Karamah Saidina Umar Al Khattab
► Suatu hari, berlaku gempa bumi di Madinah. Sewaktu itu Saidina Umar memegang teraju pemerintahan sebagai Khalifah setelah kematian Saidina Abu Bakar. Ketika bumi sedang bergetar, Saidina Umar menghentakkan tongkatnya ke tanah lalu berkata, “Wahai bumi, tenanglah kamu. Apakah aku tidak berlaku adil di atasmu?” Dengan izin Allah, serta-merta gempa bumi terhenti.► Tentera Islam di bawah pimpinan Amru Al Ash telah berjaya membuka Mesir. Ketika itu berlakulah kemarau panjang hinggakan air Sungai Nil kering. Menurut penduduk di situ, air Sungai Nil akan naik kembali jika dikorbankan seorang anak dara ke dalamnya. Begitulah yang mereka lakukan pada masa-masa yang lalu. Amru menulis kepada Saidina Umar bertanyakan pendapatnya. Saidina Umar menolak sama sekali upacara khurafat tersebut lalu beliau menulis sepucuk surat kepada Sungai Nil yang berbunyi:
“Daripada Amirul Mukminin Umar kepada Sungai Nil di Mesir. Jika kamu mengalirkan airmu dengan kehendakmu sendiri, janganlah kamu mengalir. Tapi jika kamu mengalir dengan kehendak Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa, maka kami memohon kepada Allah Yang Maha Esa dan
Maha Perkasa untuk mengalirkan kamu.”
Surat ini dilemparkan oleh Amru ke dalam Sungai Nil. Dengan izin Allah, pada malam itu juga tersembur keluar mata-mata air di sepanjang sungai tersebut hingga penuh sebagaimana yang kita lihat hari ini.
► Suatu ketika seorang utusan dari Rom (musuh Islam) tiba ke Madinah untuk menyampaikan sesuatu daripada rajanya kepada Khalifah. Dia bertanyakan orang ramai di manakah istana Saidina Umar. Malangnya Saidina Umar tidak ada istana kerana beliau tinggal di sebuah rumah kecil sahaja di padang pasir. Inilah contoh zuhud yang terbaik. Ketika sampai ke tempat Saidina Umar, dilihatnya khalifah sedang tidur sendirian di bawah pokok tamar. Tongkatnya dijadikan bantal. Utusan Rom berasa hairan kerana pemerintah Islam yang sangat digeruni Timur dan Barat itu langsung tidak ada pengawal peribadi. Dia terfikir inilah saat yang paling sesuai untuk dia berkhidmat kepada rajanya iaitu dengan membunuh Saidina Umar. Dia pun mendekati Saidina Umar denagn pedang yang terhunus. Tiba-tiba muncul dua ekor singa entah dari mana hendak menerkamnya . Sang utusan menjerit ketakutan dan pedangnya terlucut menyebabkan Saidina Umar terjaga. Singa-singa tadi hilang begitu saja. Utusan Rom pun menceritakan apa yang terjadi kepada saidina Umar. Akhirnya dia terus memeluk agama Islam.
► Saidina Umar pernah melaung dia atas kubur seorang pemuda, “Wahai pemuda, bagi orang yang takut kepada Tuhannya, kamu akan mendapat dua syurga.” Suara dari dalam kubur itu menjawab, “Wahai Umar, Allah telah mengurniakan kepadaku dua syurga.”
► Saidina Umar telah mengirim sepasukan tentera di bawah pimpinan Sariyah ke Nahawunda untuk menghadapi tentera Parsi. Dalam peperangan itu, tentera Islam terpukul hebat dan hampir-hampir akan kalah. Saidina Umar yang ketika itu sedang berkhutbah di masjid telah dibukakan hijab oleh Allah hinggakan dia dapat melihat situasi peperangan tersebut. Secara spontan Umar menjerit
memerintahkan Sariyah dan tenteranya bertahan di atas sebuah bukit. Arahannya itu dapat didengar oleh tentera Islam yang jauh ratusan (mungkin ribuan) batu lalu mereka mengubah strategi dan akhirnya mencapai kemenangan.
Alexanderwathern 2003
0 maklumbalas:
Post a Comment