik dengan keadilannya. Manusia tidak kira orang besar atau orang kecil, apa jua warna kulit dikira sama di sisi Tuhan.

(Rujukan saya: “Inilah Agama (Hazaddin)” oleh Asy Syahid Syed Qutb, “Kesatuan Dunia Islam” oleh Abul A’la al-Maududi dan “Gerakan Jihad Fisabilillah & Cabarannya” oleh Abdul Qadir Djaelani serta laman-laman web Hindu)

Sebab itu orang Barat seperti di Amerika tertarik dengan Islam apabila mereka melihat orang-orang Islam berlainan keturunan, rupa dan pangkat makan bersama menggunakan satu talam (salah satu sunnah Rasul).

Saya ingin tanyakan dua perkara yang menarik tentang agama Hindu kepada kamu. Kamu dengar baik-baik dan cuba fikirkan.
Dalam “Sathapatha Brahmana” diceritakan ada seorang maharesi (nabi) bernama Manu mandi di laut. Datang seekor ikan yang boleh berkata-kata. Ia minta Manu memeliharanya dan berjanji akan menyelamatkan Manu daripada banjir besar yang akan berlaku suatu hari nanti. Mulanya Manu tidak percaya tapi dia setuju memelihara ikan itu. Ikan itu bertambah besar hingga menjadi seekor raksasa. Suatu hari ia menyuruh Manu membina sebuah perahu besar kerana banjir besar akan melanda dan menghancurkan dunia. Manu seorang saja yang selamat daripada banjir itu.
Setelah kamu dengar cerita ini, cuba kamu terangkan… siapakah Manu? Ya, Nabi Nuh!

“Katha Upanishad” pula mengisahkan seorang ilmuan bernama Vajasrabaja mengorbankan kerbau tua untuk dapat anugerah suci. Anaknya bernama Nachiketa minta ayahnya sembahkan dirinya kepada Yama-Dewa Kematian. Dewa Kematian bingung lalu menyuruh Nachiketa pulang.
Cerita ini boleh disamakan dengan cerita apa? Ya, cerita Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail!

Pelajar sekelian,
Dengan melihat sepintas lalu agama Hindu tadi maka kita berasa sangat beryukur kerana beragama Islam. Islam agama yang sangat istimewa. Istimewanya Islam boleh kita baca dalam buku “Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam” oleh Syeikh Fathi Yakan. Menurut Fathi Yakan, antara keistimewaan Islam ini ialah ia:
1. ajaran Ilahi
2. sempurna dan syumul
3. bersifat membaiki dan membangunkan
4. bersifat abadi
5. bersifat sejagat (‘alamiyyah)
Kita akan bertemu juga dengan buku ini suatu hari nanti insyaallah.

Sebagaimana yang dijanjikan dalam pertemuan yang lalu, kali ini kita akan melihat “antara kejar dunia dengan kejar akhirat”- yang mana sebenarnya lebih senang, tetapi yang mana lebih dikejar manusia.

Antara solat Subuh dengan turun ke laut (sebagai nelayan), mana yang lebih mudah? Solat Subuh untuk mendapatkan akhirat manakala turun ke laut untuk mendapatkan bekalan hidup di dunia. Banyak nelayan yang solat Subuh tapi banyak juga yang tidak (sebagai contoh). Betul tak? Kamu sendiri mengakuinya.
Turun ke laut memakan masa yang lama. Kalau pergi pagi pulang petang. Pergi malam pulang pagi. Ada juga yang berada di laut dua tiga malam, baru pulang. Berada di bawah panas matahari, berhadapan dengan bahaya di laut dan sebagainya. Tapi orang suka turun ke laut kerana nampak hasilnya, nampak duitnya.
Padahal solat Subuh (yang manusia malas melakukannya itu) mudah- lebih kurang 10 minit sahaja. Kalau paling lama pun mungkin setengah jam. Mana lebih senang antara solat Subuh dengan turun ke laut? Tentulah solat Subuh, tapi itulah yang dirasakan berat dan sangat susah oleh kebanyakan manusia.

Solat sunat dua rakaat atau membaca Al Quran satu mukasurat umumnya untuk mengejar akhirat. Menghadiri latihan sukan seperti latihan bola sepak, bola baling, bola tampar, hoki, ragbi dan lain-lain umumnya untuk mengejar dunia. Mana yang lebih susah?
Solat sunat dua rakaat atau membaca Al Quran satu mukasurat boleh dilakukan dalam masa yang singkat, tak perlu keluar rumah, tidak mengeluarkan banyak tenaga, tak perlu keluar wang… Tapi kalau pergi latihan bola sepak umpamanya, setiap hari 2-3 jam, di tengah panas, keluar duit tambang, duit makan minum, penat, ririko kecederaan… dan sebagainya. Namun manusia masih mengatakan susah untuk kejar akhirat, senang kejar dunia.

Nak kumpul pahala cukup mudah. Banyak cara. Buat kebajikan kecilpun dapat pahala. Senyum dapat pahala. Buang batu atau kayu dari jalan dapat pahala. Bangun beribadah pada malam hari tak ada orang marah, tak perlu keluar belanja, tidak perlu berlakon dan menunjuk-nunjuk. Tapi kalau nak kumpul pengikut macam orang-orang yang mahu jadi ketua atau terlibat dengan politik… cukup susah. Ada kalanya kena keluar duit, keletihan, orang iri hati, ada musuh, ada kalanya terpaksa berpura-pura, menipu dan sebagainya yang semuanya menyusahkan. Begitu juga kalau nak kumpul duit. Habis tenaga, wang, masa dan ada kalanya sampai mencemarkan maruah dan pegangan agama untuk mengejar duit, nak kumpul harta.
Tapi fikirkanlah… yang mana lebih dirasakan senang dan seronok oleh kebanyakan orang?

Jelaslah bahwa sesungguhnya sangat senang untuk kejar akhirat dan susah pula untuk kejar dunia. Maka kita sebagai orang yang sedar akan hal ini hendaklah bijak dalam mengejar kedua-duanya.

Ustazah Norhayati pada Konvensyen Wanita Ikatan Siswazah Muslim Malaysia (KONWANIS) 2005 lalu dalam pembentangannya bertajuk “Kewajipan Berdakwah Kepada Masyarakat” ada menyenaraikan beberapa sifat para pekerja agama (dai’e). Antaranya ialah kita mesti “tahu hakikat dunia”. Apabila kita tahu dan faham akan hakikat dunia, maka akan bijaklah kita mengatur langkah mengejar dunia dan akhirat.

Akhirnya, kita sebagai pekerja agama mestilah menunjukkan contoh yang baik. Biarlah ‘title’ kita sebagai pendakwah (atau sekurang-kurangnya orang yang suka akan agama) sepadan dengan amalan kita. Jangan nanti orang yang tidak mengikuti program seperti kita pula yang lebih bacaan Qurannya, lebih solat sunatnya, lebih baik akhlaknya daripada kita sedangkan kita pula sebaliknya.

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
*Dipetik dan disesuaikan daripada tazkirah pada MEI 2006
alexanderwathern
*Tazkirah ini disampaikan secara lisan, kemudiannya baru dipindahkan dalam bentuk tulisan. Gaya penyampaiannya diubahsuai sedikit untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Tazkirah Global Untuk Remaja: MENCINTAI NABI

Tazkirah Global Untuk Remaja
MENCINTAI NABI


Pelajar yang dikasihi sekelian,
Kita hidup di dunia ini tidaklah lama. Kalau dipanjangkan umur oleh Allah SWT… tak ada sakit, tidak kemalangan… insyaallah kita akan hidup 70 atau 80 tahun. Itulah lebih kurang purata umur manusia hari ini. Biasanya jangka hayat lelaki lebih kurang 70 tahun, dan wanita 80 tahun. Dan… kita akan hidup di akhirat dalam jangkamasa yang sangat lama, kekal, selama-lamanya, bertrillion-trillion tahun. Oleh itu, kita mestilah bijak membuat pelaburan dalam menyediakan perbekalan untuk hidup di dunia dan di akhirat.

Oleh kerana kita tahu yang kita akan hidup 70 atau 80 tahun di dunia ini, maka kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di dunia ini untuk jangkamasa 70-80 tahun. Dan… kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu bertrillion trillion tahun.

Sebagai tamsilannya bolehlah kita andaikan yang kita dan keluarga hendak pergi melancong ke Pulau Langkawi dan ke Timur Tengah- negara-negara Arab. Untuk melancong ke Langkawi dalam jangkamasa 3 hari 2 malam, untuk menjadikan sesi melancong kita selesa maka kita memerlukan bekalan sekitar RM 1500 untuk sebuah keluarga kecil. Untuk melancong ke Timur Tengah selama 8 hari 7 malam pula, kita memerlukan bekalan berupa wang ringgit lebih kurang RM 20,000.
Jadi,…antara persiapan dan perbekalan untuk ke Langkawi dengan ke Timur Tengah, yang manakah kita kena usahakan lebih banyak? Sudah tentulah persiapan dan perbekalan ke Timur Tengah.Begitu jugalah bandingan persiapan kita untuk hidup di dunia dengan persiapan kita untuk hidup di akhirat.

“Sediakanlah bekalan untuk hidup di dunia sepadan dengan usia kita iaitu antara 70-80 tahun. Dan… sediakanlah bekalan kita untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu selama-lamanya.”

Namun lihatlah realiti manusia hari ini. Ada orang yang bekerja mencari keselesaan untuk hidup di dunia ini 8 jam sehari, 10 jam sehari malah ada yang 12 jam sehari. Ini tidak salah, malah memang digalakkan. cuma kita berasa sedih kerana melihat perbekalan manusia untuk hidup selesa di akhirat cukup dengan solat 5 waktu sahaja- kalau dicampur-campur maka masanya tak sampai sejam pun sehari. Manusia rasa cukuplah itu sebagai perbekalan untuk makan sedap, pakai pakaian yang selesa dan tinggal di rumah yang mewah di akhirat kelak. Betulkah begitu?

Yang kita usahakan 8 jam, 10 jam malah 12 jam sehari untuk mendapatkan bekalan makan, pakai dan tinggal di dunia ini pun tak pernah mencukupi kehendak kita. Maka bagaimana pula bekalan yang kita usahakan hanya sejam sehari kita yakin boleh mencukupi keperluan kita untuk makan, pakai dan duduk di akhirat kelak? Pelajar-pelajar fikir-fikirkanlah.
Oleh kerana kita sudah faham yang hidup kita di dunia ini tidak lama, boleh berakhir pada bila-bila masa… maka gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya untuk menyediakan perbekalan-perbekalan untuk hidup di dunia dan hidup di akhirat mengikut pertimbangan yang sesuai dengan tempoh masanya.

Pelajar-pelajar yang dikasihi,
Tidak lama lagi kita akan menyambut Maulidurrasul. Imam asy-Syahid Hassan al-Banna sendiri dulu turut menyertai sambutan Maulidurrasul yang diadakan pada zamannya dan beliau turut sama melagukan nasyid-nasyid berkaitan. Pernah diadakan sambutan Maulidurrasul yang sangat padat dan berkesan oleh Rufaqa Corporation di Rawang. Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik diadakan, yang boleh kita contohi.

Salah satu sebab kita turut memeriahkan sambutan ini ialah kerana kita melihat adanya ruang-ruang untuk dakwah di dalamnya. Namun kita faham, sambutan Maulidurrasul ini bukanlah perkara wajib atau tuntutan.

Kita ini umat akhir zaman yang tidak pernah melihat Nabi, para sahabat Nabi dan para solehin terdahulu. Iman dan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW hanya senipis kulit bawang, tidak sepadan dengan kecintaan para sahabat kepada Nabi. Para sahabat melihat sendiri Nabi membuatkan kecintaan mereka kepada baginda sangatlah tinggi. Mereka tidak perlu program-program seperti Maulidurrasul untuk meningkatkan kecintaaan mereka kepada baginda. Tetapi program-program seperti ini memang sangat baik untuk kita yang tidak sempat melihat baginda, dengan kecintaan kita kepadanya yang senipis kulit bawang ini. Tapi syaratnya, program-program itu mestilah yang selaras dengan kehendak agama.

Sesungguhnya mencintai Nabi Muhammad itu wajib, Ini dapat kita fahami daripada hadith-hadith baginda sebagaimana di bawah:

“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.”
(Bukhari & Muslim)

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan seluruh umat manusia.”
(Bukhari & Muslim)

“Cintailah aku (Rasulullah), kerana Allah mencintai aku.”
(Turmizi)

Abu Razin al-Uqaili bertanya: “Ya Rasulullah, apakah iman itu?” Jawab baginda: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain-lain.”
(Ahmad)

Apakah “cinta”? Secara mudahnya cinta ialah “selalu teringat-ingat, selalu dicakap-cakap”. Apa benda yang banyak kita ingat dan banyak kita cakapkan, maka itulah benda yang kita cinta. Contohnya seorang yang minat memancing, malah sampai ke tahap gila memancing. Pasti dalam fikirannya selalu teringat-ingat tentang hal ehwal memancing. Dia juga berasa suka untuk berbicara tentang pancing-memancing dengan orang-orang yang ditemuinya. Jadi, jika benar kita ini mengaku mencintai Allah dan Nabi, sudah tentulah kita selalu teringat-ingat dan suka berbicara tentang Allah dan Nabi- ringkasnya hal ehwal berkaitan agama.

Pelajar yang dirahmati Allah sekalian,
Benarkah kita mencintai Nabi? Bagaimana cara untuk melahirkan kecintaan kepada baginda? Apa buktinya kita cinta akan dia? Antaranya kita mestilah mencintai:
1. Al Quran
2. Hukum-hukum yang dibawa olehnya
3. Sunnah-sunnahnya
4. Para ulama iaitu pewaris-pewarisnya
5. Bahasa Arab- bahasa pertuturannya
6. Jihad- jalan yang dirintisnya
Banyak lagi, cuma pada hari ini cukuplah sekadar ini yang kita tampilkan sesuai dengan masa yang kita ada.

Bagaimanakah cara kita mencintai Al Quran? Tak lain ialah dengan cara mempelajarinya, selalu membaca dan menelitinya… dan kalau mampu kita menghafaznya. Dan kalau mampu lagi, kita ajarkan pula kepada orang lain.
Mencintai hukum-hukum yang dibawanya. Apabila seseorang itu mencuri, dan sabit kesalahan, cukup syarat-syaratnya maka tangannya hendaklah dipotong. Kita faham, bukanlah mudah-mudah untuk pihak berkuasa memotong tangan orang yang mencuri, banyak sekali syarat-syarat yang mesti dipenuhi. Tapi apabila pencuri-pencuri lain atau bakal-bakal pencuri melihat atau mengetahui yang tangan seorang pencuri telah dipotong, adakah meeka akan mencuri? Sebahagian besarnya pasti akan membatalkan niat mereka untuk mencuri. Inilah cara Islam menjaga manusia.

Tapi kita lihat hari ini, seorang pencuri atau perompak besar yang berjaya mencuri jutaan ringgit, disimpannya di tempat tersorok atau di bank negara-negara tertentu. Walaupun mereka ditangkap dan dipenjarakan, namun wang curian mereka masih ada. Tamat tempoh hukuman penjara, mereka akan keluar sebagai jutawan. Manusia tidak takut untuk mencuri.
Begitu juga dengan kes zina. Orang yang ditangkap berzina hanya perlu membayar sejumlah kecil wang yang boleh dibayar pada bila-bila masa. Dapatkah hukuman sebegini mengurangkan jenayah zina? Cuba kita jalankan hukuman sebat. Sudah tentu bnayak para penzina atau mereka yang berniat untuk berzina membatalkan hasrat buruk mereka.
Tuhan adalah pencipta manusia. Jadi Tuhan lebih tahu apa yang paling sesuai untuk manusia. Tuhan lebih tahu apa hukuman yang paling baik untuk manusia. Maka siapa kita untuk mengatakan hukum-hukum Tuhan ini tidak sesuai, hukum-hukum fikiran kita yang lebih sesuai?

Kita membuat bangku, maka kita tahu apa keupayaan bangku dan hukum yang sesuai untuknya. Bangku tempat untuk manusia duduk. Tapi kalau diletakkan gajah di atas bangku, maka bangku akan pecah. Maka kita tetapkan hukum bahawa bangku hanya untuk kegunaan makhluk-makhluk yang ringan sahaja.
Kita mencipta steamroll, maka kita tetapkan hukum- ia digunakan untuk apa. Steamroll digunakan untuk meratakan jalan. Oleh itu ia tidak sesuai untuk dibuat pergi hantar utusan meminang. Takkan nak naik steamroll pergi ke rumah tok besan, kena pula yang duduk jauh.
Yakinlah kita bahawa Tuhan yang menciptakan kita itu lebih tahu hukum-hukum apakah yang paling relevan dengan kita.

Pelajar sekelian,
Kita faham baaayak sekali sunnah-sunnah Rasul. Tak perlulah dibicarakan panjang lebar di sini kerana kita memang maklum akan hal ini. Yang penting, kita mestilah mencintai sunnah-sunnahnya jika benar kita mencintai baginda.
Saya ingin menyentuh satu masalah. Ada sunnah-sunnah baginda yang dikatakan bukan sunnah oleh sesetengah pihak. Contohnya seperti memakai kopiah, berserban, berjubah, memakai celak, memakai seluar separas pertengahan betis malah ada orang yang sesekali sengaja memakai baju yang hujung lengannya tidak berjahit kerana ingin melakukan apa yang pernah Rasulullah lakukan- sampai begitu cinta mereka. Ini adalah sunnah- sunnah baginda yang dipertikaikan sebagai bukan sunnah. Bagimanakah sikap kita?
Janganlah kita pertikaikan hal tersebut. Kepada pihak yang mengatakan itu semua adalah sunnah, kita bersetuju. Kepada yang tidak mengiktirafnya sebagai sunnah, kita tiada masalah, kita raikan pandangan mereka.

Ini kerana bagi seseorang yang telah mencapai tahap cinta, dia akan melakukan apa saja tentang cintanya itu walaupun tidak mendapat apa-apa ganjaran, asalkan itu bukanlah perkara-perkara yang salah di sisi agama. Orang yang betul-betul tenggelam dalam cintanya kepada Nabi, dia akan cuba buat apa yang Nabi pernah buat walaupun pekerjaan itu tidak mendapat pahala. Dia melakukannya bukan atas dasar ganjaran, tetapi atas dasar cinta.

Lihat saja kisah Abdullah bin Umar, anak kepada Saidina Umar (kalau tak silap saya) dalam mengikut Nabi yang sangat-sangat dicintainya. Pernah Nabi Muhammad melalui sebatang lorong yang ada pohon di sebelahnya. Ranting pohon itu menghalang jalan menyebabkan Rasulullah tunduk. Bertahun-tahun selepas itu, pohon tersebut sudah tiada. Namun ketika Abdullah bin Umar melaluinya, dia tetap menundukkan kepala sebagaimana perlakuan Rasulullah. Orang berasa hairan dengan perlakuan Abdullah bin Umar, bagi mereka itu tidak perlulah dilakukan kerana ia bukan sunnah. Tetapi Abdullah bin Umar tetap melakukannya kerana kecintaannya kepada Nabi sudah begitu tinggi, dia melakukannya kerana cinta tanpa mengira sama ada mendapat pahala atau tidak, asalkan perbuatan itu tidak membawa dosa.
cuma kita kena ingat. Boleh jadi orang yang melakukan perkara-perkara itu memang tidak mendapat pahala sunnah, tetapi mana kita tahu mereka diganjarkan oleh Tuhan dengan “pahala kecintaan”! Pahala kecintaaan ini amat tinggi nilainya kan?

Harapnya perkara ini jelas kepada kamu, dan janganlah berhabis masa untuk mendebatkan itu sunnah ini bukan kerana masih banyak kerja lain untuk kita laksanakan. Siapa yang mengatakan sunnah… biarkan. Siapa yang mengatakan bukan sunnah…terpulang.
Berbicara tentang ulama iaitu pewaris-pewaris Nabi, betulkah kita mencintai para ulama? Kita boleh buat ujian. Saya beri kamu 2 minit, senaraikan nama-nama ulama yang kamu tahu. Rasanya masa 2 minit itu kamu rasa macam dua jam- tak tahu apa nak tulis. Tapi cuba saya beri kamu masa 2 minit, senaraikan nama para artis. Nescaya masa 2 minit itu terlalu singkat kerana begitu banyak nama artis yang belum sempat kita tulis. Bagi orang-orang lelaki pula, cuba tulis nama para pemain bola sepak. Pasti tak cukup masa 2 minit.
Dari sini kita boleh menilai diri sendiri, siapakah yang kita cintai selama hari ini.

Mencintai Nabi Muhammad, kenalah kita mencintai bahasa Arab- iaitu bahasa pertuturan baginda, bahasa ilmu-ilmu Islam, bahasa syurga dan lain-lain lagi keutamaan dan kelebihannya. Tak mampu belajar Bahasa Arab, sekurang-kurangnya belajarlah perkataan-perkataan Arab, jadilah.
Kononnya ada orang Melayu berkenderaan di Tanah Arab, kenderaannya tersadai di padang pasir kerana kehabisan petrol. Terjumpa orang Arab maka dikatanya: “Ya syeikh, petrol… innalillahi wainnailaihi rajiun”, untuk memaklumkan petrol kenderaannya dah habis.
Kononnya ada orang Melayu sesat di Makkah, tak dapat cari jalan balik ke hotel. Jumpa orang Arab dikatanya: “Ihdinassiratal mustaqim”, untuk minta orang Arab itu menunjukkan jalan ke hotel.
Akhirnya, sebagai bukti kita mencintai baginda hendaklah kita mencintai jihad.

Kesimpulannya para pelajar yang dikasihi , kita memetik kata-kata Nabi Muhammad SAW:
“Manusia itu akan bersama dengan orang yang dicintainya (di akhirat kelak)”.
(Bukhari & Muslim)

Cintailah Rasulullah, insyaallah kita akan bersama dengan baginda di syurga Allah nanti. Kalau kita mencintai Ronaldo, takut-takut di akhirat nanti kita akan bersama Ronaldo (sekiranya dia tidak mati sebagai seorang Islam). Setakat suka permainan bola sepaknya, tidak mengapa. Jangan sampai terlalu minat hingga mencintainya.
Wallahualam.

*Dipetik dan disesuaikan daripada tazkirah 9 APRIL 2006/ 10 RABIUL AWAL 1427
alexanderwathern
*Tazkirah ini disampaikan secara lisan, kemudiannya baru dipindahkan dalam bentuk tulisan. Gaya penyampaiannya diubahsuai sedikit untuk memudahkan pemahaman pembaca.

PAHLWAN SEGALA PAHLAWAN - Saidina Ali (2)

Ketika Saidina Umar dan para sahabat buntu fikiran memikirkan permulaan taqwim Islam, mereka minta pendapat Saidina Ali. Terus dijawabnya dengan lancar, “Tetapkan saja mulai hari hijrahnya Rasulullah SAW.” Itulah taqwim yang kita gunakan hingga ke hari ini.

Saidina Ali pernah berkata, “Seandainya semua orang Arab maju hendak menyerang aku, aku tak akan lari.” Kata-kata ini adalah untuk menunjukkan keperibadiannya yang sebenar, bukan bertujuan menunjuk-nunjuk. Begitu juga dengan katanya: “Tidak ada orang yang selamat berduel denganku.”
Setiap kali berduel (lawan pedang satu sama satu), beliau pasti akan menang. Tidak ada satu rekod pun menunjukkan yang beliau kalah menjadikannya ‘undefeated’. Terbunuhnya Saidina Ali hanyalah secara pukul curi pada waktu gelap.

Kekuatannya boleh dilihat dalam peristiwa beliau mencantas badan Ibnu Wudd (pendekar Quraisy) hingga terputus dua dengan sekali hayunan pedang sahaja sedangkan musuhnya ketika itu memakai baju zirah (besi).
Begitu juga dengan Marhab (pendekar Yahudi) yang terbelah kepalanya terus ke rahang sedangkan dia memakai topi besi dengan sekali hayunan pedang. Ini membuatkan musuh-musuhnya begitu gentar kerana mereka tahu, dengan berbaju zirah dan bertopi besi pun tidak akan selamat jika lawan mereka Saidina Ali.
Marilah kita renungkan bagaimanakah kentalnya semangat juang Saidina Ali apabila beliau ditanya: “Apakah engkau tidak berhasrat untuk membeli seekor kuda pacuan (yang akan digunakan dalam peperangan?.” Jawabnya: ‘Aku tidak memerlukan kuda pacuan kerana aku tidak akan lari daripada menghadapi musuh yang menyerang dan tidak akan menyerang musuh yang lari.”

Pada zaman itu, pihak musuh akan merasa bangga sekiranya ada di kalangan ahli keluarga mereka yang terbunuh di tangan Saidina Ali kerana ini menunjukkan keberanian berhadapan dengan pendekar teragung Rasulullah SAW. Sebaliknya wajah mereka akan berubah apabila mendapat tahu yang ahli keluarga mereka terbunuh bukan di tangan beliau.

Bagaimanakah Saidina Ali boleh menjadi begitu kuat? Sebenarnya kegagahan beliau wujud sejak zaman bayi lagi. Apabila dibedung oleh ibunya, kain bedung akan terbuka. Kemudian dibedung pula dengan dua helai kain, pun terbuka juga. Akhirnya dia dibiarkan tidak berbedung.
Ketika berhijrah ke Madinah, Saidina Ali bersama dua orang lelaki membawa serombongan wanita yang semuanya bernama Fatimah.Tiba-tiba muncul lapan orang kafir Quraisy yang menunggang kuda. Hanya Saidina Ali saja yang berani mencabut pedang berhadapan dengan mereka.
Salah seorang musuh menyerang lalu ditetak oleh Saidina Ali terus terbelah tubuhnya apabila pedang beliau tembus dari atas ke pelana kuda. Alangkah hebatnya! Ini membuatkan ketujuh-tujuh musuh lagi bertempiaran lari bersama kuda-kuda mereka.

Saidina Ali sangat kuat beribadah. Di dahinya ada kulit yang tebal kehitam-hitaman tanda beliau membanyakkan sujud kepada Allah SWT. Cucu beliau yang bernama Zainal Abidin solat seratus rakaat sehari tetapi sering mengeluh kerana belum lagi mencapai taraf ibadah datuknya.
Kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah dari Dinasti Umaiyah juga Mujaddid kurun pertama Hijrah: “Orang yang paling zuhud di dunia ialah Saidina Ali bin Abi Talib.”

Menurut Ibnu Abbas, Saidina Ali mempunyai empat kelebihan:
1. Beliau adalah orang pertama yang solat dengan Rasulullah SAW
2. Sentiasa membawa panji Rasulullah dalam pelbagai peperangan
3. Orang yang paling banyak memberi perlindungan kepada Nabi dalam peperangan
4. Beliau memandikan dan memasukkan sendiri jenazah Rasulullah ke dalam lahad

Sebagai seorang pendekar yang terhormat, beliau tidak bersifat pendendam. Sebelum meninggal dunia, beliau berpesan supaya orang yang menikamnya dilayan dengan baik dan diberikan pengadilan yang sewajarnya. Jangan ganggu keluarga pembunuhnya.

Pernah seorang khawarij (musuh Saidina Ali dan Muawiyah) datang bertanyakan masalah syariat Islam kepada Ibnu Abbas. Dia mendapat jawapan yang sangat memuaskan hati lalu berkata: “Sesungguhnya aku belum pernah terjumpa orang yang lebih cerdas daripada engkau.” Jawab Ibnu Abbas: “Ya, tapi aku sendiri belum pernah melihat orang yang lebih cerdas daripada Saidina Ali.” Orang itu berlalu dengan muka yang masam.

Pernah juga seorang perempuan mengadu kepada Saidina Umar kononnya dia dirogol oleh seorang lelaki kacak dengan memberikan bukti air mani yang melekat di kain dan pahanya. Saidina Umar minta pendapat Saidina Ali lalu Saidina Ali menuangkan air panas kepada cairan tersebut. Cairan itu membeku dan ternyata ia adalah putih telur. Perempuan itu dihukum kerana memfitnah.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith baginda:
“ Barangsiapa (yang menganggap) aku ini pemimpinnya, maka Ali adalah pemimpinnya (juga).”
(Turmizi, Nasa’i, Ahmad dan lain-lain)

Menurut Imam Ahmad pula, Saidina Alilah satu-satunya sahabat yang paling banyak keutamaannya disebut dalam hadith-hadith.
Saidina Ali juga merupakan model ‘sunnah’ yang paling utama memandangkan beliau tinggal bersama-sama Rasulullah SAW sejak kecil lagi.

Bukti kegagahan dan kependekaran Saidina Ali terlalu banyak untuk diriwayatkan. Di antaranya ialah beliau berjaya merempuh dan memecahkan pintu kubu Yahudi Bani Khaibar seorang diri sedangkan terdapat dua puluh orang musuh yang menahannya dari dalam. Lebih dahsyat lagi, sebelah pintu yang sebegitu besar dan berat itu dibuatnya perisai tangan.
Sewaktu pembukaan Kota Mekah, terdapat sebuah berhala yang besar di atas Ka’abah. Saidina Ali berjaya menolaknya jatuh sedangkan sepuluh orang pejuang yang berpadu tenaga gagal berbuat demikian sebelum itu.

Dalam satu peperangan lain, sebuah mata air tertindih dengan batu yang sangat berat. Tiada siap pun yang dapat mengalihkannya kecuali Saidina Ali.
Sewaktu kanak-kanak, salah seorang rakannya telah terjatuh ke dalam lubang yang dalam. Saidina Ali mengangkat rakannya itu dengan menghulurkan sebelah kaki sahaja.
Dalam Perang badar, tujuh puluh orang musuh berjaya dibunuh oleh tentera Islam. Tiga puluh empat daripadanya maut di tangan Saidina Ali.
Dalam Perang Uhud pula, beliau menewaskan dua belas orang musuh dalam pertandingan satu sama satu sebelum peperangan bermula.

Dalam Peperangan Khandaq, seorang pahlawan Quraisy yang termasyhur bernama Amru Ibnu Abdi Wudd dengan niat mengejek melangkah parit seorang diri ke tempat tentera Islam. Dia meminta duel. Tiada seorang pun tentera Muslimin yang berani bersuara kerana mereka tahu betapa handalnya Ibnu Wudd.
Namun begitu sikap Saidina Ali amat berlainan. Tiga kali Ibnu Wudd mencanangkan duel tanpa jawapan tetapi setiap kali itulah pula Saidina Ali bergerak ke hadapan untuk menyahut cabarannya. Cuma dia dihalang oleh Rasulullah memandangkan Ibnu Wudd bukan calang-calang pendekar.
Setelah mendesak beberapa kali Rasulullah pun mengizinkan beliau pergi dengan hati yang berat. Sungguh di luar dugaan, Ibnu Wudd terputus dua badannya walaupun mereka baru berbalas beberapa kali tetakan. Terus luntur semangat musyrikin Quraisy.

Sungguhpun beliau pendekar segala pendekar, tetapi dia tidak membina kekayaan sebagaimana pendekar moden hari ini. Saidina Ali tidak pernah tinggal dalam rumah batu (sedangkan orang Arab lain biasa berumah batu). Tidak pernah makan makanan yang lazat-lazat. Tidak pernah memakai pakaian yang halus dan mahal, semuanya kasar-kasar belaka.
Dalam usaha untuk menjadi seorang pejuang silat, ikutilah contoh kezuhudan, keberanian, kealiman, kebijaksanaan, ketakwaan dan lain-lainya sbagaimana yang ditunjukkan oleh Saidina Ali.

Akhirnya, kita menutup riwayat ringkas Saidina Ali r.a. ini dengan dua buah cerita menarik. Cerita pertama disampaikan oleh seorang pakar tempur dari Ipoh, Perak.
Tersebut dalam sebuah kitab lama, kononnya Saidina Ali pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, adakah lagi pahlawan yang lebih handal bermain pedang daripada aku?” Jawab baginda: “Ya, ada”.

Saidina Ali begitu terkejut dengan jawapan tersebut lalu meminta Rasulullah menunjukkan pahlawan itu kepadanya agar dapat dia bertukar-tukar fikiran dan menguji kehandalan masing-masing. Rasulullah meminta Saidina Ali pergi saja ke suatu tempat terpencil keesokan harinya. Di sana dia akan menemui pahlawan yang dikatakan itu.
Saidina Ali pergi ke sana lalu terlihat seorang lelaki yang menutup wajahnya dengan kain (bertopeng) sedang berlatih jurus-jurus pedang seorang diri. Saidina Ali pun memperkenalkan dirinya dan menyatakan tujuan kedatangannya.
Pahlawan itu tidak keberatan lalu mereka pun berbalas tetakan dan tikaman pedang. Akhirnya Saidina Ali tewas. Saidina Ali akur bahawa memang ada lagi orang yang lebih handal daripada dirinya.
Sebaik-baik sahaja topengnya dibuka, ternyata pahlawan tersebut ialah Rasulullah SAW sendiri! Kisah ini bersesuaian sekali dengan riwayat para sahabat yang mengatakan Saidina Alilah orang yang paling banyak melindungi Rasulullah dalam peperangan. Namun begitu apabila keadaan terlalu mendesak, beliau sendiri pula turut berlindung di belakang Rasulullah.

Cerita kedua, yang saya yakin hanyalah mainan kata orang-orang tua dahulu kala disampaikan oleh seorang ustaz di Trong, Perak. Kononnya, asal biji buah gajus/ janggus/ jambu ketereh itu berada di luar buahnya adalah kerana terkejut dengan pekikan muktamad Saidina Ali lalu terus tersembul keluar sehinggalah ke hari ini. Wallahu alam.

Alexanderwathern 2001

(Rujukan utama: IMAMUL MUHTADIN oleh HMH AL HAMID AL HUSAINI)

PAHLAWAN SEGALA PAHLAWAN : Saidina Ali (1)

PAHLAWAN SEGALA PAHLAWAN : Saidina Ali
oleh Alexanderwathern

Apabila berbicara tentang dunia persilatan, tidak lengkap rasanya ilmu pengetahuan seseorang pesilat sekiranya dia tidak mengetahui serba sedikit tentang ‘penghulu’ kepada segala pendekar iaitu Imamul Muhtadin Saidina Ali ibni Abi Talib Karamullahu Wajhah.

Ketokohan Saidina Ali sebagai pendekar terunggul di dunia terbukti dalam Perang Uhud. Sewaktu pasukan Islam terpukul hebat, beliaulah yang paling gigih mempertahankan Rasulullah SAW hingga terdengar suara malaikat Jibril berkata: “Tiada pedang selain Zulfiqar dan tiada pahlawan selain Ali.” Rasanya tidak ada lagi mana-mana pesilat walaupun sehebat Dato’ Laksamana Hang Tuah yang mendapat pengiktirafan daripada malaikat Jibril.

Pedang Zulfiqar asalnya milik Rasulullah SAW yang kemudiannya digunakan oleh Saidina Ali. Sebahagian ulama mengatakan bahawa pedang inilah Raja Segala Besi. Selepas Saidina Ali dibunuh secara curi, pedang Zulfiqar ini turut lenyap dan ada riwayat mengatakan yang ia akan muncul semula pada akhir zaman. Wallahu alam.

Pengaruh Saidina Ali dapat dilihat dalam silat-silat Melayu yang mendakwa aliran mereka mempunyai permainan pedang Saidina Ali, jeritan muktamad Saidina Ali, buah-buah penangkap Saidina Ali dan sebagainya. Memang sewajarnyalah ada pihak-pihak tertentu yang membuat kajian tentang sejauh manakah pengaruh menantu Rasulullah SAW ini dalam seni beladiri di nusantara.

Orang Arab memang terkenal dengan syair. Orang pertama yang mendendangkan syair tentang kasih-sayang kepada Nabi Muhammad ialah bapa Saidina Ali sendiri iaitu Abu Talib, yang terkenal sebagai pembela Rasulullah SAW dalam menghadapi kaum kafir Quraisy.
Sewaktu isterinya (Fatimah) mengandungkan Saidina Ali, Rasulullah telah menyatakan hasrat baginda untuk mengahwini anak dalam kandungan itu sekiranya perempuan. Abu Talib bersetuju. Dia juga mencadangkan agar Rasulullah sendiri mengasuh bayi itu hingga besar jika lelaki pula.

Setelah cukup masanya, Fatimah pergi berdoa di hadapan Ka’abah. Tuhan menunjukkan kemuliaan kepada anak itu apabila Saidina Ali sendiri dilahirkan di dalam Ka’abah. Kelahiran dalam Ka’abah itu adalah yang pertama dan yang terakhir dalam sejarah umat manusia.
Fatimah menamakan bayi lelaki itu Haidarah, yang bermaksud singa. Rasulullah SAW tiba selepas itu lalu menamakannya pula sebagai Ali. Ketika itu Rasulullah berusia tiga puluh tahun.

Saidina Ali mempunyai nama gelaran ‘Abu Turab’ yang diberi oleh Rasulullah SAW bermaksud ‘Bapak Pasir/ Debu/ Tanah’. Gelaran ini diperolehi kerana Rasulullah tersua Saidina Ali yang sedang berbaring di atas tanah di Masjid Nabawi lalu terus dipanggil baginda, “Ya Abu Turab’. Kemudian Rasulullah menyapu tanah yang melekat di punggung Saidina Ali.
Dalam peristiwa lain, Saidina Ali pernah tidur di bawah sebatang pokok kerana letih berperang. Dia baring di atas tanah tanpa beralaskan apa-apa. Rasulullah kejutkannya dengan memanggil nama tersebut.
Sumber lain mengatakan yang Saidina Ali jika merasa marah dengan isterinya (Fatimah- anak Rasulullah), dia diam sahaja lalu membawa hati dengan pergi ke masjid dan berbaring di atas tanah. Sekiranya Rasulullah melihat keadaan ini, tahulah baginda yang Saidina Ali ada krisis dengan isterinya yang memerlukan bantuan baginda.

Bagaimanakah fizikal pendekar agung ini? Tubuhnya agak rendah dan gemuk (berisi). Kedua bahunya lebar. Tangannya berurat. Dadanya lebar dengan perut yang agak besar. Jari-jemarinya halus tetapi kuat. Bentuk sebegini bolehlah disamakan dengan fizikal ahli angkat berat pada zaman ini.

Matanya lebar, bundar, hitam dan sayu. Raut wajahnya menarik dan selalu tersenyum. Berkulit sawo matang. Kepalanya culah. Ketika berjalan banyak condong ke depan. Pergerakannya lincah dan tangkas.
Pernah berkahwin dengan sembilan orang wanita dan dianugerahkan Allah lebih kurang tiga puluh orang anak. Beberapa orang anak lelakinya gugur syahid dalam pembunuhan zalim di medan Karbala.

Dikatakan Saidina Ali adalah orang pertama yang memeluk Islam. Rasulullah diangkat sebagai Rasul pada hari Isnin dan Saidina Ali Islam keesokannya. Namun ada juga pendapat mengatakan Siti Khadijah (isteri Nabi) yang memeluk Islam terlebih dahulu. Memeluk Islam dalam umur lapan ke dua belas tahun. Namun sebelum itu beliau tidak pernah menyembah berhala.

Dikenali juga dengan nama ‘Qadhim’ di kalangan kafir Quraisy yang bermaksud Si Tukang Gigit. Pemka-pemuka Quraisy yang segan untuk bertindak ke atas Nabi Muhammad kerana Abu Talib masih hidup, telah menghasut agar anak-anak kecil melontar batu kepada baginda. Sudah tentulah Abu Talib tidak dapat menahan perlakuan budak-budak.

Namun begitu Saidina Ali sentiasa melindungi Rasulullah. Dia akan mengejar budak-budak tadi lalu menggigit telinga dan hidung mereka. Budak-budak itu tidak berani melawan Saidina Ali kerana dia memang handal bergusti. Abu Talib sering mengumpulkan anak-anaknya untuk bergusti sesama sendiri dan Saidina Alilah juaranya.
Saidina Ali boleh dikatakan orang yang paling mahir bahasa Arab sesudah Rasulullah kesan asuhan baginda terhadapnya dari kecil hinggalah dewasa sedangkan Rasulullah merupakan orang Arab yang terfasih.

Selain seorang pendekar, Saidina Ali juga seorang yang pandai akal. (Ada pendapat mengatakan perkataan ‘pendekar’ itu asalnya pandai akal/ pendek akal/ panjang akal. Jika benar akhir perkataan ‘pendekar’ itu ‘akal’, sudah tentulah orang sebelah utara menyebut ‘pendekar’ dengan ‘pendekai’. Tetapi mereka menyebut ‘pendekar’ sebagai ‘pendekaq’. Maksudnya, hujung perkatan ‘pendekar’ itu bukanlah ‘akal’ atau huruf ‘lam’ tetapi tetap huruf R atau ‘ra’ jawi membuatkan pendapat tersebut boleh diketepikan).

Kebijaksanaan beliau menjawab pertanyaan rumit secara terus dan lancar ketika itu juga amat menakjubkan. Pernah diajukan masalah dua orang yang si A mempunyai 5 keping roti sementara si B ada 3 keping. Kemudian datang si C makan bersama-sama mereka. Setelah makan si C bayar 8 dirham. Bagaimanakah pembahagian yang paling adil untuk A dan B?
Kalau mengikut pertimbangan kita, sudah tentulah A mendapat 5 dirham dan B 3 dirham. Namun Saidina Ali tanpa menggunakan mesin kira terus menjawab ketika itu juga bahawa A mendapat 7 dirham dan B pula hanya 1 dirham. Ternyata inilah pembahagian yang paling adil (sila fikirkan sendiri).

Pernah juga sewaktu berada di atas mimbar, orang bertanyakan jarak di antara Timur dengan Barat. Melihat kepada keadaan ketika itu sudah tentulah soalan tersebut bertujuan menguji beliau. Saidina Ali memberikan jawapan yang sesuai dengan soalan berbentuk menguji itu: “Jarak antara Timur dengan Barat adalah jarak perjalanan matahari dalam masa sehari.”
Ada juga orang bertanyakan jarak pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Jawan beliau: “Jaraknya ialah empat jari (iaitu jarak antara mata dengan telinga). Yang hak itu dapat dilihat dengan mata dan yang batil itu (biasanya) didengar oleh telinga.”

Saidina Ali juga merupakan guru utama ilmu-ilmu fiqh. Ini dapat dibuktikan melalui sanad berikut: Imam Ahmad (pengasas mazhab Hambali) belajar daripada Imam Syafie yang belajar daripada Imam Malik (pengasas mazhab Maliki) yang belajar daripada Rabi’ah yang belajar daripada Ikrimah yang belajar daripada Ibnu Abbas yang belajar daripada Saidina Ali.
Begitu juga dengan sanad ini: Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi) belajar daripada Jaafar As Shadiq yang belajar daripada Muhammad Al Baqir yang belajar daripada Zainul Abidin yang belajar daripada Saidina Ali.

Dengan itu, kesemua Imam Mazhab yang empat sebenarnya mengambil ilmu daripada Saidina Ali. Sudah semestinyalah seorang yang ingin memperjuangkan dunia persilatan turut memahirkan diri dalam bidang keagamaan agar tidak tersalah jalan di kemudian hari.

bersambung...

Thursday, March 29, 2007

ZIKIR menurut HASSAN AL BANNA

ZIKIR menurut HASSAN AL BANNA

Dalam Majmu’ Rasail Hasan al Banna di bahagian bertajuk Al Ma’thurat, beliau berkata:

“Saudara yang dihormati, jika anda memahami hakikat ini anda tidak sepatutnya merasa hairan jika seorang muslim sentiasa berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan”.
  
Kata Imam asy-Syahid lagi:

“Nabi saw sendiri berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.”

Huraian

Hasan al Banna mengakui wujudnya segelintir umat Islam yang sentiasa dalam keadaan berzikir. Pengalamannya ini adalah hasil sesi tarbiyyah sufi Tariqat Hasafiah yang pernah dilaluinya pada zaman-zaman awal kehidupan beliau. Beliau sangat mengkagumi tokoh tariqat ini iaitu Syeikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syeikh Hasanain al-Hashafi.

Sebenarnya Ikhwanul Muslimin tidak pernah menolak jemaah-jemaah tariqat sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian orang, Cuma Ikhwanul Muslimin menolak jemaah tariqat yang ternyata sesat dan kurang bersetuju dengan ruang lingkup dakwah jemaah-jemaah tariqat lain yang tidak cukup luas. Mereka hanya memperjuangkan beberapa aspek pilihan sahaja daripada keseluruhan aspek yang ada dalam dakwah Islam itu. Ikhwanul Muslimin tetap menghormati dunia sufi dan peranannya.

Hasan al Banna menceritakan pendapatnya tentang dunia tasauf dalam “Muzakkirat Da’wah wad Da’iyah”. Tulis Dr. Yusuf Qardhawi (tokoh utama Ikhwan dewasa ini) dalam “At-Tarbiatul Islamiyyah wa Madrasatul Hassan al Banna”: “Di dalam tasauf itu terdapat kehangatan dan semangat serta pengaruh yang tidak terdapat pada golongan yang lain dan dalam ucapan mereka terkandung kekuatan yang tidak terdapat dalam ucapan orang lain.”

Tulis Hasan al-Banna dalam Detik-detik Hidupku sewaktu menyatakan pandangannya tentang tasauf:

“Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu tasauf dan tariqat telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam di pelusuk dunia yang jauh. Penyebaran Islam tidak mungkin tercapai tanpa semangat berdakwah ahli-ahli sufi ini. Islam tersebar luas kerana usaha-usaha mereka ini.”

Tulis Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Al Munqiz min adh’Dhalal” (Selamat daripada Kesesatan): “…aku berkeyakinan bahawa orang-orang sufi adalah golongan yang mengikut jalan yang hanya semata-mata menuju kepada Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan dan tariqat yang diikuti adalah jalan yang paling tepat serta akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.” Pandangan al-Ghazali ini tentu sesuai dengan keperluan-keperluan dakwah di zamannya, sesuai dengan statusnya sebagai mujaddid bagi zaman itu. Dengan datangnya zaman yang baru dengan mujaddid yang baru iaitu Imam asy-Syahid sendiri, maka teknologi berdakwah turut berubah.

Seperti yang kita maklumi, ulama-ulama tasauf memang membiasakan diri mereka berzikir dalam segala keadaan. Yang dimaksudkan oleh Hasan al Banna di sini ialah zikir khafi iaitu zikir di dalam hati (tersembunyi) seperti “Allah, Allah”, “Laailahaillallah” dan sebagainya secara berterusan daripada seawal terjaga dari tidur (pada waktu pagi ketika mata belum terbuka tetapi hati telah sedar) hinggalah masuk tidur (di kala mata telah tertutup hinggalah kesedaran hilang akibat lena). Inilah “trend” ulama-ulama tasauf. Biasa kita lihat si ulama berbual atau memberikan kuliah tetapi tasbih di tangannya masih tetap berjalan. Inilah yang dimaksudkan dengan “Nabi saw sendiri berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.”

Fahamilah perintah Allah:

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah pada masa berdiri, pada masa duduk dan pada masa berbaring.”
(An-Nisa’ : 103)

Allah memerintahkan kita supaya selalu dalam keadaan berzikir, tidak kira semasa kita berdiri, ketika duduk mahupun sedang berbaring.

Bukanlah yang dimaksudkan itu zikir bersuara (terang-terangan) kerana zikir jenis ini akan terputus apabila kita berbicara, makan minum, masuk tandas, terkejut, sakit mulut dan sebagainya. Zikir di hati itulah yang dimaksudkan kerana ia boleh diamalkan tidak kira walau di mana kita berada.

Sabda Nabi:

“Zikir khafi itu melebihi zikir jahri dengan 70 kali ganda. Setelah hari kiamat, Allah mengembalikan semua makhluk ke tempat perhitungannya. Dan malaikat penjaga membawa apa yang mereka jaga dan apa yang mereka catat. Allah berfirman kepada malaikat penjaga: Perhatikanlah, masih adakah sesuatu yang tersisa daripada (amalan) hamba-Ku? Mereka menjawab: Tidak ada satu pun yang kami tinggalkan darpada apa yang kami tahu dan yang kami jaga melainkan kami batasi dan kami tulis dengan sebenarnya. Maka Allah pun berfirman (kepada hamba-Nya): Sesungguhnya kebaikanmu ada pada-Ku. Dan Aku akan membalasnya. Kebaikanmu itu ialah zikir khafi.”
(Baihaqi)

Dalam hadith lain:

“Zikir yang paling baik adalah zikir khafi dan rezeki yang paling baik ialah sesuatu yag mencukupi.”
(Ibnu Hibban & Baihaqi)

Bayangkan kita sedang berada di medan jihad dan sedang sibuk bergomol dengan musuh, ibadah apakah yang boleh kita lakukan? Tidakkah zikir khafi? Ketika kita menjeritkan, “Hei musuh-musuh Islam, kami datang memang untuk menemui syahid!” apakah ibadah yang boleh kita lakukan? Zikir di mulut pasti terhenti kerana kita perlu bersuara tetapi zikir di hati masih boleh terus berjalan. Maka zikir jenis ini amat sesuai dipraktikkan terutamanya ketika dalam kecemasan. Zikir khafi ini tidak mengganggu pekerjaan kita.

Dalam sebuah hadith qudsi:

“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku.”
(Bukhari)

Itulah diriwayatkan bahawa ketika Tok Kenali (seorang tokoh sufi dan waliyullah Kelantan) hampir meninggal dunia, mulutnya sudah tidak bergerak tetapi anaknya masih dapat mendengar suara “Allah, Allah” dari dalam dada bapanya.

Siapakah Tok Kenali? Beliau ialah anak murid kepada seorang ulama besar iaitu Syeikh Ahmad al-Fathoni. Dalam majalah Seni Beladiri (artikel bertajuk “Ustaz Ahmad Che Din: Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat” oleh Mohd Nadrin Wahab) diceritakan suatu ketika Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) memerlukan seorang pemudahcara dalam dialognya dengan Syeikh Nasiruddin (Beirut), para ulama Mekah memanggil Syeikh Ahmad Fathoni. Ketika itu beliau adalah salah seorang ulama rujukan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Syeikh Ahmad mencalonkan Tok Kenali.

Mulanya Syeikh Muhammad Abduh ragu akan kebolehan Tok Kenali. Setelah Tok Kenali mentafsirkan surah al-Fatihah selama 7 hari berturut-turut barulah Syeikh Muhammad Abduh akur dengan kelayakannya. Tok Kenali pun menyelesaikan dialog tersebut.

Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar pernah memberitahu Nabi Muhammad saw yang baginda sentiasa bersama-sama dengannya walaupun ketika di dalam tandas. Kalau benarlah riwayat ini, maka memang jelaslah Abu Bakar orang terbaik umat ini kerana dia mampu mengingati Allah dan Rasul-Nya sekaligus secara berterusan di dalam hati.

Namun kita janganlah hendaknya menyempitkan makna zikir itu terbatas kepada sebutan-sebutan “Subahanallah”, “Allah”, “Laailahaillallah” dan seumpamanya sahaja. Kalau ketika itu kita sedang berfikir tentang kebesaran Allah, bermonolog dalaman menyatakan kasih sayang kita kepada-Nya, membaca al-Quran (terutamanya dengan pemahaman) dan seumpamanya masih di kira sedang berzikir, sedang ingat kepada Allah SWT. Zikir-zikir yang diutamakan oleh Hasan al-Banna ialah zikir-zikir yang ma’tsur, yang jelas datang daripada Nabi Muhammad saw untuk mengelakkan sebarang keraguan. Dalam buku “At-Tarbiatul Islamiyyah wa Madrasatul Hassan al Banna” karya Dr. Yusuf Qardhawi tertulis di sana “Sebaik-baik zikir ialah membaca al-Quran”.

Kata Imam Nawawi dalam Al-Adzkar: “Ketahuilah bahawa keutamaan zikir tidaklah terbatas kepada tasbih, tahlil, tahmid dan takbir serta yang seumpama dengannya, akan tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia pun berzikir kepada Allah swt (juga).” Demikianlah yang dikatakan oleh Said bin Jubair ra dan ulama lainnya.

Hadith Rasulullah saw:

“Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian keduanya bersembahyang dua rakaat bersama-sama, maka keduanya ditulis sebagai lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah .”
(Abu Daud, Nasa’i & Ibnu Majah)

Sewaktu kita tiada sebarang pekerjaan, maka eloklah kita berzikir secara bersuara sebagaimana hadith yang dipetik oleh Hasan al Banna dalam risalahnya ini:

“Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, syariat Islam terlalu banyak untuk saya. Sila beritahu saya suatu perkara yang saya boleh tumpukan”. Baginda bersabda: “Hendaklah lidahmu sentiasa basah kerana berzikir kepada Allah”.
(Turmizi)

Ada orang yang berzikir tetapi tidak lebih sebutan di mulut sahaja kerana hatinya memikirkan perkara lain. Berzikir di mulut dengan kehadiran hati adalah yang terbaik.

Namun dalam tarbiyyah Ikhwanul Muslimin, item zikir khafi tidaklah dimasukkan ke dalam sukatan kerana ia bukanlah perkara pokok yang Allah wajibkan untuk semua umat Islam menguasainya. Lagipun sangat banyak masa dan tenaga akan dihabiskan utuk menguasai item ini sedangkan banyak lagi kewajiban yang lebih penting sedang berada di barisan depan yang mesti dilaksanakan terlebih dahulu. Ia adalah sekadar pengkayaan (usaha secara sendiri-sendiri) sahaja kepada sesiapa yang mampu, mempunyai lebih masa dan telah menyelesaikan kerja-kerja Islam yang digariskan oleh jemaah.

Namun bagi Ikhwan, membiasakan diri berzikir tetap sangat penting sebagaimana wasiat kedua Imam asy-Syahid dalam 10 Wasiatnya:

“Bacalah al-Quran, telaahlah tafsirannya atau dengarlah orang lain membacanya, atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau menggunakan sebahagian daripada waktu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.”

Imam asy-Syahid memetik hadith:

“Apabila satu kumpulan duduk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla, malaikat akan mengelilingi mereka dan mereka akan dinaungi rahmat, mereka akan dilimpahi ketenangan dan Allah akan menyebut-nyebut nama mereka kepada sesiapa yang ada di sisi-Nya.
(Muslim)

Tulisnya lagi:

“Mungkin anda sendiri kerap bertemu dengan hadith-hadith yang menyebut bagaimana baginda terserempak dengan satu kumpulan yang sedang menyebut nama Allah berzikir di dalam masjid. Baginda memuji mereka dan tidak mencegah perbuatan mereka.”


Huraian

Ikhwanul Muslimin memang menganjurkan zikir beramai-ramai pada masa tertentu. Al Ma’thurat yang disusun oleh Imam asy-Syahid biasa sangat dibaca beramai-ramai dengan kelajuan yang sama. Ini menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan kononnya tokoh Ikhwan seperti Dr. Yusuf Qardhawi misalnya menolak majlis zikir secara beramai-ramai.

Hadith qudsi:

“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku. Dan jika ia berzikir kepada-Ku secara berjemaah, nescaya Aku ingat kepadanya dalam kelompok jemaah yang lebih baik daripada mereka”
(Bukhari)

Sabda baginda saw:

“Tiadalah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah pada suatu majlis melainkan malaikat mengelilingi mereka dan rahmat meliputi mereka, dan Allah mengingati mereka sebagai orang-orang yang dekat di sisinya.”
(Muslim)

Sabda baginda dalam hadith yang lain:

Apabila kamu melewati kebun syurga, maka berkeliaranlah di situ.” Para sahabat berkata: “Apakah kebun syurga itu ya Rasulullah?” Rasulullah saw bersabda: “Majlis zikir”.
(Dipetik daripada kitab al-Adzkar oleh Imam Nawawi)

Rasulullah keluar mendatangi kelompok zikir dari para sahabatnya lalu bersabda: “Apakah yang menyebabkan kamu semua duduk?” Mereka menjawab: “Kami duduk berzikir kepada Allah swt dan memuji-Nya atas hidayah yang diberikan-Nya berupa agama Islam dan kurnianya-Nya kepada kami”. Beliau bersabda: “Demi Allah, hanya kerana itukah kamu duduk? Sesungguhnya aku tidak menyuruh kamu semua bersumpah sebagai tuduhan terhadap kamu semua, akan tetapi Jibril datang kepadaku dan menceritakan kepadaku bahawa Allah swt membanggakan kamu semuaa kepada para malaikat.”
(Muslim)


PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Alexanderwathern
NOV 2006

TAZKIRAH DR. ABU MUJTAHID

Isi tazkirah ini bukanlah buah fikiran ana, ana sekadar mencatat nota. Dr. Abu Mujtahid telah berkunjung ke majlis yang ana dan Ustaz Abu Hanis anjurkan lalu beliau diminta menyampaikan sedikit tazkirah. Berikut adalah tazkirah beliau (lebih kurang).


TAZKIRAH USTAZ ABU HANIS

Para sahabat Rasulullah yang awal bilangannya sedikit. Inilah tunjang dakwah asal (* maka kita jangan berasa lemah semangat dengan bilangan kita yang kecil).
Kita jangan jadi orang yang gugur di tengah jalan ( * berhenti daripada dakwah setelah sekian lama melibatkan diri). Kita takut hati-hati kita terbalik. Ini kerana dalam dakwah tidak ada pencen. Semakin lama kita melibatkan diri, semakin bernilai diri kita- macam pokok jati. Bukan besar macam pokok jati, tapi bernilai seperti kayu jati.



TAZKIRAH DR. ABU MUJTAHID

Program begini,.. bukan semua orang boleh (mampu) hadir. Bukan semua orang ada kekuatan untuk hadir majlis ilmu, lebih-lebih lagi pada hari cuti. Tengok kawan-kawan kita, kalau yang lelaki mungkin pergi memancing. Ada juga yang bersantai. Ada yang menolong keluarga berniaga- tambah pendapatan dan lain-lain.

Tapi di samping kita sibuk dengan urusan kehidupan di dunia, jangan lupa tentang hidup kita di akhirat. Kata Al Quran, dunai ini tempat bercucuk-tanam. Bercucuk-tanam yang bagimanakah dimaksudkan?

Kalau kita ada tanah, kita tanam pokok, esok ke dapat hasilnya? Tentu lambat kan? Kalau pokok rambutan tu biasanya 2-3 tahun baru baru berbuah. Dalam masa tunggu tanaman kita nak berbuah tu kita kena selalu baja dan siram. Kalau kita biar, adakah kita akan dapat hasil yang baik nanti? Kalau dibaja dan disiram, barulah akan dapat buah yang elok dan manis.

Inilah permulaan kita bina diri kita. Siram dan baja diri kita sendiri agar dapat hasil yang bagus di akhirat. Untuk itu yang pertama kita kena istiqamah hadir program. Kedua, tambah perkara-perkara sunat. Saya yakin anda… yang wajib dan selesai… solat fardhunya, puasanya…

Ada orang solat tiga kali sehari. Ada orang lelaki solat seminggu sekali- solat Jumaat saja. Ada orang yang solat dua kali saja setahun (solat sunat hari raya). Kitalah yang kena cuba bantu kawan-kawan yang agak ketinggalan. Kita bersangka baik dan Bantu. Jangan kata, “Alaah… dia dah memang macam tu..”. Semua ini tugas-tugas kita. Tentunya andalah yang rapat dengan mereka, lebih tahu isi hati mereka, dan tahu cara nak tarik mereka.

Antara amalan sunat yang senang ialah solat sunat qabliyyah dan ba’diyyah, puasa sunat Isni da Khamis bagi yang mampu, banyakkan baca Al Quran… Kalau ikut trend masyarakat kita biasanya orang suka baca Quran lepas Maghrib. Tak kisahlah, kamu bacalah lepas solat fardhu, sekurang-kurangnya satu helai sehari. Khatamkan sekali dalam setahun, kemudian pertingkatkan lagi jadi dua kali setahun. Jaga hubungan dengan jiran, dengan ibu bapa… jangan menderhakai ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita kan.
Kalau kita istiqamah dengan program, di akhirat akan dapat hasilnya. Pengorbanan kita di dunia Allah tak akan sia-siakan.

Masyarakat kita semakin teruk. Yang tak mahu agama lebioh banyak daripada yang mahu. Ayat al Quran… ( Dr membacakan ayatnya, yang intipati maksudnya…) kita ini adalah sebaik-baik umat dan yang sebiak-baik umat itu ialah mereka yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tapi cara kita menegur biarlah berhikmah. Dalam pada itu batas hubungan lelaki perempuan kena jaga, dalan lingkungan yang ditetapkan syariat.

Anda sebenarnya orang-orang yang bertuah kerana dapat turut sama dengan program begini. Berdoalah agar Allah tetapkan hati ke jalan yang betul. Jalan-jalan dakwah ini panjang dan berliku. Tak ramai yang boleh komitmen dengan program amcam ini. Malah ada yang sudah bertahun-tahun ikut tapi kemudian stop- gugur di tengah jalan. Mungkin dia tidak doa.


Dinotakan oleh:
Alexanderwathern
FEB 2001

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

PELAJAR HARI INI MEMANG HEBAT

PELAJAR HARI INI MEMANG HEBAT


Bukannya dongeng ataupun hikayat
Cerita benar lagi tersurat
Saja nak bagi tau, bukannya mengumpat
Pelajar hari ini memanglah hebat

Datang sekolah kalau boleh nak lambat
Waktu balik semedangnya nak cepat
Terkejar-kejar macam budak darjah empat
Alangkah seronoknya kalau dapat balik jam 10 tepat?

Duduk di rumah pun bukannya ada apa dia nak buat
Di depan televisyenlah dia terlopong terkulat-kulat
Kot-kotlah dia nak baca buku ke… nak tambah ibadat
Jangan diharap. Dia liat sehabih-habih liat

Setiap minggu turun ke pekan tak pernah lambat
Sanggup dia naik bas macam sardin sikit punya sendat
Merayau, melepak, mengorat dan diorat
Solat Zohor dan Asar entahlah kat mana dia buat

Sudah jadi ‘trend’ gadis-gadis Melayu hari ini pakai baju yang nampak pusat
Maka terpamerlah daki-daki yang tersumbat
Kononnya dia pakai begitu supaya waktu dia turun bas semua mata kagum melihat
Dialah yang paling seksi, lagi canggih dan punya perut yang berkarat

Dua hari lagi nak periksa dia buat kelam-kabut sat
Jadual ‘study; baru dia nak lekat
Rajin pulak dia ke masjid, apakah dia sudah bertaubat?
Entahlah… tapi yang pastinya… pelajar hari ini memang hebat

Langkah pertama berutus surat
Langkah kedua jumpa sat-sat
Langkah ketiga duduk rapat-rapat
Langkah keempat… ditangkap, dibawa mengadap ustazah ataupun ustaz

Hanya sekadar inilah yang sempat
Semoga kita ambil manafaat
Nasihat kita jadikan azimat
Pelajar hari ini memang hebat (buktikan!)

*Dicipta lalu diselitkan dalam salah satu tazkirah saya pada 14 APRIL 2004.

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Alexanderwathern
2004

Karamah Saidina Umar Al Khattab

Karamah Saidina Umar Al Khattab

► Suatu hari, berlaku gempa bumi di Madinah. Sewaktu itu Saidina Umar memegang teraju pemerintahan sebagai Khalifah setelah kematian Saidina Abu Bakar. Ketika bumi sedang bergetar, Saidina Umar menghentakkan tongkatnya ke tanah lalu berkata, “Wahai bumi, tenanglah kamu. Apakah aku tidak berlaku adil di atasmu?” Dengan izin Allah, serta-merta gempa bumi terhenti.

► Tentera Islam di bawah pimpinan Amru Al Ash telah berjaya membuka Mesir. Ketika itu berlakulah kemarau panjang hinggakan air Sungai Nil kering. Menurut penduduk di situ, air Sungai Nil akan naik kembali jika dikorbankan seorang anak dara ke dalamnya. Begitulah yang mereka lakukan pada masa-masa yang lalu. Amru menulis kepada Saidina Umar bertanyakan pendapatnya. Saidina Umar menolak sama sekali upacara khurafat tersebut lalu beliau menulis sepucuk surat kepada Sungai Nil yang berbunyi:
“Daripada Amirul Mukminin Umar kepada Sungai Nil di Mesir. Jika kamu mengalirkan airmu dengan kehendakmu sendiri, janganlah kamu mengalir. Tapi jika kamu mengalir dengan kehendak Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa, maka kami memohon kepada Allah Yang Maha Esa dan
Maha Perkasa untuk mengalirkan kamu.”
Surat ini dilemparkan oleh Amru ke dalam Sungai Nil. Dengan izin Allah, pada malam itu juga tersembur keluar mata-mata air di sepanjang sungai tersebut hingga penuh sebagaimana yang kita lihat hari ini.

► Suatu ketika seorang utusan dari Rom (musuh Islam) tiba ke Madinah untuk menyampaikan sesuatu daripada rajanya kepada Khalifah. Dia bertanyakan orang ramai di manakah istana Saidina Umar. Malangnya Saidina Umar tidak ada istana kerana beliau tinggal di sebuah rumah kecil sahaja di padang pasir. Inilah contoh zuhud yang terbaik. Ketika sampai ke tempat Saidina Umar, dilihatnya khalifah sedang tidur sendirian di bawah pokok tamar. Tongkatnya dijadikan bantal. Utusan Rom berasa hairan kerana pemerintah Islam yang sangat digeruni Timur dan Barat itu langsung tidak ada pengawal peribadi. Dia terfikir inilah saat yang paling sesuai untuk dia berkhidmat kepada rajanya iaitu dengan membunuh Saidina Umar. Dia pun mendekati Saidina Umar denagn pedang yang terhunus. Tiba-tiba muncul dua ekor singa entah dari mana hendak menerkamnya . Sang utusan menjerit ketakutan dan pedangnya terlucut menyebabkan Saidina Umar terjaga. Singa-singa tadi hilang begitu saja. Utusan Rom pun menceritakan apa yang terjadi kepada saidina Umar. Akhirnya dia terus memeluk agama Islam.

► Saidina Umar pernah melaung dia atas kubur seorang pemuda, “Wahai pemuda, bagi orang yang takut kepada Tuhannya, kamu akan mendapat dua syurga.” Suara dari dalam kubur itu menjawab, “Wahai Umar, Allah telah mengurniakan kepadaku dua syurga.”

► Saidina Umar telah mengirim sepasukan tentera di bawah pimpinan Sariyah ke Nahawunda untuk menghadapi tentera Parsi. Dalam peperangan itu, tentera Islam terpukul hebat dan hampir-hampir akan kalah. Saidina Umar yang ketika itu sedang berkhutbah di masjid telah dibukakan hijab oleh Allah hinggakan dia dapat melihat situasi peperangan tersebut. Secara spontan Umar menjerit
memerintahkan Sariyah dan tenteranya bertahan di atas sebuah bukit. Arahannya itu dapat didengar oleh tentera Islam yang jauh ratusan (mungkin ribuan) batu lalu mereka mengubah strategi dan akhirnya mencapai kemenangan.

Alexanderwathern 2003

MERAWAT KERASUKAN JIN

MERAWAT KERASUKAN JIN
Oleh Alexanderwathern

Beberapa orang tertanya-tanya kaedah rawatan yang saya lakukan. Sebenarnya saya bukanlah seorang perawat, cuma apabila tak ada rotan maka akar pun jadilah. Ikhtiar saya hanyalah dengan doa. Setakat ini ia hanya berkesan kepada jin-jin yang berpangkat bawah daripada Sarjan sahaja. Berikut adalah kaedah rawatan yang saya amalkan:

1. Ikhlaskan hati untuk merawat kerana Allah. Iblis dan syaitan tidak dapat menguasai orang yang ikhlas. Ikhlas akan memudahkan doa dan rawatan kita berhasil.

2. Mula-mula ucapkan 2 kalimah syahadah sama ada di mulut ataupun dalam hati. Syahadah diperbaharui untuk memastikan yang kita sedang diiktiraf Islam di sisi Allah. Boleh jadi sebelum itu kita ada melakukan perbuatan yang menyebabkan kita tidak diiktiraf Islam oleh Allah tanpa kita sedari. Berdoa dan merawat sebagai seorang Islam lebih mudah berhasil (kita tak nafikan ada doa orang bukan Islam yang dikabulkan Tuhan).

3. Kemudian baca selawat ke atas Nabi dan ahli keluarganya, sebaik-baiknya 3 kali. Ini untuk mendapat perlindungan Allah. Sekali kita berselawat kepada Nabi, 10 kali Allah balas selawat untuk kita. Jika Allah sendiri yang memberikan selawat untuk kita maka bagaimana kita boleh gagal?

4. Seterusnya beristighfar 3 kali. Diharapkan dengan beristighfar maka semua dosa-dosa kita akan terhapus. Berdoa dan merawat dalam keadaan sebagai seorang yang tidak berdosa atau kurang dosa lebih mudah dimakbulkan.,

5. Baca Bismillahillazi layadurrumaasmihisyaiun filardhi wa la fissamaai wahuawas sami ulalim 3 kali agar tidak ada suatu apa pun yang berupaya memudaratkan kita sama ada di bumi ataupun di langit.

Bacan-bacaan awal ini lebih kepada pembersihan diri, dekatkan diri dengan Allah dan sebagai benteng peribadi. Kalau jin itu berpangkat prebet saja, ketika ini pun kadang-kadang dia sudah beredar. Yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal biasanya akan menunjukkan tanda-tanda tidak selesa. Untuk mulakan rawatan:


1. Baca Auzubillahis samiil alimmiminasy syaitanirrajim. Ini untuk menguatkan lagi pelindungan Allah kepada kita dan menggugat jin tersebut.

2. Baca al-Fatihah- ketua segala penawar. Kelebihan-kelebihannya sedia kita maklumi.

3. Baca pula ayat Kursi- untuk menewaskan jin. Fadhilatnya biasa kita ketahui.

4. Disudahi dengan 3 Qul. Al-Ikhlas- untuk mengesakan Tuhan. Untuk menggugat jin jika ia masih belum pergi. Al-Falaq- untuk melawan sihir. Kadang-kadang kedatangan jin itu disertai dengan sihir. An-Nas- untuk mengukuhkan perlindungan kita dengan Allah. Juga untuk melawan campurtangan syaitan dan manusia sekiranya ada.

Hembuskan kepada pesakit. Biasanya di kepala dan tubuh. Sekiranya pesakit mengalami kesakitan di mana-mana bahagian badan seperti leher, kaki, perut, dada, tangan dan sebagainya maka boleh dihembus ke kawasan itu. Berdasarkan pengamalan peribadi, doa dan rawatan yang menggunakan teknik hembusan atau semburan lebih berkesan. Ini kerana dalam nafas kita ada tenaga nafas yang ajaib. Sahabat Nabi juga merawat dengan cara ini. Ia lebih tidak menyelesakan jin tersebut Amat baik kalau dihembus ke air kosong lalu diberi minum, atau dipercik, atau disapu atau dimandikan kepada pesakit.

Ketidakselesaan jin boleh dikesan jika mata pesakit meliar, atau tiba-tiba mengalirkan air mata, atau menangis macam kanak-kanak, atau mengaduh kesakitan, atau menjerit melolong, atau berlawan cakap, atau pesakit menggelepar, atau jin itu menyakitkan mana-mana bahagian tubuh pesakit (contohnya mencekik leher, menggigit sendi) dan sebagainya.

Dalam beberapa kes yang pernah saya lihat (ketika itu saya tidak bertindak sebagai perawat) ada pesakit yang bersilat, berlawan dengan sesuatu yang kita tak nampak dan mencabar perawat dengan makian.

Sekiranya jin itu jenis yang lemah, dia akan keluar. Kalau dia masih berdegil, maka bacakan (biasanya saya akan meneruskan bacaan walaupun dia sudah keluar- sebagai pengukuhan):

1. Lauanzalna… ( ayat-ayat terakhir surah al-Hasyr) Sekiranya jin itu bertaraf Koperal ke bawah, maka ketika ini ia akan lari. Ayat-ayat ini amat serasi dengan saya. Doa dan rawatan saya biasanya berhasil apabila sampai ke ayat ini. Tapi ayat-ayat yang serasi tidak sama antara seorang perawat dengan perawat yang lain. Ada perawat yang ayat ‘power’nya ayat Kursi, ada awal surah Nun, ada yang kalimah syahadah dan sebagainya. Untuk saya nampaknya Tuhan berikan ayat ini. Biasanya, kalau sudah dua pusingan ayat ini dibaca dan jin itu masih tidak pergi, maksudnya jin itu berpangkat Sarjan dan ke atas. Jadi pesakit kenalah berikhtiar dengan perawat yang lebih handal. Ayat ini menunjukkan kekuatan ayat-ayat suci al-Quran. Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kerana banyak nama-nama lain Allah di dalamnya.

2. Boleh ditambah dengan Doa Menghindarkan Syaitan, Salamun ala Sulaimana fil alamin dan Doa Sulaiman. Agak panjang untuk disertakan di sini. Pembaca boleh mendapatkannya dalam buku Doa & Rawatan Penyakit oleh Dr Haron Din & Dr. Amran Kasimin di bahagian 10 Bacaan Asas Pertama. Kepada saya, ayat-ayat yang dimaksudkan memang berkesan.

3. Sebagai tambahan lagi, saya bacakan juga Ayat 9- petikan beberapa ayat al-Quran.

4. Seandainya jin itu “main kasar” dan saya pun sudah “naik angin” (sekadar bahasa), maka saya akan bacakan seluruh surah al-Baqarah. Sekiranya dalam keadaan yang amat terdesak, barulah kaedah terakhir ini digunakan.

Begitulah serba ringkas kaedah yang digunakan. Insyaallah kalau ada peluang nanti, saya akan menghuraikan perkara ini dengan lebih tersusun.

*Artikel ini ada kaitan dengan satu lagi karya Alex APA ITU "SAKA" di
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/article7.html&mode=&order=0&thold=0

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT


Alexanderwathern
NOV 2006

KENANGAN HIDUPKU YANG SINGKAT INI

KENANGAN HIDUPKU YANG SINGKAT INI

Aku dilahirkan di Hospital Besar Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Lahir-lahir saja aku terus dipelihara dan diasuh oleh nenekku yang kupanggil Mak walaupun ketika itu ibubapaku tinggal bersama-sama kami. Adikku S lahir setahun kemudian. Nasibnya ketika itu lebih malang. Ketika usianya lebih kurang dua minggu, dia telah dihantar ke rumah orang.

Dengan izin Allah SWT Yang Maha Mengetahui, aku dapat mengingati banyak perkara seawal usiaku setahun lebih. Sebab itu susah untuk orang menipu tentang kisah silamku pada masa kecil. Pernah kutanyakan kepada adikku, tapi katanya dia langsung tidak ingat apa-apa sebelum usianya tujuh tahun. Inilah yang hendak aku kongsi bersama kalian. Manalah tahu mungkin ada manfaatnya sedikit-sebanyak. Namun hal-hal sensitif tidaklah aku sentuh, biarlah ia menjadi sebahagian daripada koleksi di pusat sumber mindaku. Kalau kuceritakan nescaya air mataku bahkan air mata kalian akan mengalir.

Ketika usiaku setahun lebih, ibubapa kami bercerai. Aku menjadi milik ibu walaupun nenek memeliharaku. Adikku pula menjadi milik bapa walaupun dia dibela orang. Agaknya itu adalah keputusan bersama ibu dan bapa kami. Selepas bercerai bapaku tidak lagi tinggal di rumah nenek.

Sewaktu bapaku masih tinggal di rumah nenek, aku mampu mengingati beberapa perkara. Ketika itu pastinya usiaku setahun lebih. Masih kuingat seorang kenalan ibuku bernama Kak N bertanya, “Papa mana papa?” Aku yang baru belajar menyebut perkataan menjawab, “Papa broom broom” sambil tanganku menggayakan orang bawa motosikal- untuk memberitahu bahawa bapaku pergi kerja. Aku masih ingat motosikalnya yang diletakkan di dalam rumah, jenis skuter atau yang seumpama dengannya.

Aku masih ingat dengan amat jelas sewaktu adikku masih merangkak, maksudnya usiaku setahun lebih. Ibu selalu pulang entah dari mana lalu terus masuk ke bilik dan menguncinya dari dalam. Bilik itu terletak di ruang atas rumah papan nenek yang tingginya mungkin separas paha orang dewasa. Ada tiga atau empat anak tangga batu di depannya. Kami kesukaan apabila melihat ibu pulang. Sering aku memanggil adikku untuk mengintai kaki ibu melalui ruang kecil di bawah pintu. Kami pun melepak di tangga batu tersebut. Sesekali ternampak kelibat kaki ibu, aku menjerit kesukaan sambil menunjukkannya kepada adik, “Tuu kaki Mama”.

Ibuku berkahwin lain, dengan seorang pegawai tentera. Tak lama selepas itu ibu pun mengikut suami barunya tinggal di merata-rata tempat sebagaimana anggota tentera yang lain. Setahun selepas kelahiran adikku, lahir pula adik tiriku yang pertama bernama FQ. Adik tiriku ini kemudiannya diserahkan pula kepada ibu bapa kepada bapa tiriku untuk dipelihara, tapi aku tidak tahu sejak bila dia diserahkan kepada mereka. Adakah lahir-lahir terus diserahkan atau lewat lagi daripada itu, namun paling lewatpun ketika usianya setahun. Ini kerana setahun selepas itu lahir pula adik tiriku yang kedua si FZ, dan dialah yang dipelihara terus hingga dewasa oleh ibu dan bapa tiriku. Lebih kurang dua belas tahun kemudian ibu dapat lagi seorang anak bernama AS, satu-satunya anak perempuan ibu. Mereka berdualah yang dipelihara sampai dewasa.

Bapaku sejak perceraian itu membawa haluan sendiri. Sejak aku bersekolah sehinggalah aku tamat sekolah menengah, mungkin empat lima kali saja aku berjumpa dengannya. Dia juga berkahwin lain dan memperolehi tiga orang anak. Kemudian bercerai lagi, berkahwin lagi dan mendapat pula dua orang anak lagi. Jadi kesemuanya aku ada sepuluh orang adik-beradik.

Sesekali adikkku S dibela seketika oleh nenek bersama-samaku. Aku masih ingat kalau waktu malam, aku tidur bersama nenek di atas katil besi manakala adikku tidur di bawah meja makan. Meja makan itu diserkup dengan kelambu. Sebelum terlena, dalam keadaan berbaring aku selalu mengajak adikku bersembang dalam kegelapan yang disinari lampu pelita minyak tanah. Ketika itu kami belum mengerti apa-apa, maka tidak timbul sebarang kesedihan, semua yang dilalui terasa menyeronokkan saja walaupun ketiadaan ibubapa seperti orang lain. Begitulah cara Allah memelihara hati dua orang anak kecil bersama seorang nenek tua.

Entah berapa tahun usianya (mungkin 3-4 tahun) barulah kami adik-beradik benar-benar terpisah setelah adikku diambil oleh bapa, tidak lagi dipelihara orang atau nenek. Antara lain yang masih kuingat ialah kami pernah mempunyai baju tidur yang sama warna, biru cerah berjalur nipis biru gelap. Kami dibawa nenek berjalan ke rumah orang di belakang kedai runcit Pak M. Di bawah rumah itu ada banyak tiang, maka kamipun berkejar-kejaran mengelilingi tiang. Seronoknya bukan kepalang. Begitulah kenangan bersama adik kandungku pada masa kecil kami.

Selepas pemergian adikku Mak Long yang hidupnya susah juga meletakkan dua orang anak perempuannya iaitu SR dan NT untuk dipelihara nenek. SR enam tahun lebih tua daripadaku manakala NT tiga tahun lebih muda. Bertahun-tahun lamanya kami tinggal empat beranak. Mak Long memang tidak tinggal bersama kami. Ketika NT baru tinggal bersama kami, dia sering menangis dan kulitnya banyak berkudis. Kalau SR dipukul nenek, NT juga akan menangis sekali, biasalah budak-budak.

Ingin kuceritakan latar tempat dan persekitaran kisah ini. Rumah nenekku ada yang papan semua dan ada yang papan sekerat. Ada rumah atas dan ada rumah bawah Lantainya hitam berkilat, licin dan sejuk. Tak pernah lagi aku nampak lantai simen seperti itu sekarang. Rumahnya kecil dan selalu tiris apabila hujan. Setelah aku besar sedikit, rumah kami itu selalu pula dimasuki air banjir. Halaman depannya ketika itu separuh rumput (ibarat padang kecil) dan separuh pasir yang cantik- selalu dibuang rumputnya. Banyak pacat berumah dalam rumput-rumput itu.

Walaupun rumah lot tetapi suasana kampung cukup terasa. Hampir semua rumah tidak berpagar. Kalau dari hujung sini hendak ke hujung sana, kita boleh lalu di bawah rumah-rumah orang. Jalannya tanah merah dan berdebu. Mulanya nenek ada membela beberapa ekor ayam, siap dengan rebannya yang comel. Tapi kemudiannya nenek malas membela ayam lagi akibat selalu kecurian.

Tandas kami tandas tong. Sewaktu buang air besar, nampaklah segala yang di bawah sana dengan segala harumannya menusuk hidung. Tapi ketika itu terasa biasa saja. Ada seorang pekerja berbangsa India yang datang mengangkut yang kami sebut “Hindu Angkat Taik”- sebutan orang kampung.

Nenek memasak menggunakan dapur minyak. Sesekali kalau nenek membakar bengkang, dia menggunakan dapur arang yang diperbuat daripada batu di luar rumah. Seronok sungguh menghidu bau bahan bakar bercampur bau bengkang sambil melihat asap berkepul-kepul naik ke udara.

Televisyen kami besar, hitam putih, berkaki dan ada pintu yang cantik. Hanya beberapa orang saja yang ada peti tv di situ. Hendak tukar siaran kena pusing tombolnya macam buka penutup botol. Aku selalu menonton tv jarak dekat. Mungkin sebab itulah mataku cepat rosak hingga terpaksa bercermin mata.

Antara perkara yang masih kuingat dalam usiaku lima tahun dan ke bawah ialah:

1. Adik tiriku FQ dibawa dari Kuala Lumpur ke rumah nenek. Dia berambut keriting dan ditidurkan dalam buaian di ruang tengah. Wajahnya comel. Beberapa kali aku menjenguk FQ tidur dalam buaian.

2. Aku bermimpi melihat seekor kucing berwarna oren berlari ke arahku dengan senyuman yang menakutkan. Lariannya macam filem yang digerakkan perlahan. Aku yang belum faham apa itu mimpi merasakan perkara itu benar-benar berlaku. Aku ceritakan kepada nenek. Lucu rasanya.

3. Aku selalu meniru suara ayam jantan berkokok. Bunyiku ,”Ok ok ok okkkkk…”.

4. Menjelang hari raya, nenek dan mak long biasa buat kuih di pangkin di bawah rumah Selalu kami tidur di pangkin ini. Sejuk berangin rasa berbaring di situ. Di sebelah rumahku ada surau yang kami panggil meneksah (madrasah). Dengar saja bunyi azan aku berdiri di tanah lalu menirunya. Nenek dan mak long menegur aku dengan alasan tidak baik berbuat demikian. Tapi Alhamdulillah, apabila dewasa aku memang selalu melaungkan azan bahkan menjadi imam solat.

5. Bilik air rumah nenek jenis “open” tiada berbumbung, dipagari zink setinggi bahu atau lebih sedikit, tiada pintu, lantainya papan bersusun, airnya dari tempayan- sejuk dan menyegarkan. Kalau kita mandi pada waktu pagi, naik asap daripada papan akibat terkena air. Di bawah lantai papan itu biasanya ada katak. Hampir setiap harilah nampak katak-katak. Rasanya orang sekarang tak sanggup lagi mandi di tempat begitu.

6. Pada usia 1 atau 2 atau 3 tahun aku dibawa nenek berjalan-jalan ke rumah Pak Long H di Pahang. Di bawah rumah Pak Long H ada seekor anak kambing. Anak kambing itu disuap susu botol. Aku masih ingat lagi bunyi suaranya. Di Pahang juga aku dapat seorang mak angkat yang kupanggil “Mama”, sama seperti panggilan untuk ibuku. Wajahnya tidak kuingat lagi tapi bayangan orangnya masih ada.

7. Kakak SR pandai melukis. Aku berjaya menirulukis wajah manusia dalam usia 5 tahun agaknya. Biasanya kulukis di dinding almari bermediakan air kosong dan berus warna SR. Mudah, tak perlu dipadam kerana lukisan kita akan terpadam sendiri apabila kering. SR terkejut kerana aku boleh melukis muka manusia walaupun belum pernah bersekolah sedangkan kebanyakan orang yang bersekolahpun hanya melukis orang lidi.

8. Suatu malam aku bermimpi haus dan hendak minum air. Dalam mimpi itu aku cuba beritahu “Maaak, nak air”. Sebaik sahaja aku terjaga secara automatik ayat tersebut keluar daripada mulutku. Terus saja nenekku yang sedang tidur itu bangun lalu mendapatkan air untukku. Apabila mengenangkan hal ini hatiku menjadi sayu. Aku yakin ibu-ibu baik yang lain juga begitu, sanggup bersusah-payah walaupun sedang nyenyak tidur di tengah malam.

9. Masa bayi badanku tembam berlipat-lipat. Terkejut aku melihat fotoku semasa bayi. Tapi kemudiannya aku, maksudnya kami semua hidup kekurangan zat bertahun-tahun lamanya. Air teh merupakan air terlazat yang kami minum selepas air masak. Maklumlah, nenek tidak bekerja. Hanya mengharapkan anak lelakinya yang bekerja sebagai tentera beri wang bulanan RM 20 atau RM 30 pada mulanya. Lama kelamaan barulah naik RM 50. Kalau Mak Longku balik, dapatlah kami makan sedap sedikit. Aku yang paling kurus kerana aku memang tidak suka makan, satu suap berselang dengan empat lima teguk air. Maka airlah yang banyak. Sampai sekarangpun aku kurang memikirkan makanan, aku lebih suka leka dengan bahan-bahan agama dan ibadahku.

10. Aku merampas topi SR lalu dia mengejarku. Aku lari ke parit di depan halaman, kucampakkan topinya. Elok parit kering. SR marah lalu memukulku, aku pun lari mengadu kepada nenek. Kemudian SR panjat buaian besi dalam rumah dan menyelitkan topinya di bumbung.

11. Pak Ngahku pemandu teksi. Pernah beberapa kali dia datang menziarahi nenek dan memberikan gula-gula kepadaku. Lemah-lembut saja gayanya. Umurnya tidak panjang. Ketika dia hampir-hampir meninggal dunia, kami menziarahinya. Aku ingat lagi keuzurannya dan mayatnya.

12. Jiran di belakang rumahku ada anak lelaki. Enon nama panggilannya. Kami berkawan baik. Di belakang rumah kami ada limbah. Untuk pergi ke rumah Enon kami meniti batang kayu ataupun papan. Sebelum kami sempat bersekolah, Enon dan keluarganya berpindah.

13. Semasa kecil kakiku tidak berapa kuat, salah sikit letak kaki maka terjatuhlah aku. Banyak kali aku jatuh terlentang dan terhempas bahagian belakang kepala. Nenekku risau kalau-kalau fikiranku tercedera, tapi nasib baiklah tidak apa-apa. Peristiwa selalu jatuh ini memang sangat kuingat.

14. Aku pernah ada sepucuk pistol mainan berwarna hijau dalam usia 2 atau 3 tahun. Setelah besar sedikit, beberapa kali aku dibelikan senapang mainan tapi selalu saja patah kerana tersangkut di pintu sewaktu berlari-lari.

15. Kawanku yang tinggal di sebelah rumah Shima namanya tapi kupanggil Noha. Kami ada bermain bersama-sama dan selalu berlawan cakap, aku bercakap dari jaring-jaring di depan rumahku manakala Noha dari tingkap rumahnya. Sebelum kami bersekolah, Noha juga pindah dari situ.

16. Aku bahasakan diriku “Abang” kepada nenek yang kupanggil “Mak” itu. Memang dialah ibu dan bapaku. Suatu malam sewaktu kami berbaring hendak tidur, kukatakan kepadanya, “Maak, abang nak tidur dengan Mak saammpai besar”. Nenekku menjawab, “Mana boleh…”

17. Kakak sepupuku bernama H yang baru berkahwin datang menziarahi nenek. Sewaktu mereka hendak pulang aku beria-ia nak ikut. Kuikut mereka sampai ke jalan. Kemudian mereka kata, “Kalau nak ikut, kena pi sikat rambut dulu.” Aku pun masuk ke dalam rumah lalu menyikat rambut. Nenek melihat gelagatku. Apabila aku pergi ke jalan semula, kulihat mereka sudahpun berjalan jauh, melambai-lambai. Lucu rasanya.

18. Aku memanjat sesuatu (rasanya motosikal bapaku) tanpa berpakaian. Jiran depan rumahku Pakcik Z buat-buat memarahiku dari jauh. Aku ketakutan lalu berlari masuk ke ruang tengah. Sejak itu aku berasa gerun dengannya.

19. Suatu hari aku dan nenek berziarah ke rumah kawannya. Rumah kawannya adalah antara rumah terbesar di kampungku. Sampai saja ke pintu dapur kulihat ada seorang budak lelaki sedang buang air kecil sambil berdiri di tepi pintu itu. Air kencingnya jatuh ke tanah. Dia tidak pula segan silu. Budak lelaki itu (AK) akhirnya menjadi salah seorang kawan baikku. Setelah dewasa pun hubungan kami masih akrab. Keluarganya membela seekor kucing yang sangat besar, hampir-hampir sebesar anak kambing berwarna hitam putih tapi putihnya tidak bersih. Pernah kuceritakan peristiwa dia kencing berdiri itu tapi sudah tidak diingatinya, dikatanya aku membuat lawak pula.

20. Rambut nenekku putih hampir kesemuanya. Suatu hari sedang dia membasuh kain di bilik mandi kami yang canggih itu, aku berdiri di muka pintu dapur lalu bertanya kepadanya, “Oo Mak, Tuhan tu macam mana rupa dia?” Aku lupa apa jawapan nenekku tapi jawapannya tidak memuaskan aku lalu aku berkata, “Tuhan tu macam Mak la”. Ini kerana aku beranggapan Tuhan itu putih rambutnya he he he. Begitulah fikiran budak-budak.

Begitulah serba sedikit pengalaman hidupku ketika berusia lima tahun dan ke bawah yang masih kuingat dan sesekali bermain di ruangan fikiran. Semuanya menjadi kenangan yang sangat indah buatku. Ketika menyiapkan tulisan ini, aku gagal menahan air mataku yang berkali-kali keluar meskipun bahagian-bahagian yang perit tidak aku sentuh. Adakalanya air mataku meluncur kerana sedih dan ada kalanya kerana terlalu gembira mengenangkan semua ini. Suatu yang pasti, Allah memberi kelebihan kepadaku untuk mengingati semua ini kerana memang besar gunanya setelah aku dewasa. Terima kasih Tuhan…


Bagaimana dengan anda? Dapatkah anda mengingati peristiwa-peristiwa sebelum umur anda enam tahun? Notakan ia untuk tatapan anda dan anak cucu di kemudian hari.

Alexanderwathern
18 DISEMBER 2006

* Insyaallah akan kusambung pengalaman zaman sekolah rendahku, yang kuanggap sebagai zaman syurgaku di dunia.