KENANGAN HIDUPKU YANG SINGKAT INI
Aku dilahirkan di Hospital Besar Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Lahir-lahir saja aku terus dipelihara dan diasuh oleh nenekku yang kupanggil Mak walaupun ketika itu ibubapaku tinggal bersama-sama kami. Adikku S lahir setahun kemudian. Nasibnya ketika itu lebih malang. Ketika usianya lebih kurang dua minggu, dia telah dihantar ke rumah orang.
Dengan izin Allah SWT Yang Maha Mengetahui, aku dapat mengingati banyak perkara seawal usiaku setahun lebih. Sebab itu susah untuk orang menipu tentang kisah silamku pada masa kecil. Pernah kutanyakan kepada adikku, tapi katanya dia langsung tidak ingat apa-apa sebelum usianya tujuh tahun. Inilah yang hendak aku kongsi bersama kalian. Manalah tahu mungkin ada manfaatnya sedikit-sebanyak. Namun hal-hal sensitif tidaklah aku sentuh, biarlah ia menjadi sebahagian daripada koleksi di pusat sumber mindaku. Kalau kuceritakan nescaya air mataku bahkan air mata kalian akan mengalir.
Ketika usiaku setahun lebih, ibubapa kami bercerai. Aku menjadi milik ibu walaupun nenek memeliharaku. Adikku pula menjadi milik bapa walaupun dia dibela orang. Agaknya itu adalah keputusan bersama ibu dan bapa kami. Selepas bercerai bapaku tidak lagi tinggal di rumah nenek.
Sewaktu bapaku masih tinggal di rumah nenek, aku mampu mengingati beberapa perkara. Ketika itu pastinya usiaku setahun lebih. Masih kuingat seorang kenalan ibuku bernama Kak N bertanya, “Papa mana papa?” Aku yang baru belajar menyebut perkataan menjawab, “Papa broom broom” sambil tanganku menggayakan orang bawa motosikal- untuk memberitahu bahawa bapaku pergi kerja. Aku masih ingat motosikalnya yang diletakkan di dalam rumah, jenis skuter atau yang seumpama dengannya.
Aku masih ingat dengan amat jelas sewaktu adikku masih merangkak, maksudnya usiaku setahun lebih. Ibu selalu pulang entah dari mana lalu terus masuk ke bilik dan menguncinya dari dalam. Bilik itu terletak di ruang atas rumah papan nenek yang tingginya mungkin separas paha orang dewasa. Ada tiga atau empat anak tangga batu di depannya. Kami kesukaan apabila melihat ibu pulang. Sering aku memanggil adikku untuk mengintai kaki ibu melalui ruang kecil di bawah pintu. Kami pun melepak di tangga batu tersebut. Sesekali ternampak kelibat kaki ibu, aku menjerit kesukaan sambil menunjukkannya kepada adik, “Tuu kaki Mama”.
Ibuku berkahwin lain, dengan seorang pegawai tentera. Tak lama selepas itu ibu pun mengikut suami barunya tinggal di merata-rata tempat sebagaimana anggota tentera yang lain. Setahun selepas kelahiran adikku, lahir pula adik tiriku yang pertama bernama FQ. Adik tiriku ini kemudiannya diserahkan pula kepada ibu bapa kepada bapa tiriku untuk dipelihara, tapi aku tidak tahu sejak bila dia diserahkan kepada mereka. Adakah lahir-lahir terus diserahkan atau lewat lagi daripada itu, namun paling lewatpun ketika usianya setahun. Ini kerana setahun selepas itu lahir pula adik tiriku yang kedua si FZ, dan dialah yang dipelihara terus hingga dewasa oleh ibu dan bapa tiriku. Lebih kurang dua belas tahun kemudian ibu dapat lagi seorang anak bernama AS, satu-satunya anak perempuan ibu. Mereka berdualah yang dipelihara sampai dewasa.
Bapaku sejak perceraian itu membawa haluan sendiri. Sejak aku bersekolah sehinggalah aku tamat sekolah menengah, mungkin empat lima kali saja aku berjumpa dengannya. Dia juga berkahwin lain dan memperolehi tiga orang anak. Kemudian bercerai lagi, berkahwin lagi dan mendapat pula dua orang anak lagi. Jadi kesemuanya aku ada sepuluh orang adik-beradik.
Sesekali adikkku S dibela seketika oleh nenek bersama-samaku. Aku masih ingat kalau waktu malam, aku tidur bersama nenek di atas katil besi manakala adikku tidur di bawah meja makan. Meja makan itu diserkup dengan kelambu. Sebelum terlena, dalam keadaan berbaring aku selalu mengajak adikku bersembang dalam kegelapan yang disinari lampu pelita minyak tanah. Ketika itu kami belum mengerti apa-apa, maka tidak timbul sebarang kesedihan, semua yang dilalui terasa menyeronokkan saja walaupun ketiadaan ibubapa seperti orang lain. Begitulah cara Allah memelihara hati dua orang anak kecil bersama seorang nenek tua.
Entah berapa tahun usianya (mungkin 3-4 tahun) barulah kami adik-beradik benar-benar terpisah setelah adikku diambil oleh bapa, tidak lagi dipelihara orang atau nenek. Antara lain yang masih kuingat ialah kami pernah mempunyai baju tidur yang sama warna, biru cerah berjalur nipis biru gelap. Kami dibawa nenek berjalan ke rumah orang di belakang kedai runcit Pak M. Di bawah rumah itu ada banyak tiang, maka kamipun berkejar-kejaran mengelilingi tiang. Seronoknya bukan kepalang. Begitulah kenangan bersama adik kandungku pada masa kecil kami.
Selepas pemergian adikku Mak Long yang hidupnya susah juga meletakkan dua orang anak perempuannya iaitu SR dan NT untuk dipelihara nenek. SR enam tahun lebih tua daripadaku manakala NT tiga tahun lebih muda. Bertahun-tahun lamanya kami tinggal empat beranak. Mak Long memang tidak tinggal bersama kami. Ketika NT baru tinggal bersama kami, dia sering menangis dan kulitnya banyak berkudis. Kalau SR dipukul nenek, NT juga akan menangis sekali, biasalah budak-budak.
Ingin kuceritakan latar tempat dan persekitaran kisah ini. Rumah nenekku ada yang papan semua dan ada yang papan sekerat. Ada rumah atas dan ada rumah bawah Lantainya hitam berkilat, licin dan sejuk. Tak pernah lagi aku nampak lantai simen seperti itu sekarang. Rumahnya kecil dan selalu tiris apabila hujan. Setelah aku besar sedikit, rumah kami itu selalu pula dimasuki air banjir. Halaman depannya ketika itu separuh rumput (ibarat padang kecil) dan separuh pasir yang cantik- selalu dibuang rumputnya. Banyak pacat berumah dalam rumput-rumput itu.
Walaupun rumah lot tetapi suasana kampung cukup terasa. Hampir semua rumah tidak berpagar. Kalau dari hujung sini hendak ke hujung sana, kita boleh lalu di bawah rumah-rumah orang. Jalannya tanah merah dan berdebu. Mulanya nenek ada membela beberapa ekor ayam, siap dengan rebannya yang comel. Tapi kemudiannya nenek malas membela ayam lagi akibat selalu kecurian.
Tandas kami tandas tong. Sewaktu buang air besar, nampaklah segala yang di bawah sana dengan segala harumannya menusuk hidung. Tapi ketika itu terasa biasa saja. Ada seorang pekerja berbangsa India yang datang mengangkut yang kami sebut “Hindu Angkat Taik”- sebutan orang kampung.
Nenek memasak menggunakan dapur minyak. Sesekali kalau nenek membakar bengkang, dia menggunakan dapur arang yang diperbuat daripada batu di luar rumah. Seronok sungguh menghidu bau bahan bakar bercampur bau bengkang sambil melihat asap berkepul-kepul naik ke udara.
Televisyen kami besar, hitam putih, berkaki dan ada pintu yang cantik. Hanya beberapa orang saja yang ada peti tv di situ. Hendak tukar siaran kena pusing tombolnya macam buka penutup botol. Aku selalu menonton tv jarak dekat. Mungkin sebab itulah mataku cepat rosak hingga terpaksa bercermin mata.
Antara perkara yang masih kuingat dalam usiaku lima tahun dan ke bawah ialah:
1. Adik tiriku FQ dibawa dari Kuala Lumpur ke rumah nenek. Dia berambut keriting dan ditidurkan dalam buaian di ruang tengah. Wajahnya comel. Beberapa kali aku menjenguk FQ tidur dalam buaian.
2. Aku bermimpi melihat seekor kucing berwarna oren berlari ke arahku dengan senyuman yang menakutkan. Lariannya macam filem yang digerakkan perlahan. Aku yang belum faham apa itu mimpi merasakan perkara itu benar-benar berlaku. Aku ceritakan kepada nenek. Lucu rasanya.
3. Aku selalu meniru suara ayam jantan berkokok. Bunyiku ,”Ok ok ok okkkkk…”.
4. Menjelang hari raya, nenek dan mak long biasa buat kuih di pangkin di bawah rumah Selalu kami tidur di pangkin ini. Sejuk berangin rasa berbaring di situ. Di sebelah rumahku ada surau yang kami panggil meneksah (madrasah). Dengar saja bunyi azan aku berdiri di tanah lalu menirunya. Nenek dan mak long menegur aku dengan alasan tidak baik berbuat demikian. Tapi Alhamdulillah, apabila dewasa aku memang selalu melaungkan azan bahkan menjadi imam solat.
5. Bilik air rumah nenek jenis “open” tiada berbumbung, dipagari zink setinggi bahu atau lebih sedikit, tiada pintu, lantainya papan bersusun, airnya dari tempayan- sejuk dan menyegarkan. Kalau kita mandi pada waktu pagi, naik asap daripada papan akibat terkena air. Di bawah lantai papan itu biasanya ada katak. Hampir setiap harilah nampak katak-katak. Rasanya orang sekarang tak sanggup lagi mandi di tempat begitu.
6. Pada usia 1 atau 2 atau 3 tahun aku dibawa nenek berjalan-jalan ke rumah Pak Long H di Pahang. Di bawah rumah Pak Long H ada seekor anak kambing. Anak kambing itu disuap susu botol. Aku masih ingat lagi bunyi suaranya. Di Pahang juga aku dapat seorang mak angkat yang kupanggil “Mama”, sama seperti panggilan untuk ibuku. Wajahnya tidak kuingat lagi tapi bayangan orangnya masih ada.
7. Kakak SR pandai melukis. Aku berjaya menirulukis wajah manusia dalam usia 5 tahun agaknya. Biasanya kulukis di dinding almari bermediakan air kosong dan berus warna SR. Mudah, tak perlu dipadam kerana lukisan kita akan terpadam sendiri apabila kering. SR terkejut kerana aku boleh melukis muka manusia walaupun belum pernah bersekolah sedangkan kebanyakan orang yang bersekolahpun hanya melukis orang lidi.
8. Suatu malam aku bermimpi haus dan hendak minum air. Dalam mimpi itu aku cuba beritahu “Maaak, nak air”. Sebaik sahaja aku terjaga secara automatik ayat tersebut keluar daripada mulutku. Terus saja nenekku yang sedang tidur itu bangun lalu mendapatkan air untukku. Apabila mengenangkan hal ini hatiku menjadi sayu. Aku yakin ibu-ibu baik yang lain juga begitu, sanggup bersusah-payah walaupun sedang nyenyak tidur di tengah malam.
9. Masa bayi badanku tembam berlipat-lipat. Terkejut aku melihat fotoku semasa bayi. Tapi kemudiannya aku, maksudnya kami semua hidup kekurangan zat bertahun-tahun lamanya. Air teh merupakan air terlazat yang kami minum selepas air masak. Maklumlah, nenek tidak bekerja. Hanya mengharapkan anak lelakinya yang bekerja sebagai tentera beri wang bulanan RM 20 atau RM 30 pada mulanya. Lama kelamaan barulah naik RM 50. Kalau Mak Longku balik, dapatlah kami makan sedap sedikit. Aku yang paling kurus kerana aku memang tidak suka makan, satu suap berselang dengan empat lima teguk air. Maka airlah yang banyak. Sampai sekarangpun aku kurang memikirkan makanan, aku lebih suka leka dengan bahan-bahan agama dan ibadahku.
10. Aku merampas topi SR lalu dia mengejarku. Aku lari ke parit di depan halaman, kucampakkan topinya. Elok parit kering. SR marah lalu memukulku, aku pun lari mengadu kepada nenek. Kemudian SR panjat buaian besi dalam rumah dan menyelitkan topinya di bumbung.
11. Pak Ngahku pemandu teksi. Pernah beberapa kali dia datang menziarahi nenek dan memberikan gula-gula kepadaku. Lemah-lembut saja gayanya. Umurnya tidak panjang. Ketika dia hampir-hampir meninggal dunia, kami menziarahinya. Aku ingat lagi keuzurannya dan mayatnya.
12. Jiran di belakang rumahku ada anak lelaki. Enon nama panggilannya. Kami berkawan baik. Di belakang rumah kami ada limbah. Untuk pergi ke rumah Enon kami meniti batang kayu ataupun papan. Sebelum kami sempat bersekolah, Enon dan keluarganya berpindah.
13. Semasa kecil kakiku tidak berapa kuat, salah sikit letak kaki maka terjatuhlah aku. Banyak kali aku jatuh terlentang dan terhempas bahagian belakang kepala. Nenekku risau kalau-kalau fikiranku tercedera, tapi nasib baiklah tidak apa-apa. Peristiwa selalu jatuh ini memang sangat kuingat.
14. Aku pernah ada sepucuk pistol mainan berwarna hijau dalam usia 2 atau 3 tahun. Setelah besar sedikit, beberapa kali aku dibelikan senapang mainan tapi selalu saja patah kerana tersangkut di pintu sewaktu berlari-lari.
15. Kawanku yang tinggal di sebelah rumah Shima namanya tapi kupanggil Noha. Kami ada bermain bersama-sama dan selalu berlawan cakap, aku bercakap dari jaring-jaring di depan rumahku manakala Noha dari tingkap rumahnya. Sebelum kami bersekolah, Noha juga pindah dari situ.
16. Aku bahasakan diriku “Abang” kepada nenek yang kupanggil “Mak” itu. Memang dialah ibu dan bapaku. Suatu malam sewaktu kami berbaring hendak tidur, kukatakan kepadanya, “Maak, abang nak tidur dengan Mak saammpai besar”. Nenekku menjawab, “Mana boleh…”
17. Kakak sepupuku bernama H yang baru berkahwin datang menziarahi nenek. Sewaktu mereka hendak pulang aku beria-ia nak ikut. Kuikut mereka sampai ke jalan. Kemudian mereka kata, “Kalau nak ikut, kena pi sikat rambut dulu.” Aku pun masuk ke dalam rumah lalu menyikat rambut. Nenek melihat gelagatku. Apabila aku pergi ke jalan semula, kulihat mereka sudahpun berjalan jauh, melambai-lambai. Lucu rasanya.
18. Aku memanjat sesuatu (rasanya motosikal bapaku) tanpa berpakaian. Jiran depan rumahku Pakcik Z buat-buat memarahiku dari jauh. Aku ketakutan lalu berlari masuk ke ruang tengah. Sejak itu aku berasa gerun dengannya.
19. Suatu hari aku dan nenek berziarah ke rumah kawannya. Rumah kawannya adalah antara rumah terbesar di kampungku. Sampai saja ke pintu dapur kulihat ada seorang budak lelaki sedang buang air kecil sambil berdiri di tepi pintu itu. Air kencingnya jatuh ke tanah. Dia tidak pula segan silu. Budak lelaki itu (AK) akhirnya menjadi salah seorang kawan baikku. Setelah dewasa pun hubungan kami masih akrab. Keluarganya membela seekor kucing yang sangat besar, hampir-hampir sebesar anak kambing berwarna hitam putih tapi putihnya tidak bersih. Pernah kuceritakan peristiwa dia kencing berdiri itu tapi sudah tidak diingatinya, dikatanya aku membuat lawak pula.
20. Rambut nenekku putih hampir kesemuanya. Suatu hari sedang dia membasuh kain di bilik mandi kami yang canggih itu, aku berdiri di muka pintu dapur lalu bertanya kepadanya, “Oo Mak, Tuhan tu macam mana rupa dia?” Aku lupa apa jawapan nenekku tapi jawapannya tidak memuaskan aku lalu aku berkata, “Tuhan tu macam Mak la”. Ini kerana aku beranggapan Tuhan itu putih rambutnya he he he. Begitulah fikiran budak-budak.
Begitulah serba sedikit pengalaman hidupku ketika berusia lima tahun dan ke bawah yang masih kuingat dan sesekali bermain di ruangan fikiran. Semuanya menjadi kenangan yang sangat indah buatku. Ketika menyiapkan tulisan ini, aku gagal menahan air mataku yang berkali-kali keluar meskipun bahagian-bahagian yang perit tidak aku sentuh. Adakalanya air mataku meluncur kerana sedih dan ada kalanya kerana terlalu gembira mengenangkan semua ini. Suatu yang pasti, Allah memberi kelebihan kepadaku untuk mengingati semua ini kerana memang besar gunanya setelah aku dewasa. Terima kasih Tuhan…
Bagaimana dengan anda? Dapatkah anda mengingati peristiwa-peristiwa sebelum umur anda enam tahun? Notakan ia untuk tatapan anda dan anak cucu di kemudian hari.
Alexanderwathern
18 DISEMBER 2006
* Insyaallah akan kusambung pengalaman zaman sekolah rendahku, yang kuanggap sebagai zaman syurgaku di dunia.
0 maklumbalas:
Post a Comment